Kata Majmuk Atau Frasa [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

KATA MAJMUK ATAU FRASA ? oleh Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz Kata majmuk dan frasa dalam bahasa Melayu mewakili dua konstruksi yang banyak menimbulkan polemik. Maka beberapa pendapat telah diketengahkan untuk membezakan kedua-dua konstruksi ini dari perspektif bentuk dan fungsi, perspektif tatabahasa dan perpektif semantik. Kata majmuk dan frasa mempunyai persamaan yang nyata dari segi bentuk iaitu kedua-duanya merupakan rentetan dua atau lebih perkataan atau kata dasar. Perbezaan yang ketara terdapat pada kedudukan dan pergerakan kata dasar - kata dasar yang membentuk kata majmuk dan frasa. Berdasarkan hukum D-M (Diterang-Menerang), (Mohd Daut 1991: 44 53) kata majmuk tidak boleh ditukar menjadi M-D kerana akan menghasilkan bentuk yang tidak gramatis seperti dalam contoh `buku kerja' menjadi *kerja buku. Kata majmuk juga tidak tidak boleh disisipi oleh kata tugas `yang' seperti `rumah sakit' menjadi *rumah yang sakit. (Mohd Khuzairi 1971: 251-257). Kata majmuk tidak boleh ditransformasikan seperti `balai polis' menjadi *balai kepunyaan polis dan `anak angkat' menjadi *anak kepunyaan angkat tetapi `lori saya' menjadi lori kepunyaan saya adalah gramatis bagi konstruksi frasa. Abdullah Hassan (1980 :158) menjelaskan dari aspek fungsi sintaksis bahawa kata majmuk merupakan suatu unsur subordinat frasa sementara frasa ialah unsur subordinat ayat. Aishah Mahdi (1978: 418-420) menambah bahwa frasa boleh dipisahkan kepada subjek dan prediket. Sebaliknya kata majmuk tidak boleh diasingkan kepada struktur tersebut kerana akan menjejas kesatuan maknanya, misalnya frasa Ali (Subjek) makan (Predikat) dan kata majmuk *daya (Subjek) serap (Predikat). Mohd Khuzairi (1971) menjelaskan bahawa kata majmuk tidak mengikuti urutan tatabahasa, misalnya `meninggal dunia' sepatutnya `meninggalkan dunia'. Manakala bentuk frasa adalah bentuk yang mengikut urutan tatabahasa. Kata majmuk juga mampu diimbuhkan sedangkan frasa tidak boleh dilakukan sedemikian. Misalnya menganaktirikan dan *dianakburungkan. Menurut Aishah Mahdi (1978), kata majmuk mempunyai makna khusus yang berbeza daripada konstituen leksikalnya. Pengertian sesuatu frasa pula bergantung kepada konteks pemakaiannya dalam ayat. Ia ditentukan berdasarkan perhitungan sintaksis. Maka sintaksis yang menentukan makna sesuatu frasa, misalnya `guru besar' bukan bermaksud saiz guru tetapi pangkatnya tetapi frasa `rumah besar' bermaksud rumah yang besar saiznya. Arbak Othman (1977) pula menjelaskan bahawa kata majmuk mempunyai satu makna yang mantap sementara frasa boleh mempunyai lebih daripada satu makna kerana boleh disisipkan dengan kata-kata lain. Maka terdapat unsur penjanaan makna dalam frasa berbanding dengan kata majmuk.



Hashim Musa (1993:223-224) menggunakan kaedah "continuum of derivational transparency of words" yang dikemukakan oleh J.Levi (1970:64) untuk membezakan kata gabungan (kata majmuk), simpulan bahasa dan frasa. Keadah ini merumuskan dua kutub (poles) bagi perkataan. Kutub di atas adalah kutub "transparency" atau keliteralan makna dan kutub di bawah adalah kutub "opaque" atau keberkiasan makna seperti berikut : Kutub keliteralan makna (transparent) 1 mata lembu, mata ali, mata telinga (FN) 2 Perdana Menteri, Guru Besar, Naib Pengetua (gelaran) 3 Mata air, mata tunas, matahari, mata pisau (KN gabungan) 4 mata-mata, cahaya mata, mata duitan (simpulan bahasa) Kutub keliteralan makna (opague) Pada kutub keliteralan makna, terdapat frasa nama yang mengandungi makna literal setiap komponennya misalnya, [mata lembu] FN `mata kepunyaan lembu'. Pada kutub keberkiasan makna pula terdapat simpulan bahasa yang mengandungi makna yang berbeza daripada makna literal setiap komponennya misalnya, [mata-mata] KN bukan bermakna `banyak mata' tetapi `polis'. Pada kedudukan di antara kedua-dua kutub tersebut pula terdapat kata nama gabungan yang mengandungi makna literal satu daripada unsurnya tetapi tidak merupakan makna literal bagi semua komponennya. Ia memberikan makna komposit. Misalnya [mata air] KN bermakna `lubang di bumi tempat air dari dalam tanah keluar', bukannya `biji mata pada air' dan [mata tunas] KN bermakna `bekas pada batang atau dahan pokok yang mengeluarkan tunas' bukannya `biji mata pada tunas'. Perbandingan dari perspektif bentuk, fungsi, tatabahasa dan makna di atas telah menghasilkan beberapa persamaan dan perbezaan antara ciri-ciri kata majmuk, simpulan bahasa dan frasa yang dapat dilihat dengan jelas dalam jadual berikut :



NO 1 2 3 4 5 6 7 8 9



CIRI Rentetan lebih daripada dua perkataan Boleh disisipkan dengan unsur lain Merupakan unsur dalam frasa Merupakan unsur dalam ayat Boleh ditransformasi Boleh dipisahkan kepada subjek dan prediket Rentetan kata-kata mengikut susunan tatabahasa Boleh diimbuhkan Makna berdasarkan konteks



KATA MAJMUK _



FRASA _ _



_



_ _ _ _ _



_ _



10 Makna khusus atau komposit 11 Mempunyai lebih dari satu makna 12 Bentuk boleh dijanakan 13 Makna boleh dijanakan 14 Konstruksi tidak terhad Peratusan %



_ _ _



36



_ _ _ 86



Jadual di atas menunjukkan bahawa frasa merupakan unsur yang paling ketara memiliki ciri morfologi, sintaksis dan semantik iaitu 86%. Manakala kata majmuk tidak begitu ketara jumlah cirinya jika dibandingkan dengan frasa yakni 36% pada kata majmuk. Peratusan ini membuktikan bahawa dari segi bentuknya, frasa lebih mudah dibina dan dijana berbanding dengan kata majmuk. Frasa juga adalah lebih jauh berbeza daripada kata majmuk dari aspek konstruksi, susunan dan makna.



BIBLIOGRAFI Abdullah Hassan, 1986. Penerbitan Kata Dalam Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Abdullah Hassan (penyusun), 1992. Rencana Linguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 1994. Bahasa Melayu untuk Maktab Perguruan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Aishah Mahdi, Kata Majmuk dalam Bahasa Malaysia Hari ini, dlm Jurnal Dewan Bahasa 6, hlm. 417-427, 1978. Allen. M. R., 1979. Morphological Investigations. PHD Dissertation. London: Connecticut .The University Of Connecticut. Arbak Othman, 1980. Pengantar Teori Sintaksis-Satu Pengenalan Konsep Tatabahasa Transformatif Generatif. Kuala Lumpur. Penerbit Sarjana. Asmah Haji Omar, 1993. Nahu Melayu Mutakhir. Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Breal Michel, 1964. Semantics : Studies in the Science of Meaning. New York: Dover Publication, Inc. Di Sciullo & Williams. E., 1988. On the Defination of Words. Linguistic Inquiry Monograph :14. Massachusetts USA: The MIT Press.   Gaya Dewan, 1995. Edisi Ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Hj Musa, 1993. Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Musa & Ong Chin Guan, 1998. Pengantar Ilmu Makna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Howard Lasnik & Juan Uriagereka, 1988. A Course in GB Syntax.



