【Cerpen Mengenang Jasa Guru】 [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

Cerpen : Mengenang Jasa Guru Nama : Nur Hazirah Bt. Mohd Fauzi Kelas : 4BC



Hari Pertama persekolahan, bagi kanak-kanak seusia Nurul kali ini ialah kali pertama untuknya menjejakkan kaki ke tadika, mengenal alam persekolahan, rakan-rakan baru dan guru yang bakal mengajarnya sepanjang tahun itu.



Perasaan takut dan teruja bercampur-baur dan tangan Nurul sudah pun basah dek dibasahi peluh. Dia memandang ke arah ibunya yang sedang menurunkan tandatangan dan menjelaskan yuran kemasukannya ke Tadika Permata Utama.



Pandangan Nurul kemudian jatuh pada wanita muda yang menguruskan urusan kemasukan pelajar ke tadika. Pada pendapat Nurul, wanita yang berbaju kurung bercorakkan batik dan bertudung merah jambu yang tersemat tanda nama itu agak cantik. Kanak-kanak itu beranggapan itulah guru yang bakal mengajarnya nanti. Namun disebabkan dia tidak mengenal huruf mahupun pandai membaca apa yang tertulis pada tanda nama tersebut, kanak-kanak itu tidak pasti dengan apa yang difikirkannya, dan bercadang untuk tidak mengambil kisah tentang perkara itu.



“A-N-I-S-A, Anisa! Cikgu Anisa, ibu!”



kedengaran suara kanak-kanak lain di belakang Nurul. Tanpa membuang masa, Nurul menoleh ke belakangnya. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang berpakaian kemas dan turut menyandang beg sandang yang mempunyai gambar karakter animasi yang disiarkan di televisyen. Jari runcing milik kanak-kanak lelaki itu menarik hujung blaus ibunya, cuba menarik perhatian ibunya.



"Nurul ... Ibu sudah selesai"



ujar Puan Yazmin. Nurul bangkit dari kerusi dan mengekori ibunya ke pintu keluar. Sebelum sempat Nurul melangkah keluar, ibunya menahannya.



"Nurul tak boleh ikut ibu pulang ke rumah, sayang"



Nurul mengerdipkan matanya, tidak memahami dengan apa yang cuba disampaikan oleh ibunya. Puan Yazmin menghela nafas dan menjelaskan sebab-sebab Nurul perlu berada di tadika dan tidak dibenarkan pulang bersama ibunya.



"J-jadi, Nurul perlu berada di tadika sehingga pukul dua belas tengahari? Kemudian, kita boleh pulang ke rumah bersama-sama?"



Puan Yazmin tersengih lantas mengangguk. Walaupun sukar bagi Nurul, dia cuba untuk mengulum senyuman. Tidak lama kemudian, kedengaran deruman kereta Toyota Vios milik Puan Yazmin. Semakin lama bunyi deruman kereta tersebut semakin tidak kedengaran, bergerak meninggalkan Nurul sendirian dengan persekitaran baru.



"Sayang, kenapa tercegat di situ? Marilah sertai rakan-rakan lain.." Inilah kali pertama Nurul mendengar suara cikgu Anisa. Suaranya lembut dan halus ibarat desiran angin. Senyuman tidak lekang dari wajah mudanya. Dan Nurul langsung tidak



menyangka bahawa dia hanya membiarkan sahaja tangan cikgu Anisa memimpinnya ke arah rakan-rakan barunya. ** "Dia bisu cikgu.." seloroh Haikal, dan kata-katanya itu kemudian disambut dengan gelak tawa beberapa orang pelajar lain. Pipi Nurul yang putih itu berubah kemerah-merahan. Bibirnya diketap, dia tidak mahu rakan-rakan menggelakkannya sekiranya mereka mengetahui kenyataan yang dia sebenarnya tidak pandai membaca!



Setitis demi setitis air matanya mengalir di pipi, tanpa segan silu dia mengesatnya dan kembali duduk. Cikgu Anisa tercengang dan cuba untuk mengawal keadaan kelas yang bising. Guru muda itu juga panik apabila melihat anak didiknya itu menangis, dan dia dengan pantas mengambil tindakan untuk memujuk Nurul.



Setelah puas dipujuk, Nurul akhirnya berjaya memberitahu gurunya, bahawa dia tidak pandai membaca dan berasa sangat malu kerana hampir kesemua rakan-rakan barunya sudah pandai membaca. Guru muda itu tersenyum dan berjanji untuk mengajar Nurul membaca. Cikgu Anisa tidak merasa kehairanan apabila Nurul menjerit kegembiraan setelah mendengar janjinya itu.



