2.instrumen Untuk Pengumpulan Data Kajian [PDF]

  • Author / Uploaded
  • taqi
  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

3.0



INSTRUMEN UNTUK PENGUMPULAN DATA KAJIAN



Secara asasnya terdapat empat kaedah pengumpulan data yang sering digunakan dalam penyelidikan iaitu temubual, soal selidik, observasi dan eksperimental. Bagaimanapun kaedah eksperimental jarang digunakan dalam penyelidikan sosial kecuali dalam bidang pendidikan di mana suatu kaedah pengajaran baru dibentuk akan dieksperimenkan dalam bilik darjah untuk mengetahui keberkesanan dan kelemahannya. Menurut Abdul Rashid Moten (1998), walau apa sekali pun cara yang digunakan, seseorang penyelidik perlu mematuhi dan mengikuti prosedur-prosedur tertentu supaya data yang diperoleh dengan cara tersebut dapat membantu menghasilkan kajian yang tepat, relevan dan bernilai sesuai dengan sifat bidang kajiannya. Perancangan yang rapi dalam proses mengumpulkan data juga dapat membantu penyelidik menguruskan masa dan kos penyelidikan dengan baik.



3.1



Kajian Perpustakaan



Kajian perpustakaan melibatkan pencarian bahan-bahan sekunder seperti laporan-laporan, risalah-risalah atau majalah, surat khabar dan lain-lain bentuk penulisan dan penerbitan dari pihak-pihak tertentu. Oleh itu, dalam kajian ini kajian perpustakaan amat diperlukan untuk menyediakan pengenalan kepada kajian dan landasan teori. Ia juga digunakan untuk menyokong hasil yang diperolehi daripada kajian lapangan. Daripada kajian perpustakaan juga, kita dapat menerang dan menjelaskan latar belakang sesuatu masalah serta mengenal pasti sejauh mana sesuatu bidang di mana masalah wujud telah dikaji. Seterusnya melalui karya-karya berkaitan, kita boleh mempelajari kaedah dan teknik yang sesuai untuk menyelesaikan masalah di samping dapat mengelakkan pengulangan kajian lepas yang tidak dikehendaki.



3.2



Kajian Lapangan



Dalam penyelidikan ini, kajian tinjauan banyak digunakan bagi melengkapi data pustaka selain membantu pengkaji untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang baru. Ini adalah kerana tidak semua maklumat boleh didapati di perpustakaan. Dalam konteks ini, apa yang dihadapi adalah area penghayatan dan pengamalan yang dipanggil pendekatan empirikal (Syahrin Harahap, 2001). Oleh itu, tempat kajian akan dikunjungi untuk membuat pengamatan secara langsung dengan lebih jelas mengenai subjek kajian. Ia bertujuan membuat penyelidikan secara langsung dengan mendatangi responden atau subjek yang menjadi sasaran untuk dikaji serta dibuat perumusan dan kesimpulan yang diperlukan. Instrumen-instrumen yang digunakan dalam kajian lapangan ini adalah seperti berikut:



a) Soal Selidik (Questionaire)



Soal selidik bermaksud suatu daftar atau senarai pertanyaan untuk memperolehi data yang merupakan jawapan-jawapan daripada para responden (Selo Soemardjan, 1985). Instrumen soal selidik digunakan untuk mendapat maklumat daripada responden yang ramai. Soal selidik merupakan suatu senarai yang terdapat rangkaian pertanyaan mengenai sesuatu hal atau dalam sesuatu bidang. Menurut Mohd Majid Konting, soal selidik merupakan alat ukur yang digunakan di dalam penyelidikan pendidikan. Ia bertujuan untuk mendapat maklumat berkenaan fakta-fakta kepercayaan, perasaan, kehendak dan sebagainya. Soal selidik terdiri daripada set soalan-soalan yang bertulis. Soalan-soalan ini disediakan merangkumi subjeknya dengan menyenaraikan soalan-soalan yang terang dan senang difahami. Borang soal selidik biasanya mengandungi dua bahagian yang perlu dijawab oleh responden iaitu maklumat demografi dan personality responden serta perkara berkaitan kajian.



b) Temubual (Interview)



Menurut Koentjaraningrat (1991), instrumen temubual atau wawancara ialah cara yang digunakan untuk mendapatkan keterangan atau pendirian secara lisan daripada responden secara bersemuka dengan responden. Kaedah temubual juga merupakan satu kaedah pengumpulan maklumat yang melibatkan interaksi sosial antara individu, dan ia adalah salah satu cara yang terbaik untuk mengetahui bagaimana sesuatu situasi dilihat dari perspektif orang lain. Dalam usaha untuk mendapatkan data serta maklumat, pengkaji telah menggunakan kaedah ini dengan memilih beberapa orang responden yang dirasakan mempunyai kelayakan berkaitan dengan topik kajian. Kaedah temubual juga dapat memberi maklumat berkenaan perasaan, kehendak dan sebagainya untuk mencapai sesuatu objektif penyelidikan. Temu bual biasanya berbentuk tidak berstruktur. Temubual tidak berstruktur dijalankan adalah untuk mendapat maklum balas yang di luar jangkaan pengkaji. Temubual tidak berstruktur sesuai digunakan sekiranya soalan yang dikemukakan menghendaki jawapan yang memerlukan pemikiran kritis bila mana pengkaji tidak dapat menjangka dengan tepat semua kemungkinan jawapan yang diberi oleh subjek.