Massachusetts USA: The MIT Press. Kamus Dewan, 1994. Edisi Ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, 1996. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti. Kamus Linguistik, 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Lufti Abbas, 1981. Morfem-Morfem Nama dlm Jurnal Dewan Bahasa 5: 4952. Lufti Abbas, 1982. Kata Majmuk dlm Jurnal Dewan Bahasa 12: 911-940. Mohd Daut Bin Hj Salleh, 1991. Kata Majmuk Dalam Bahasa Melayu. Latihan Ilmiah. Kuala lumpur: Universiti Malaya. Mohd Khusairi Hj Abdullah, Sedikit Tentang Kata Majmuk, Rangkaikata dan Idioms-Satu Pola Perbandingan dlm Jurnal Dewan Bahasa 6, hlm.250-257, 1977. Nik Safiah Karim, 1988. Linguistik Transformasi Generatif- Suatu Penerapan Pada Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim et. al., 1992. Tatabahasa Dewan. Jilid 1 : Ayat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim et. al., 1993.Tatabahasa Dewan. Jilid 2 : Perkataan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim et. al., 1996.Tatabahasa Dewan. Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sumalee Nimmanupap, 1995. Kata Majmuk Dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Thai - Suatu Perbandingan Morfologi. Tesis PHD. Kuala Lumpur: Universiti Malaya Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz



SASTERA DAN BUDAYA



Analisis kesalahan bahasa karangan pelajar menengah atas 4. Taksonomi Kategori Linguistik Menurut Nik Safiah Karim (dlm Awang Mohamad Amin 1992: 46) menamakan ayat, klausa, frasa, kata dan morfem sebagai 'aspek-aspek bahasa'. Beliau juga menamakan sintaksis dan aspek-aspek penghuraian ayat, klausa dan frasa itu sebagai kajian sintaksis dan aspek penghuraian kata dan morfem sebagai kajian morfologi. Seterusnya beliau menamakan kajian terhadap semua aspek bahasa sebagai kajian



morfologi sintaksis. Berdasarkan analisis yang dilakukan, kesalahan morfologi berkait rapat dengan penguasaan dan kemahiran pelajar menggunakan imbuhan ataupun bentuk kata terbitan. Di samping itu, pelajar terlalu banyak bermain dengan kata ganda ataupun kata yang membawa maksud jamak khususnya dalam binaan ayat kompleks atau ayat majmuk. Dari segi kesalahan sintaksis pula, kesalahan banyak berlaku dalam pemilihan frasa dan binaan antara frasa. Yang lebih mendukacitakan ialah tautan antara satu frasa tidak berkohesi. Pelajar sebenarnya mempunyai banyak idea tetapi mereka menggabungkan beberapa idea itu dalam satu perenggan sekali gus. Situasi ini menyebabkan idea pada pada perenggan berikutnya tidak berkembang malah sering kali pula frasa yang disebut pada perenggan sebelumnya diulang kembali pada perenggan berikutnya. Ini menyebabkan berlaku kelewahan frasa yang tidak sepatutnya. Pelajar juga diganggu dengan bahasa ibunda mereka berhubung dengan penggunaan bahasa sapaan atau rujukan kata ganti nama bagi orang ketiga misalnya makna kata beliau. Pelajar mungkin beranggapan bahawa kata beliau hanya dimiliki oleh DMB sahaja dan kata rujukan ini biasanya digunakan sebagai bahasa bahasan untuk merujuk orang tua, bapa ataupun suami. Pada hakikatnya kata beliau adalah bahasa standard yang biasa digunakan sebagai bahasa persuratan, pemberitaan, pengucapan dan sebagainya. Kata ini merujuk kepada kata ganti nama orang ketiga (pronomina persona tunggal hormat). 5. Taksonomi Efek Komunikasi (TEK) Terdapat dua istilah yang digunakan dalam (TEK) iaitu kesalahan global dan kesalahan lokal. Kesalahan global adalah kesalahan yang boleh menimbulkan ketaksaan, kekeliruan ataupun ketidakfahaman terhadap mesej yang hendak disampaikan dan justeru itu boleh menjejaskan komunikasi (Henry Guntur Tarigan & Djago Tarigan 1988:164). Pengucapan jenis ini berkategori [(+G4 ) (-P5 ) atau [(-G) (-P)] yang dirujuk sebagai kesalahan global. S1 5.1 Salah: Bagi manusia dibumi ini tahu bahawa peperangan adalah satu keburukan untuk negara. Betul: Semua penduduk dunia mengetahui bahawa peperangan membawa keburukan/kemusnahan kepada sesebuah negara. Manakala kesalahan lokal pula adalah jenis kesalahan bahasa yang menimbulkan kejanggalan tetapi tidak pula menimbulkan kekeliruan ataupun menjejaskan pemahaman. Pengucapan yang tidak efektif pada situasi pengucapan itu berkategori [(-G) (+P)] dirujuk sebagai kesalahan lokal. S2 5.2 Salah: Pada zaman sekarang wanita banyak terdedah dari segi sosial, ekonomi dan politik. Betul: Pada zaman sekarang wanita banyak mengalami pendedahan dari segi sosial, ekonomi dan politik.



S3 5.3 Salah: Ada seorang bapa pernah memberi pengakuan bahawa dia terlalu sibuk … Betul: Seorang bapa pernah memberi pengakuan bahawa beliau terlalu sibuk … Huraian kesalahan: Kata dia merujuk kata ganti nama diri kedua. Dalam konteks ayat di atas kata ganti nama kedua dia tidak sesuai digunakan. Pelajar ini sepatutnya menggunakan kata ganti nama diri ketiga beliau. 6. Intervarian Bahasa Melayu Standard Terdapat beberapa lagi istilah dalam bidang AKB iaitu Intervarian BMS dan Interlanguage selain daripada yang sudah dibincangkan sebelum ini. Intervarian BMS merujuk kepada ketidaksempurnaan bahasa pelajar-pelajar Melayu yang memperlihatkan kesalahan bahasa yang tidak wajar. Seperti yang dijelaskan pada perenggan sebelum ini, salah satu faktor yang menyebabkan gejala kesalahan bahasa berlaku kerana pelajar-pelajar Melayu bukanlah penutur jati BMS. Bahasa yang dikuasai oleh pelajar adalah variasi bahasa Melayu atau dialek yang dianggap standard. Sehubungan itu, pelajar lebih selesa menggunakan dialek standard berkenaan kerana mereka mengetahui dan sedia maklum dengan hukum tatabahasa natif tersebut. Begitu juga jika seseorang itu adalah penutur jati BMS, maka wujudlah darjah pemahaman yang tinggi sekali gus seseorang itu mahir menguasai hukum tatabahasa BMS. Berdasarkan penelitian, intervarian BMS berlaku bukan sahaja daripada aspek sebutan, binaan morfologi, binaan frasa dan juga binaan sintaksis malah yang paling kerap sekali ialah pemindahan struktur ayat lisan (dialek/bahasa basahan) bahasa natif pelajar dalam wacana tulisan. Perhatikan contoh binaan ayat di bawah:S4 6.1 Salah: Ada seorang bapa pernah memberi pengakuan bahawa dia terlalu sibuk … Betul: Seorang bapa pernah memberi pengakuan bahawa beliau terlalu sibuk … S2 6.2 Salah: Kaum wanita juga kebanyakan mengikuti bidang politik … Betul: Kebanyakan kaum wanita melibatkan diri mereka dalam bidang politik … Huraian kesalahan: Kesalahan penggunaan perkataan ada pada permulaan ayat. Kesalahan kecil pelajar ini ialah memindahkan ayat lisan dalam bentuk wacana dengan menzahirkan perkataan ada. 7. Interlanguage atau Antarbahasa Bagi pelajar bukan Melayu yang masih memperlihatkan kesalahan bahasa dalam BMS, situasi kesalahan bahasa ini tidak dirujuk sebagai intervarian BMS sebaliknya