Cikgu Anisa langsung tidak menyangka apabila Puan Yazmin dengan senang hatinya memberikan guru muda itu kebenaran untuk mengajar Nurul selepas waktu tamat persekolahan. Puan Yazmin yang merupakan ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat di Malaysia, turut memberikan kebenaran untuk cikgu Anisa membawa anaknya pulang ke



rumah guru muda tersebut.



Melalui pemerhatian dan berdasarkan cerita anak didiknya itu, Nurul sahajalah anak Puan Yazmin, ibunya itu bekerja kuat sejak ayah Nurul, Encik Azimin meninggal dunia. Jawatan yang kini berjaya dipegang Puan Yazmin telah menyebabkan dirinya sentiasa sibuk dan tidak dapat meluangkan masanya bersama Nurul. Oleh sebab itu, wang dijadikan oleh Puan Yazmin sebagai ganti masa yang tidak dapat diluangkan dan tumpuan yang tidak dapat diberikan kepada Nurul.



Petang itu, cikgu Anisa mendengar cerita yang telah dihafal oleh Nurul untuk dipersembahkan semasa Hari Guru yang bakal berlangsung tiga hari sahaja lagi. Guru muda itu sangat berbangga dengan pencapaian anak didiknya, kerana dalam masa beberapa bulan sahaja Nurul sudah mampu untuk menghafal cerita. Tatkala perkataan tamat meluncur keluar dari bibir Nurul, cikgu Anisa menepukkan tangannya dan sebuah usapan di kepada diberikan pada kanak-kanak itu.



"Muka kamu nampak pucat dan kamu tercungap-cungap tadi, Nurul ," komen cikgu Anisa dan Nurul hanya mengerdipkan matanya.



"Gementar ..." balas kanak-kanak itu



"Tiga hari sahaja lagi ..." ujar cikgu Anisa.



Ya, tiga hari sahaja lagi dan beliau akan membuktikan kemampuan Nurul. Nurul yang sebelum ini langsung tidak mengenal huruf dan tidak pandai membaca.



Nurul yang sebelum ini dikatakan bisu di dalam kelasnya.



Namun apakan daya manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan takdirnya.



Dua hari telah berlalu, Nurul tetap tidak hadir ke tadika dan apabila tibanya Hari Guru cikgu Anisa antara guru yang paling resah. Selang dua hingga lima minit dia akan menjenguk ke pintu keluar.



Hatinya lega apabila kelihatan Toyota Vios milik Puan Yazmin diparkir di pekarangan Tadika Permata Utama. Namun dia kembali cemas apabila hanya Puan Yazmin yang keluar dari kereta dengan membawa sebuah bungkusan.



"D-di mana Nurul, Puan?" soal cikgu Anisa lantas menghadiahkan senyuman kepada Puan Yazmin, cuba untuk menyembunyikan perasaaan cemasnya. Puan Yazmin langsung tidak membuka mulut lalu menghulurkan bungkusan tersebut kepada cikgu Anisa. Pada kertas memo yang ditampal pada bungkusan itu cikgu Anisa dapat mengenal pasti coretan itu ialah tulisan tangan milik Nurul.



' Selamat Hari Guru, cikgu Anisa! '



"Nurul mahu berikan cikgu pertamanya sehelai telekung dan Al-Quran. Dia mendesak saya membelinya selepas saya menjemputnya dari rumah cikgu," ujar Puan Yazmin, muncul senyuman pada bibirnya. Cikgu Anisa hanya mengangguk mendengar kata-kata Puan Yazmin itu.



"Tapi, entah mengapa malam itu dia pengsan dan tidak sedarkan diri ... saya segera bawa dia ke hospital, t-tetapi ..." Puan Yazmin tidak mampu untuk menghabiskan ayatnya, air matanya berjuraian.



"Tetapi ia dah terlambat ... Sebelum ini dia pernah memberitahu saya dadanya sakit, dia juga kerap tercungap-cungap dan kerap muntah, tetapi saya tidak endahkannya. Semalam doktor yang merawatnya maklumkan bahawa tanda-tanda awal angina pektoris atau infarksi miokardia ini patut dikawal dari awal ..." Puan Yazmin berhenti sejenak dan cuba mengawal sebak di dadanya.



" Nurul menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam disebabkan sakit koronari jantung.."



Cikgu Anisa membisu, kolam matanya sudah ditakungi air hanya menunggu masa untuk tumpah. Dipandangnya coretan pada kertas memo itu lantas dibaca ayat-ayat yang ditulis pada bahagian bawah ucapan selamat Hari Guru itu.



' Selamat Hari Guru, cikgu Anisa! Terima kasih kerana mengajar Nurul. Nurul sudah pandai membaca dan menulis!



Inilah hadiah pertama Nurul kepada guru pertama yang mengajar Nurul!



Salam sayang, NURUL '