disebut sebagai interlanguage. Henry Guntur Tarigan dan Djago Tarigan (1988) menggunakan perkataan antarbahasa untuk mendukung maksud yang sama dengan interlanguage. Antarbahasa merujuk kepada sesuatu B2 yang belum dikuasai sepenuhnya oleh seseorang pelajar atau seseorang individu. Sebagai contoh, bahasa Inggeris dikategorikan sebagai B2 bagi pelajar-pelajar Melayu dan bagi pelajar bukan Melayu yang menggunakan BMS, maka BMS itu adalah B2 mereka. Pelajar yang mempelajari B2 dan masih melakukan kesalahan bahasa kerana bahasa yang mereka gunakan itu bukanlah bahasa total seperti penutur jati bahasa B2. Dalam situasi ini, bahasa Inggeris yang belum sempurna dikuasai oleh pelajar Melayu atau BMS yang belum sempurna dikuasai pelajar bukan Melayu dikategorikan sebagai antarbahasa. Larry Selinker mengemukakan lima proses utama punca berlakunya interlanguage ialah: 7.1 Pemindahan bahasa, iaitu gangguan daripada bahasa pertama. 7.2 Pemindahan latihan, iaitu item-item peraturan dan subsistem yang disalahgunakan sebagai akibat latihan. 7.3 Strategi pemelajaran bahasa sasaran. Pelajar B2 mungkin menghasilkan strukturstruktur ayat yang sudah dihayati atau mengelakkan penggunaan struktur yang sukar. 7.4 Strategi komunikasi bahasa kedua, iaitu strategi berkomunikasi secara penuturpenutur asli. 7.5 Generalisasi yang berlebihan terhadap bahasa sasaran. Perhatikan binaan ayat pelajar berbangsa Cina yang dikodkan sebagai S4 di bawah: i) Salah: Sekarang wanita tidak lagi dipandang rendah … Betul: Golongan wanita pada masa ini tidak lagi dipandang rendah … Huraian kesalahan: Penanda masa sekarang tidak sesuai digunakan. Jika diamati frasa ayat tersebut, ternyata memperlihatkan pemindahan kata-kata biasa dalam wacana. ii) Salah: … wanita tidak lagi hanya duduk mendukung anak-anak mereka didada sahaja .. Betul: … wanita bukan setakat mendukung anak sahaja … iii) Salah: … wanita pun boleh seperti polis, juruterbang dan sebagainya. Betul: … wanita pun boleh menceburi kerjaya anggota polis, juruterbang dan sebagainya. Huraian kesalahan: Frasa boleh seperti dalam konteks ayat di atas membawa maksud meniru atau menyamar. Menurut pemahaman penulis, maksud yang ingin disampaikan oleh pelajar ini ialah golongan wanita berkeupayaan menjawat jawatan atau kerjaya yang dahulunya dimonopoli oleh golongan lelaki.



8. Kelemahan Pelajar Selain daripada faktor bahasa ibunda pelajar terdapat beberapa faktor lain juga turut menyumbang situasi kesalahan bahasa di kalangan pelajar. Antara faktor tersebut ialah dari segi sikap dan budaya membaca. Dari segi sikap, jelas memperlihatkan penutur bahasa (merujuk pelajar dalam kajian ini) mengambil mudah kerana pada asasnya bahasa Melayu itu adalah bahasa ibunda dan bahasa pertuturan mereka. Mereka menjangkakan bahawa sebagai penutur asli bahasa Melayu, mereka menguasai sepenuhnya sistem dan bentuk bahasa itu. Para pelajar seharusnya bijak menyesuaikan penggunaan bahasa Melayu dalam bentuk dan rumus yang betul khususnya dalam persuratan berbanding pertuturan. Komunikasi dalam domain yang tidak rasmi lazimnya berlaku pengguguran yang dibenarkan atas faktor penjimatan masa dan sebagainya. Meskipun begitu, ungkapan tersebut dapat dikod atau difahami oleh pendengar atau lawan bercakap. Namun dalam konteks persuratan, sistem dan rumus tatabahasa itu harus tepat. Jika tidak, berlakulah kesalahan bahasa dari segi ayat yang tidak gramatis, kesalahan imbuhan, ketidakpekaan semantik, ayat yang berbentuk lisan, longgar dan tidak kemas atau berjela-jela dan tergantung. Kesalahan semantik akan menyebabkan makna sesuatu ayat menjadi lain. Walaupun secara zahirnya ayat tersebut memenuhi hukum nahu menurut sistem SVO [binaan ayat dalam bahasa Melayu dimulai oleh subjek, predikat dan (objek)] namun dari segi makna alamiahnya tetap salah seperti contoh ayat (i) Ambuyat dibuat daripada pohon rumbia dan (ii) Peperangan adalah perkelahian. Bagi mereka yang tidak mengetahui bahasa dan budaya sesuatu komuniti, informasi yang diterima akan dianggap betul tanpa mengetahui informasi tersebut sebenarnya mengandungi kesalahan semantik. Terdapat juga pelajar membina ayat-ayat yang mendokong makna akaliah. Situasi ini menyebabkan berlakunya kelewahan bahasa, misalnya dalam contoh ayat (i) Wanita tidak lagi hanya duduk mendukung anak-anak mereka didada sahaja. Frasa mendukung anak-anak sudah menjelaskan makna akaliah tanpa perlu diikuti frasa di dada. Berdasarkan data kajian, terdapat pelajar yang mempunyai banyak idea untuk diterjemahkan dan mereka memindahkan idea tersebut secara sekali gus sehingga menjadikan ayat tersebut ayat kompleks. Pada asasnya idea-idea itu perlu dibina sehingga membentuk suatu kesatuan idea secara berurutan atau berkohesi. Fungsinya adalah untuk saling menjelaskan dan lengkap-melengkapi antara satu ayat dengan ayat yang lain tetapi apabila pelajar tidak menguasai hukum tatabahasa sekalipun bahasa natifnya sendiri maka seringkali pula pelajar melakukan kesalahan bahasa. Pada akhirnya mereka bukan sahaja tidak berupaya mengungkapkan idea dengan tepat, konstruksi ayat yang tidak berkohesi ditambah lagi lemahnya mereka dalam hukum tatabahasa akan menyumbangkan kepada gangguan bahasa yang berterusan. Gangguan yang berterusan seperti ini jika tidak di atasi akan menjadi satu pembiasaan dan pembiasaan inilah menjadi penyakit yang mengambil masa untuk dipulihkan. Dari aspek budaya membaca, kekurangan budaya membaca bahan bacaan bermutu akan menyebabkan kurangnya kematangan dalam menjana idea-idea. Maka yang demikian, berlakunya pengulangan isi yang sama beberapa kali. Ini menunjukkan pelajar kurang menitikberatkan bahan bacaan bermutu selain daripada buku teks. Penulis telah membuat satu kaji selidik di sekolah-sekolah Daerah Brunei dan Muara dalam kerangka menyiapkan latihan ilmiah mendapati bahawa peratusan tinggi pelajar-pelajar membaca bahan bacaan bercorak humor dan majalah hiburan. Kita



memang tidak menafikan peranan kedua-dua genre ini dalam membentuk karateristik, mengujudkan keceriaan dan memberi informasi kepada pelajar dalam memenuhi masa senggang mereka. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik pelajar-pelajar membiasakan diri mereka membaca surat khabar, jurnal-jurnal yang berwibawa, mengikuti berita arus perdana luar negeri dan sebagainya bagi membantu memperkayakan pengetahuan mereka. Melalui sumber-sumber bacaan yang berwibawa ini, para pelajar bukan sahaja memperolehi maklumat terkini dan tepat malah juga berupaya menjana pemikiran dalam melahir idea-idea yang membina dan kreatif dalam wacana karangan mereka. 9. Kesimpulan Bahasa merupakan alat perhubungan manusia. Dalam proses pengajaran dan pemelajaran di bilik darjah, guru dan pelajar berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan bahasa. Hakikat ini perlu disedari oleh semua guru bukan sahaja guru bahasa tetapi juga guru mata pelajaran lain. Para guru ditegaskan juga supaya sedar akan kehendak linguistik mata pelajaran masing-masing dan cara-cara membantu pelajar memenuhinya. Ini bermakna para guru haruslah mempraktikkan penggunaan bahasa yang betul, tepat dan gramatis sesuai dengan konteks yang diperkatakan. Dengan kata lain komunikasi dengan menggunakan bahasa sama ada dizahirkan dalam bentuk ujaran atau tulisan, pengungkapan ayatayat yang dibina itu haruslah gramatis yakni betul tatabahasanya, boleh diterima yakni betul juga maksudnya. Ayat-ayat yang berkategori [+ gramatis] dan [+ penerimaan] itu juga seharusnya tidak bertentangan dengan hal-hal yang berlaku dalam dunia nyata. Mungkin ada orang berhujah bahawa penggunaan bahasa adalah semata-mata untuk berkomunikasi dan menyampaikan maklumat. Jika tercapai matlamat tersebut, maka tercapailah tujuan bahasa. Bahasa sebagai alat komunikasi harus mematuhi syarat antaranya penggunaan tatabahasa yang betul. Justeru soal kegramatisan dan penerimaan perlu diutamakan baik dalam penulisan mahupun dalam pertuturan. Masalah yang membelenggu pelajar bukan sahaja masalah kecekapan berbahasa lebih dari itu ialah masalah penguasaan bahasa dan ini menyebabkan pelajar tidak berupaya mengungkapkan idea mereka dengan berkesan dan menarik kerana kosa kata yang dimiliki terhad. Perkara ini bertitik tolak daripada kurangnya amalan budaya membaca karya-karya kreatif seperti novel, rencana, makalah ilmiah dan akhbar arus perdana yang setentunya memiliki perbendaharaan kata yang luas. Seperti kata Munsyi Abdullah "lagi kutebas pohon di hutan, baru kutahu luasnya belantara". Proses pembelajaran holistik menuntut pelajar khususnya menerokai dan mencari ilmu demi meningkat ilmu pengetahuan dan secara tidak langsung meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dan kemahiran berbahasa mereka. Jika pelajar rajin membaca dan situasi ini berlaku secara berterusan dengan sendirinya mereka mampu menguasai hukum tatabahasa bahasa tersebut. Malangnya kurang inisiatif pelajar untuk membaca bahan bacaan bermutu menjadi satu lagi faktor yang banyak menyumbang kepada berlakunya kesalahan bahasa. Budaya membaca bahan bacaan popular dan karya picisan tidak banyak membantu pelajar merangsangkan idea mereka apatah lagi kurangnya minat pelajar mengikuti perkembangan berita arus perdana luar negeri sama ada dalam persuratkhabaran ataupun siaran multimedia. Minda mereka tidak tercabar dengan isu-isu berat yang mampu merangsang kebolehan berfikir dan mengembangkan idea.



Berbalik pula kepada persoalan bahasa, yang menjadi penting dalam jangka masa panjang ialah penggunaan bentuk-bentuk bahasa yang betul dan tepat berdasarkan aturan bahasa. Hal ini amat penting kerana, jika aturan bahasa dibiarkan atau tidak diambil peduli, maka suatu hari nanti akan timbul kekeliruan di kalangan pengguna dan penutur bahasa. Kemungkinan bentuk-bentuk bahasa yang ditetapkan salah akan menjadi betul kerana pengabaian aturan bahasa. Mengikut Abdul Hamid Mahmood (dlm Mohammed Haron 1996:294) kesalahan bahasa akan berlaku sekiranya pelajar tidak menggunakan bahasa yang baku. Penguasaan bahasa baku mengikut pendapat beliau, bererti menguasai semua aspek kebahasaan termasuklah aspek sebutan, ejaan, istilah, tatabahasa dan kosa kata. Jika pelajar gagal menguasai aspek-aspek tersebut maka pelajar berkecenderungan melakukan kesalahan. Sesungguhnya sesuatu yang sukar dalam bahasa mengikut Zaaba ialah "membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa". BIBLIOGRAFI Ahmad Kadi. 1994. Pengembangan dan pembinaan bahasa Melayu dan matlamatnya (merujuk kepada situasi Brunei Darussalam). Prosiding Seminar Kebahasaan: 1-24. Ajid Che Kob. 1989. Pembetulan kesalahan bahasa: antara citarasa guru dengan kecenderungan murid. Jurnal Bahasa 33 (9): 605-609. Awang Mohamad Amin. 1992. Satu kajian khusus penguasaan bahasa Malaysia peringkat sekolah menengah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2001. Bahasa Melayu/Indonesia sebagai pembina peradaban baru (Prosiding Seminar Kebahasaan dan Sastera). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Halijah Abd Hamid. 1995. Bahasa Melayu merentas kurikulum. Pelita Bahasa: 31-32 Halimah Hj Ahmad. 1993. Analisis kesilapan: satu kajian kes kesilapan bahasa Melayu. Jurnal Bahasa 37 (3): 243-255. Henry Guntur Tarigan & Djago Tarigan. 1988. Pengajaran analisis kesalahan berbahasa. Bandung: Penerbit Angkasa. Ibrahim Ahmad. 1989. Analisis kesalahan bahasa sebagai satu pendekatan pengajaran bahasa Malaysia. Jurnal Bahasa 33 (9): 611-614. Isaac Slobin. 1992. Ilmu psikolinguistik. Terj.Ton Ibrahim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail Dahaman. 1997. Bahasa Kita. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Jonit, Mohd. 1996. Kemahiran menulis karangan pada peringkat sekolah menengah atas: sukatan pelajaran, prestasi, masalah dan keperluan. Jurnal Dewan Bahasa 40 (1): 78-87.



Kamaruddin & Siti Hajar. 1997. Ilmu bahasa dan kecekapan berbahasa. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman. Kamaruddin Sulaiman. 1994. Masalah dalam pengajaran bahasa Melayu: siapa yang harus dipertanggungjawabkan. Jurnal Dewan Bahasa 38 (11): 964-973. Kamislin @ Abd Halim. 2003. Kesilapan berbahasa kerana sikap?. Jurnal Dewan Bahasa: 14-21. Mangantar Simanjuntak. 1988. Serba-serbi bahasa Melayu Brunei. Beriga: 3-22. Mohammed Haron. 1996. Kesilapan penggunaan kata jamak dalam karangan pelajar peringkat STPM. Jurnal Dewan Bahasa 40 (4): 292-301. Nathesan, S. 1999. Pendekatan dan teknik pendidikan bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nawi Ismail. 1996. Kesalahan ejaan: suatu permasalahan yang tidak berkesudahan. Jurnal Dewan Bahasa 40 (1): 39-43. Roslin Talif, Malachi Edwin & Amin Arhad, Mohd. 1989. Analisis kesalahan bahasa: satu kajian terhadap kesalahan bahasa Inggeris. Jurnal Bahasa 33 (9): 615-622. SASTERA DAN BUDAYA



Kohesi (Tautan) dalam Analisis Wacana 1. Pengenalan Sebelum diterangkan tentang kohesi dalam wacana, ada baiknya untuk melihat makna definisi mengenai dengan wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan cerita dengan bahasa yang mudah dan kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan maklumat. Manakala, dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu pula telah diperkenalkan beberapa definisi wacana, seperti, i. Harimurti (1984:204)1 "Wacana atau dalam Bahasa Inggerisnya ialah 'Discourse'. Wacana merupakan satuan bahasa yang lengkap, iaitu dalam hierarki gramatikal merupakan satuan gramatikal tertinggi ataupun terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku seri ensiklopedia dan sebagainya, paragraf, kalimat atau ayat yang membawa amanat yang lengkap." ii. Anton M.Moeliono (1995:407)2 "Wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu."



Menurut Asmah (1982)3, wacana tidak mempunyai satu-satu jenis ayat yang terdiri dengan utuhnya tanpa dipengaruhi oleh proses-proses kelahiran ayat. Ini bermaksud bahawa ayat yang selalu didapati dalam struktur dan sistem secara teratur. Asmah telah membezakan ayat sistem daripada ayat wacana. Ayat sistem adalah ayat atau tutur yang dikeluarkan dan diasingkan dari konteks wacana, sedangkan ayat wacana yang juga disebut ayat teks adalah ayat yang betul-betul terdapat dalam wacana teks dan wacana lisan. Menurut Fokker (1951)4 pula, hubungan kesinambungan cerita itu dapat menunjukkan secara nahuan, iaitu perujukan (verwijzing), kata-kata penghubung (verbindingswoorden) dan pengguguran (ellips). Kesatuan makna dalam wacana seperti yang diterangkan di atas akan dilihat dari segi makna logik dan makna tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep semantik dan merujuk kepada perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang membentuk wacana. Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa definisi mengenai wacana yang diambil daripada berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa adanya persamaan dan juga perbezaan pendapat mengenai dengan definisi wacana yang diperolehi dari ahliahli linguistik ataupun penulis. Di samping itu juga, wacana letaknya lebih tinggi daripada ayat pada skala tatatingkat tatabahasa dan mempunyai keteraturan fikiran logik (coherence) dan juga tautan (cohesion) dalam strukturnya. Wacana dicirikan oleh kesinambungan maklumat. Makna kesinambungan di sini adalah diertikan sebagai kesatuan makna. Perhatikan gambar rajah di bawah ini, Unsur-unsur penting dalam wacana adalah seperti, satuan bahasa, terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi, berkesinambungan, kohesi, lisan atau tulisan awal dan juga akhir yang nyata. 2. Kohesi (Cohession) Kohesi merupakan aspek formal bahasa dalam wacana. Dengan itu kohesi adalah 'organisasi sintaktik'. Organisasi sintaktik ini adalah merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Dengan susunan sebegitu organisasi tersebut adalah untuk menghasilkan tuturan. Ini bermaksud bahawa kohesi adalah hubungan di antara ayat di dalam sebuah wacana, tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Dengan penguasaan dan juga pengetahuan kohesi yang begitu baik, ia akan dapat menghasilkan wacana yang baik. Dalam kohesi, kaedah- kaedah yang digunakan adalah berdasarkan penyampaian maklumat lama dan maklumat baru. Kaedah-kaedah itu adalah seperti kaedah perujukan, kaedah penggantian, kaedah pengguguran, kaedah konjungsi dan kohesi leksikal. Wacana juga dicirikan oleh kesinambungan maklumat yang diertikan sebagai kesatuan makna. Kesatuan makna dalam wacana ini pula dapat dilihat dari segi makna logik dan makna tautan. Tautan (cohesion) berbeza dengan keteraturan fikiran, ini bermaksud bahawa kohesi ataupun tautan adalah merupakan konsep semantik yang juga merujuk kepada perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang membentuk wacana.



Manakala menurut Halliday dan Hasan (1976)5, tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu 'teks' itu berkesatuan. Ini bererti bahawa hubungan makna sama ada makna leksikal mahupun makna nahuan, perlu diwujudkan secara terpadu dalam kesatuan yang membentuk teks. Menurut Halliday dan Hasan6 lagi, "Cohesion is expressed through the strata organization of language. Language can be explained as a multiple coding system comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the lexicogrammatical (forms) and the phonological and orthographic (expression). Meanings are realized (coded) as forms, and the forms are realized in turn (recoded) as expressions. To put this in everyday terminology, meaning is put into wording and wording into sound or writing." Halliday dan Hasan (1976)7 telah mencuba melihat tautan makna itu dari dua sudut, iatu tautan nahuan dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Tautan ataupun kohesi ini juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks dengan cara menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Kaedah pertautan ini lebih dikenali dalam istilah perujukan, penggantian, pengguguran, konjungsi dan nahuan leksikal. Seperti rajah di bawah, Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya. 2.1 Perujukan Perujukan ataupun rujukan ini ialah merujuk kepada unsur sebelum atau selepas yang berkaitan dengan hubungan semantik. Perujukan ini dilihat dari dua sudut, iaitu Perujukan Eksoforik dan Perujukan Endoforik. 2.1.1 Perujukan Eksoforik Perujukan Eksoforik ini digunakan untuk merujuk kepada hal-hal yang mempunyai kaitan dengan situasi yang berkembang di depan penutur ataupun pendengar yang menerima mesej ataupun maklumat yang telah disampaikan kepadanya. Halliday dan Hasan (1976)8 mengatakan bahawa perujukan eksoforik ini menerangkan tentang situasi yang merujuk kepada sesuatu yang telah diidentifikasi dalam sesuatu konteks bagi sesebuah situasi. Manakala, Harimurti Kridalaksana (1982) memberikan pengertian bahawa perujukan eksoforik ini adalah hal ataupun fungsi yang menunjukkan kembali kepada sesuatu yang ada di luar daripada sesebuah situasi. Ini bermakna bahawa perujukan eksoforik ini adalah merujuk kepada hal-hal yang di luar daripada konteks. Dalam situasi ini kaedah perujukan eksoforik inilah yang akan digunakan bagi menunjuk kepada sesuatu yang telah berlaku pada ketika sesuatu ujaran itu berlaku. Menurut Sato (1997), perujukan eksoforik ini kadangkala digunakan dalam hal menunjukkan sesuatu itu secara langsung, iaitu eksofora (exophora) kerana ungkapan eksofora mempunyai fungsi perujukan yang telah diperlihatkan oleh kata ganti. Perujukan eksoforik ini mengandungi tiga perkara iaitu, konteks segera, pengetahuan bersama dan pengetahuan satu dunia wacana.



2.1.1.1 Konteks Segera Konteks segera ini juga dikenali sebagai Immediate Context. Sebagai contoh, Contoh 1: ",,, aku tidak mudah percaya dengan kepura-puraan ini". Beberapa pandangan dilemparkan kepada kami. Aku gelisah dengan pandangan itu. (Leman Ahmad. 1984: 39) 2.1.1.2 Pengetahuan Dikongsi Bersama Pengetahuan dikongsi bersama ini juga dikenali sebagai Shared Knowledge. Contoh 2: (1) Congo mengalami wabak virus pada akhir 1990 yang meragut 120 nyawa. Pihak berkuasa kesihatan di negara jiran, termasuk Afrika Selatan, mengeluarkan amaran pada minggu lalu … ( Media Permata. 5 April 2005: 19) 2.1.1.3 Pengetahuan Dalam Satu Dunia Wacana Contoh 3: (1) Bukti awal sudah ketara apabila lagunya Tangisan Dalam Kerinduan kini menjadi siulan anak muda. (Media Permata. 9/10 April 2005: 11) 2.1.2 Perujukan Endoforik Perujukan endoforik ini pula merujuk apa yang hanya ada di dalam sesebuah teks. Seperti apa yang telah diterangkan oleh Halliday dan Hasan (1976)9 yang mengatakan bahawa perujukan endoforik ini merujuk kepada teks sahaja iaitu, merujuk hanya apa yang ada di dalam teks. Harimurti Kridalaksana (1982) memberikan pendapat bahawa perujukan endoforik ini adalah hal atau fungsi yang menunjukkan kembali pada hal-hal yang ada dalam wacana, mencakupi perujukan anaforik dan perujukan kataforik. 2.1.2.1 Perujukan Anaforik Ada yang mengatakan bahawa perujukan anaforik ini adalah merujuk kepada unsur sebelum. Contoh 4: (1) Bersua dengan Farah memang menyeronokkan kerana sikap peramahnya menyebabkan seseorang akan merasa cepat mesra dengannya. (2) Gadis 'Breep, Breep' ini cepat-cepat menyangkal bahawa populariti telah mengubahnya, sebaliknya memberitahu dia masih Farah yang dulu. (Media Permata. 9/10 April 2005:11) (1) … Farah memang menyeronokkan … (2) … dia masih Farah yang dulu Penganjur Perujuk



2.1.2.2 Perujukan Kataforik Perujukan Kataforik ini juga dikatakan merujuk kepada unsur selepas. Contoh 5: (1) Dia seorang budak berani, cergas dan cerdik. (2) Oleh sebab kehidupan ibu bapa Hang Tuah di Melaka susah, mereka lalu berpindah ke Pulau Bentan. ( Harun Aminurrashid. 2001:8) (1) Dia seorang… (2) Oleh sebab kehidupan ibu bapa Hang Tuah … Perujuk Penganjur 2.2 Penggantian Penggantian ini dikenali sebagai Substitution. Penggantian adalah pengambilan alihan atau pertukaran bagi sesuatu segmen kata, frasa atau klausa oleh kata ganti yang lainnya. Penggantian ini juga ada penggantian nomina, penggantian verba dan penggantian klausa. 2.2.1 Penggantian Nomina Contoh 6: (1) Kini kereta itu dijumpai semula oleh Polis ... (2) Bagaimanapun kereta itu sudah bertukar wajah menjadi "besi buruk". (Media Permata. 8 April 2005:1) 2.2.2 Penggantian Verba Contoh 7: A: Liz says you drink too much. B: So do you! (Ann M.Martin. 1995:54) 2.2.3 Penggantian Klausa Contoh 8: A: "Oh, here's what I owe you" B: "Me, too". (Ann M.Martin. 1995:97) 2.3 Pengguguran



Ada yang mengatakan bahawa pengguguran ini juga sebagai penghilangan dan juga ia lebih dikenali sebagai elipsis. Pengguguran ini mengandungi pengguguran nomina, pengguguran verbal dan pengguguran klausa. 2.3.1 Pengguguran Nomina Contoh 9: A: " Kita ini perlu anak. Tau anak! Adanya anak akan lebih bererti hidup …" B: "Kenapa diungkit-ungkit juga soal ^ itu?" (Leman Ahmad. 1984: 24) 2.3.2 Pengguguran Verba Contoh 10: A: "Pernahkah kamu menaiki beca dan basikal?" B: "ya, pernah ^ " (Tarigan, H.G. 1995:166) 2.3.3 Pengguguran Klausa Contoh 11: Guru: "Apakah kamu mahu mendapat biasiswa dari kerajaan?" Pelajar: "Ya tentu" (Tarigan, H.G. 1995:147) 2.4 Konjungsi Konjungsi ini juga dikenali sebagai Conjunction. Ada konjungsi yang mempunyai kebalikan, tambahan, temporal dan sebab. 2.4.1 Kebalikan (Adversative) Contoh 12: (1) Kekuatan Awang Semaun yang luar biasa ini dikatakan kerana ia telah makan sejenis ikan yang bernama 'sumpit-sumpit' yang sangat ganjil dan kononnya ikan ini memang mempunyai kekuatan yang luar biasa. Cerita ini mungkin hanya sebagai suatu dongeng yang diceritakan oleh orang tua-tua kita. Walau bagaimanapun kekuatan Awang Semaun itu memang dari keadaan bentuk badannya yang tegap sasa. (Harun Aminurrashid. 2001:25) (2) Dia rajin sekali belajar, tetapi setiap peperiksaan, selalu tidak lulus.



(Tarigan, H.G. 1995: 137) 2.4.2 Tambahan (Additive) Contoh 13: (1) Aku melangkah ke depan. Sebentar menoleh ke kanan dengan ucapan assalatu lailahaillallah. Dan ke kiri juga. (2) Itu nilai aku sendiri. Nilai orang aku tak kisah. Dan itu pun buat masa ini. (Leman Ahmad. 1984: 31-32) 2.4.3 Temporal Contoh 14: Rantai itu terlalu panjang. Pada mulanya rantai itu hendak dibuangnya tetapi ada sesuatu yang menarik hatinya pada rantai itu. Lalu rantai itu dibasuhnya bersih-bersih. (Harun Aminurrashid. 2001: 28) 2.4.4 Sebab Contoh 15: (1) Mansor kerap kali datang ke sekolah dengan tidak membawa wang belanja, sebab ayahnya telah meninggal dunia. (2) Lima orang itu sangat masyhur ceritanya hingga hari ini kerana mereka terkenal sebagai pahlawan Melayu pada zaman Kerajaan Melayu Melaka dahulu. (Harun Aminurrashid.2001: 2 & 7) 2.5 Kohesi Leksikal Kohesi Leksikal diperoleh dengan cara memilih kosa kata yang serasi10. Ada dua cara bagi mencapai aspek leksikal kohesi ini, iaitu reiterasi dan kolokasi. 2.5.1 Reiterasi (Pernyataan Semula) Reiterasi atau pernyataan semula berlaku melalui tiga cara, iaitu pengulangan kata, sinonimi, superordinat dan kata-kata umum. 2.5.1.1 Pengulangan Kata Pengulangan kata ini dikenali juga sebagai repetition. Kata yang sering kali diulang ini adalah dari 'kata isi' (content word). Ini bermakna kata itu adalah kata yang amat penting bagi sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks ataupun wacana. Kata isi ini boleh dikenal pasti melalui dua cara. Cara yang pertama ialah kata itu atau 'kata isi' tersebut akan dijadikan sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan ataupun tidak digunakan jika diperkatakan di dalam intipati teks. Manakala cara yang kedua ialah jika kata tersebut tidak diulang maka berkemungkinan teks itu akan terganggu sifat kesatuannya.



Dalam bahasa Melayu, kata yang akan diulang itu boleh berubah bentuk dari segi ataupun sudut morfologi. Ini dapat dikategorikan di dalam pengulangan kata ini, jika kelas kata yang diulang itu tidak berubah. Contoh 16: (1) … amaran daripada penculik-penculiknya bahawa pasukan Amerika akan cuba membunuhnya datang menghantuinya… (2) " Saya serta-merta teringatkan apa yang diberitahu oleh penculik-penculik itu…" (3) … " Saya tidak banyak bercakap dengan penculik-penculik …" (Media Permata. 7 Mac 2005: 1) 2.5.1.2 Sinonim Sinonim ialah suatu kata yang mempunyai makna yang sama dengan 'kata seerti'. Sinonim ini digunakan kerana ianya untuk mengelakkan kebosanan bagi pengulangan kata yang sama di dalam teks dan juga sinonim ini memberikan variasi kepada sesuatu teks. Sesetengah kata dikatakan sinonim adalah disebabkan kedua-duanya merujuk kepada perkara yang sama. Contoh 17: (1) Gambar lukisan memastikan Iwo Jima terus menghidupkan kenangan Amerika, tetapi bagi kebanyakan warga Jepun pertempuran pulau berdarah adalah langkah… (2) … "Peperangan adalah sesuatu yang tidak boleh difahami melainkan ia dialami," Endo, yang pernah… (3) … "Perjuangan itu menjadi pengajaran kepada belia hari ini."… (Media Permata. 7 Mac 2005: 9) 2.5.1.3 Superordinat Superordinat ialah penggunaan kata yang lebih khusus atau 'hiponim' kepada kata yang lebih umum atau dikenali sebagai 'hiperonim'. Contoh 18: Semua yang ada di desa seperti kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan ayam, harus dibuatkanb kandangnya secara teratur. Ketua Kampung mengarahkan penduduk desa membuat kandang ternakan masing-masing. (Tarigan, H.G. 1995: 146) Superordinat bagi contoh 18 ialah kata umum yang merujuk 'kambing, kerbau, biribiri, ayam', iaitu 'ternakan'. Kata 'kambing, kerbau, ayam' adalah kata khusus yang juga dikenali hiponim. Seperti rajah di bawah, 2.5.1.4 Kata-kata Umum Kata-kata umum ialah kata-kata yang tidak tentu kelasnya. Contoh 19: Bagi Awang Semaun, jika ia beroleh sesuatu hasil perburuan atau berkarang, sebelum perolehan itu dibawanya balik ke rumahnya… (Harun Aminurrashid. 2001:25)



2.5.2 Kolokasi Bagi mengenal kolokasi adalah melihat dari dua sudut, iaitu dari sudut sintaksis dan dari sudut semantik. 2.5.2.1 Dari Sudut Sintaksis Contoh 20: (1) Ketika itu nama Brunei dikenali sebagai Puni, kerana ibu kotanya bernama Puni. Pada zaman Sultan Muhyiddin iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah Kerajaan Brunei itu dipindahkan ke tempat yang ada sekarang. (Harun Aminurrashid. 2001:19) (2) Di perkarangan itu, ditanam keperluan dapur sehari-hari; umpamanya: bayam, tomato, cili, ubi kayu, kacang panjang, lobak, kubis dan lain-lain. Di perkarangan itu, ditanam bahan ubat-ubatan tradisional; misalnya: misai kucing, lengkuas, halia, kunyit dan sebagainya… dijual ke pasar: sebagai contoh: bayam, cili, halia, kunyit dan sirih. (Tarigan, H.G. 1995: 138) 2.5.2.2 Dari Sudut Semantik Contoh 21: Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah air kita, iaitu perhubungan darat, laut dan udara. Dalam bidang perhubungan darat telah digalakkan pemanfaatan kereta api dan kenderaan bermotor. Kenderaan ini meliputi kereta, motosikal dan lain-lain. (Tarigan, H.G. 1995: 136) 3. Kesimpulan Setelah dilihat mengenai dengan kaedah-kaedah tautan atau kohesi yang telah dihuraikan secara ringkas sebelum ini, seperti perujukan, penggantian, pengguguran, konjungsi dan kohesi leksikal. Setiap kaedah-kaedah yang terkandung dalam tautan telah disertakan dengan contoh-contohnya sekali. Ini adalah bagi memudahkan dan juga memperlihatkan hubungan tautan atau kohesi itu dengan kaedah-kaedah yang telah disebutkan sebelum ini. Unsur tautan ataupun tetenunan ini membentuk satu sifat kesatuan, iaitu di antara satu dengan yang lainnya perlu berperanan bersama. Oleh itu, untuk menganalisa satu-satu teks ataupun konteks kedua-duanya diperlukan perhatian yang penuh. Rujukan Ann M. Martin. 1995. The Baby Sitters Club. New York: Scholastic Inc. Dk Zunainah Pg Aliuddin. 2002. Tautan Dalam Cerpen: Pelabuhan Senja. Latihan Ilmiah. Universiti Brunei Darussalam. Harimurti Kridalaksana. 1982. Kamus Linguistik. Jakarta: P.T. Gramedia. Harun Aminurrashid. 2001. Sinar Baru. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan



Pustaka. Leman Ahmad. 1984. Air Biru Ombak Biru. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka. Media Permata. 2005. 7 Mac. Media Permata. 2005. 5 April. Media Permata. 2005. 8 April. Media Permata. 2005. 9/10 April. Sato Hirobumi @ Rahmat Abdullah. 1997. Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Tarigan, H.G. 1995. Pengajaran Wacana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zaidatul Akmam Ibrahim. 2001. Kajian Analisis Wacana: Suatu Perbandingan Berdasarkan Buku Teks Bahasa Melayu Darjah Empat dan Menengah Satu. Latihan Ilmiah. Universiti Brunei Darussalam. Nota kaki 1 Harimurti (1984:204) 2 Anton M.Moeliono (1995:407) 3 Menurut Asmah (1982) 4 Menurut Fokker (1951) 5 Menurut Halliday dan Hasan (1976) 6 Menurut Halliday dan Hasan 7 Halliday dan Hasan (1976) 8 Halliday dan Hasan (1976) 9 Halliday dan Hasan (1976) 10 Kohesi Leksikal diperoleh dengan cara memilih kosa kata yang serasi Utama / Kementerian / Ucapan Menteri / Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi - Dis 2004



BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun 2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa. Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar, ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal. Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serbaserbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di merata dunia akan turut berubah. Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara



berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru. Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau yang membina bangsa yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa itu ialah yang sesuai dipanggil osmosis di mana proses nilai kuat lagi berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal disedut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah fenomena ini mungkin akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati ianya pasti berlaku. Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan, berita dan maklumat, kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris. Nisbah perkataan baru yang di ceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara tepat dan kalau dijawab pun ianya belum pasti akur kepada apa yang mungkin terjadi. Jika diamati generasi muda Melayu di pusat-pusat Bandar, akan tersua amalan asas mereka. Mereka leka dengan perkelilingan baru — keluarga, hiburan, sukan, tempat kerja dan tumpuan-tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur global yang telah dipopularkan melalui media, dagangan antarabangsa dan hiburan muzik serta wayang gambar hollywood dan bollywood. Mereka kian lama kian jauh dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia Melayu. Sementara itu golongan Korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan hak mereka dari “kuih” ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai setakat ini masih di paras 18%. Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan belum menepati janji serta aspirasi kita yang digurindamkan pada tahun 1971 dahulu. Dalam perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa Melayu (BM). Cuma kali ini ditambah sedikit dengan kaitannya dengan senario global. Sebenarnya memperkatakan tentang bahasa Melayu hakikatnya ialah kita memperkatakan satu-



satunya aspek asas orang Melayu itu sendiri. Survival bahasa Melayu di peringkat yang maju dan beridentiti lantas juga mencerminkan bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia adalah igauan politik yang hendak dicapai tetapi Bangsa Melayu sudah ada dan nyata. Kebelakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu. Tetapi boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang negatif tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek bahasa Melayu itu. Dari tahun 1999 hingga 2003 terdapat secara rambang sekitar 94 rencana utama termasuk kertaskertas simposium dan konvensyen yang memperkatakan tentang bahasa Melayu dari pelbagai sudut dan aspek. Tajuk-tajuk yang digemari ialah masalah bahasa rojak; keupayaan bahasa Melayu dalam dunia moden, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, kemampuan bahasa Melayu sebagai lingua franca di kepulauan Melayu, bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan, kelunturan bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya menyentuh tentang pusaka perhubungan Melayu ini. Malangnya tiada satu pun di antara rencana-rencana itu yang memuji atau memberi markah tinggi kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya usaha memperkasakan Bahasa Melayu semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti bidalan terpijak pergi terlanda pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel atau sikap yang ada ialah sikap tangkap muat atau taking things for granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya. bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan penuh permasalahan. Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan bangsa Malaysia amnya. Ia juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan rumit. Tajuk ini walaupun pernah dibincangkan dalam beberapa polemik yang terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah daripada jawapan. Ini adalah kerana bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat di dalam negara sendiri. Bercakap pasal bahasa Melayu di era global semestinya memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu beberapa isu bahasa secara domestik. Jika tidak, perbincangan kita semacam belum tegak sudah berlari. Bahasa sebagai alat komunikasi antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi. Ia berfungsi mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia berfungsi menyampaikan kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan, rasa hati dan gerak hati. Pendeknya sesuatu yang bermain-main dalam fikiran kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa. Dengan bunyi glottal atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini memakan masa dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai sebahagian bahasa sesuatu masyarakat itu mengalami ujian ‘penerimaan’ atau ‘penolakan’. Proses menerima atau menolak ini bergantung kepada sekuat mana jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih banyaklah kata-kata yang diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa sudah sedia ada kata-kata sendiri. Sesuatu yang bermain-main dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan secara khususnya disebut sebagai citra dalam Bahasa Sanskrit dan atau imej dalam alih Bahasa Inggeris. Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir tentang kuda, kita menuturkan sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata "Kuda". Ertinya setelah membayangkan



konsep "kuda" dalam fikiran, kita jelmakan ianya dalam bentuk lisan atau tulisan sebagai kuda. Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahaptahap ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang paling tinggi iaitu ilmu rasional ( ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif), ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah dan ilmu tertinggi ialah ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu. Setiap tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa yang di ungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik yakni yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat. Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu bahasa Melayu tidak mampu menjadi wahana sains dan matematik. Isu-isu bahasa : Pada amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan bahasa Melayu dalam konteks bina bangsa (nation building): i. Masalah penjiwaan bahasa Melayu ii. Masalah bahasa rojak iii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa Melayu iv. Utiliti atau sifat perlu-guna bahasa Melayu v. Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan bahasa Melayu vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963 vii. Perubahan dasar bahasa ilmu i. Penjiwaan bahasa Bagi tempoh tahun-tahun 1960’an Isu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menjadi perkara hangat dan isu yang membakar semangat perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa bangsa sesungguhnya sebahagian dari jiwa nasionalisme orang Melayu. Begitu penting dan utama bahasa Melayu sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke dalam fasal 3 perlembagaannya tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sementelahan pula istilah Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara mewajibkan seseorang itu berbahasa Melayu selain beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang Melayu. Kempen Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir Ismail masih diingati sebagai yang terhebat dan berkesan. Secara rambang keutuhan bahasa Melayu tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986. Bahasa Melayu itu sendiri mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan, kerjasama penyeragaman Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen dan penyemarakan bahasa menjadi amalan biasa sehingga apabila menjelang tahun 1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh tempat di kalangan pembaca. Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959 hingga awal 1980’an terus menjadi kilang guru bahasa Melayu yang berkesan dan disegani. Kini ianya cuma jadi



sejarah. Penekanan kepada bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah kurang mendapat perhatian. Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan sedemikian, maka hasil penjiwaannya juga turut berkurangan. Sastera Melayu, penulisan kreatif Melayu, bahasa Indah Melayu dan pada amnya pembudayaan bahasa Melayu turut merana. Bila jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah. Lemahnya penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan perkelilingan. Lemah penjiwaan ini hanya dapat diatasi dan diperkukuh semula jika hala tuju jiwa bangsa tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik hanya tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari tidak akan menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan hinggap kembali. Kini orang Melayu tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara “Hi” dan “Hello” dan “showtime” pepatah-petitih sudah dilupai. “Apa khabar” juga sudah dipulas oleh Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran Budi dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta Za’ba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk lagi. Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat dikatakan: “koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak”. Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita: Jangan disalai ciku kedondong Salailah ikan atas para Jangan salahkan ibu mengandung Salahkan badan yang buruk pinta. ii. Masalah bahasa rojak Kini kita sudah diserang penyakit campur-aduk seperti yang disebutkan di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang menyebabkan berkembangnya bahasa rojak. Bahasa rojak wujud dalam sesuatu ayat yang diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga campurannya itu semacam hidangan rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap dimakan tetapi bahasa rojak menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya dan paling parah, bangsa Melayu malu dipalunya. Awal-awal lagi boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke dalam sesuatu ayat bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar seperti kata-kata Pendeta Za’ba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang Melayu bahawa dalam bahasa Melayu sedia terdapat sekian banyak perkataan yang asalnya adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris, Portugis, Belanda, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya menyatakan perkataan-perkataan itu kerana umum sudah pun mengetahuinya. Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang ungkapanungkapan seperti “e-mail”, “sms” “internet”, “software”, “hardware”, “ISDN”, “html”, “computer” “website” dan sebagainya. Sekarang pun kita secara harian mendengar dialog seperti berikut: “Hei, hari ini birthday I lah” “Dalam hal ini you yang paling best”



“How are you today...harap OK lah” “You dah breakfast kah” “Hei, kawan-kawan, it’s showtime”. “Inilah showtime yang ori…” Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima dan di kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga diheret sama. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Di samping pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ianya sukar dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk bercakap antara seorang dengan seorang yang lain. Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah rosak keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak tertarik dengan amalan campur-aduk ini ke tahap yang dialami bahasa Melayu. Yang merunsingkan ialah kepekaan dan rasa prihatin masih belum tertera di pemikiran yang bertanggung jawab di bidang penggunaan bahasa. Ada beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk bahasa rojak yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak yang mengatakan bahawa apa salahnya diambil perkataan asing, sedangkan perkataanperkataan asing sudah pun dipinjam semenjak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu berasas kepada beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan bahasa Melayu: i. Istilah atau perkataan baru itu bolehlah diambil jika tiada perkataan yang sama maksudnya dalam bahasa Melayu; Jika dalam bahasa sendiri ada perkataan yang sesuai, kenapa kita perlu tiru hak orang? Dalam pengertian ini, misalnya kita tak perlu ambil birthday sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada dalam bahasa Melayu. Showtime boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori dengan asli; ii. Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus menambah ilmu dan jati diri kepada masyarakat. iii. Pihak pengembang dan pemaju bahasa ibunda harus bertindak dan membetulkan sesuatu ungkapan atau perkataan yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri. Malangnya kuasa membetulkan ini tiada pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini. Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat, seperti yang laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa besar dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan kita. Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar. Mekanisme penahanan atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita sekalipun agama itu tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis. Apabila bahasa berubah dan diubah soalan yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing. Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa imej yang mereka perolehi dengan



menyelitkan perkataan Inggeris di celah-celah ayat Bahasa Melayu akan meninggikan imej mereka walaupun ini tentunya berupa pendekatan bersifat makjujad (hypocrite); atau dengan bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh mencapai kepuasan berkomunikasi; atau, dan ini penting, mungkin asuhan bahasa Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap. Juga terdapat di beberapa kalangan, termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris, lantaran mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, mereka cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam perbualan dengan tujuan supaya orang menganggapnya boleh speaking atau ‘tinggi’ tahap pendidikannya. Walaupun gejala ini barangkali kecil bilangannya, boleh diperakukan bahawa ianya wujud nyata di kalangan masyarakat kita. Sebenarnya ungkapan sekerat belut-sekerat ular tadi: “Hei, hari ini birthday I lah” boleh dituturkan sebagai “Hei, hari ini hari jadi saya (aku)lah”. Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak dilakukan sebegitu? Ini semua adalah petanda yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini bukan sekadar ramalan seorang idealis atau yang semata-mata bersifat tulen tak menentu, tetapi pandangan ini bertapak pada alam nyata: Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka. Jika demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani bahasa rojak yang memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan program-program latihan lisan yang membina amalan komunikasi. Ia harus dijalankan di semua institusi persekolahan dan pengajian tinggi. Personaliti media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus mengutamakan percakapan bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak akan hapus kerana pembudayaan bahasa ibunda belum wujud sepenuhnya di negara ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa ibunda dipersadakan. iii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa Melayu Dari segi bahasa, bahasa Inggeris sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba. Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam bahasa Inggeris kemudian bercakap dalam bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam bahasa Melayu dan berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah pembudayaan bahasa mereka. Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur bahasa Melayu mesti bersedia untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat



dasar mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu. Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dar segi keutamaan global bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang seharusnya diperjuangkan. Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu. Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita tidak minta dibuli atau dipijak. Ini termasuklah asuhan Islam positif yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa, amalan tradisi Melayu seperti sopansantun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan lebih membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa yang selama ini dikenali sebagai “asuhan budi”. Barangkali falsafah “Rukunegara” yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula. Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan. Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya sebahagian daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan penjana bangsa. iv. Utiliti atau sifat perlu guna bahasa Melayu Adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang keperluannya. Dalam satu aspek bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa ilmu terus menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi ialah bahawa bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam bahasa Melayu. Lagipun sebagai lingua franca negara ini BM akan tetap digunakan sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu BM dikhuatiri tidak akan terlalu membangun kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia, kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah kedudukan BM sebagai bahasa ilmu. Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai bahasa Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa. Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah kerana jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia melalui kebangkitan global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Ini bererti sekian banyak istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata BM. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan. Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati



akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus digunakan. Sebagai perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama. Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang bahasa pengantarnya ialah Inggeris. v. Unsur-unsur yang merosakkan bahasa Melayu Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding BM tulisan, beberapa sebab dapat diperhatikan: a. kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan petugas awam. b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan pertuturan. c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah. d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri. e. Pembelajaran dalam bidang the Arts yang tidak disaring dan dikemas. f. Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran. Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan BM yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi. Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran bangsa. vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa ibunda orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan sebarang provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan. Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada



satu-satunya agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka. Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai penggunaan yang telah disalahgunakan, DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu penyelewengan bahasa Perancis. Fenomena “pencapaian dan kecapaian” pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah. Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian. vii. Perubahan dasar: Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu? Pada suatu hakikat memang boleh diterima bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran matematik dan sains merobah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut di Sekolah Kebangsaan. Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan matematik di kalangan bukan Melayu berada di tahap baik. Ini adalah kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat. Ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di SRJK. Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka di bidang-bidang berkenaan terus meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat sederhana. Apa akan berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada di tahap lama, mereka akan terus lemah pencapaian B Inggeris, sains dan matematik. Sekurang-kurangnya bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu kepada murid-murid. Ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri. Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua subjek itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi. Peranan Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan. Juga akan berlaku ialah bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut. Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru. Tetapi bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran bahasa Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka BM akan terus lemah dan menghilang. Ini merupakan sikap mengalah dan pesimis. Rumusan Tindakan Tampak sebagai penting iaitu penggunaan bahasa Melayu perlu dijana semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar (conscious)



selalu supaya megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini. Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat dan memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan. Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus. Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa hilang tenaga dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang bahasa Melayu daripada diselangi perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang berterusan. Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi BM zaman depan mesti bersandar kepada situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata. Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya selera. TAMAT DASURY Disember 2004