Cerita Bulan Dan Matahari [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

CERITA 1 1.Akibat tidak mendengar nasihat Semasa cuti penggal persekolahan, Salim berasa bosan tinggal di rumah. Ibunya menyuruh Salim baca buku. "Baca buku, Lim! Rajin baca buku menjadi orang pandai," kata ibunya. "Tidak mahu!" bantah Salim. Tiap-tiap hari, Salim dan kawan-kawannya pergi mandi di sungai. Mereka juga melastik burung. Apabila malam, badan Salim letih, dan dia tidur awal. Buku tidak pernah dibukanya sejak sekolah cuti. Setiap hari, Mak Minah menasihati Salim supaya belajar rajin-rajin. Salim menjadi anak harapannya. Lebih-lebih lagi kerana Salimlah satu-satunya anaknya yang ada. Bapa Salim sudah meninggal ketika Salim masih kecil. Hiduplah Mak Minah dengan anak lelakinya itu. Mak Minah bekerja sebagai tukang cuci pinggan bekas mangkuk di kantin sekolah. Namun, Salim tidak mahu dengar nasihat ibunya. Dia tetap mengikut kawan-kawannya mandi di sungai. Kebetulan, musim cuti sekolah setiap tahun pada musim tengkujuh. Musim tengkujuh, selalunya air sungai melimpah sehingga ke dalam sawah-sawah padi di sepanjang sungai. Air sungai juga laju turun dari hulu akibat hujan lebat. Mak Minah sangat-sangat susah hati. Sudah habis ikhtiar Mak Minah menasihati anaknya yang seorang itu. Hendak dipukul, masih kecil. Mak Minah tidak suka Salim bermain di sungai. Suatu malam, Mak Minah membuat cerita rekaan. Dia bercerita kepada anaknya dengan mengatakan di dalam sungai itu ada buaya besar. Sudah ramai budak yang suka bermain di dalam sungai ditangkap buaya. "Buaya itu sangat besar!" kata Mak Minah. "Bagaimana rupa buaya itu?" tanya Salim. "Badannya macam biawak. Tetapi lebih besar daripada harimau," terang Mak Minah. Salim berminat mendengar cerita buaya. Tetapi dia tidak pernah melihat buaya. Belum habis cerita yang diceritakan oleh ibunya malam itu, Salim sudah berdengkur. Tahun depan, Salim akan menghadapi peperiksaan UPSR. Oleh sebab tiada lagi tempat Mak Minah bergantung harapan pada hari tuanya, hanya anak lelakinya seorang itulah menjadi harapannya. Harapan Mak Minah, semoga Salim membesar dengan sempurna dan menjadi seorang manusia yang berguna.



Mak Minah tetap sabar menjaga dan mendidik Salim, walaupun Salim tetap dengan tabiatnya mengikut kawan-kawannya melastik burung dan mandi di sungai. Mak Minah tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada Salim sebab siang hari dia terpaksa bekerja untuk mendapat upah. Dengan itu, dia dapat menyara dirinya serta anaknya. Suatu hari, seperti biasa, selepas makan pagi, Mak Minah meninggalkan rumah untuk pergi ke tempat kerja. "Jaga rumah, ya! Jangan ke mana-mana," pesan Mak Minah kepada anaknya. Tidak lama selepas Mak Minah turun dari rumahnya, beberapa orang kawan Salim pun datang. Mereka mengajak Salim pergi melastik burung dan mandi di sungai. "Mak aku marah kalau pergi jauh," kata Salim kepada kawan-kawannya. "Dekat sahaja, Lim!" pujuk kawannya. Setelah dipujuk oleh kawan-kawannya, Salim ikut juga. Mula-mula mereka ke pinggir jalan mengutip batu-batu kecil di pinggir jalan untuk diisikan ke dalam poket seluar. Kemudian mereka ke pinggir bukit. Sambil itu, mereka melastik burung di pohon yang berada di kaki bukit sambil berjalan menuju ke sungai. Dalam masa 15 minit mereka berjalan, maka tibalah mereka di tebing sungai. Mereka melastik burung-burung yang sedang makan buah di pohon-pohon di tebing sungai. Apabila sampai di suatu tempat mereka bermain setiap hari, mereka membuang pakaian masing-masing. Mereka memanjat pohon besar yang dahannya menjular ke tengah sungai. Malang tidak berbau! Salim tergelincir dan terus jatuh ke dalam sungai. "Tolong! Tolong!" Salim menjerit. Salim tidak berdaya melawan arus sungai yang laju. Di tengah sungai tidak ada tempat bergantung. Tangan Salim terkapai-kapai. Air yang deras terus menghanyutkannya. Kawankawannya tidak ada yang berani menolong. Kawan-kawan Salim berlari pulang. Mereka memberitahu kejadian itu kepada penduduk kampung. Mereka beramai-ramai pergi mencari Salim di sungai. Tetapi Salim tidak ditemui. Ibu Salim menangis tersedu-sedu. "Salim tentu sudah mati lemas!" kata beberapa orang penduduk kampung. Penduduk kampung masih cuba mencari. Namun, mayat Salim tidak ditemui. "Kita tunggu sehingga esok pagi. Jika Salim mati lemas, tentulah mayatnya akan timbul terapung," kata salah seorang penduduk kampung. Ibu Salim terus menangis. Dia sudah kehilangan anak kesayangannya. "Sekarang aku sudah tidak mempunyai anak lagi," kata ibu Salim.



Keesokan harinya, penduduk kampung pergi ke sungai lagi. Mereka terus berusaha mencari. Namun, Salim tetap tidak ditemui. Menangislah ibu Salim mengenang akan nasib anaknya itu. Menjelang tengah hari, penduduk kampung itu heboh. Salim masih hidup. Salim sudah pulang. Rupa-rupanya Salim hanyut jauh. Dia berjaya berenang ke tebing sungai. Kemudian dia tersesat di dalam hutan. Dia tidak tahu mencari jalan pulang. Dia bermalam di dalam hutan. Keesokan harinya, barulah dia dapat keluar dari hutan dan mencari jalan pulang. Ibu Salim sangat gembira kerana anaknya terselamat. Namun, dia menangis teresak-esak kerana sedih mengenang peristiwa itu. Salim berasa insaf. Dia tahu, peristiwa buruk itu berlaku kerana akibat dia tidak mendengar nasihat ibunya. "Salim minta maaf. Salim berjanji tidak akan bermain di sungai lagi. Salim juga berjanji akan rajin belajar," kata Salim kepada ibunya. Ibu Salim sangat gembira.



NILAI MURNI Sesungguhnya adik-adik, dalam hidup ini, kita mestilah selalu patuh pada nasihat ibu. Taat dan patuh pada ibu bapa merupakan salah satu akhlak yang sangat mulia. Orang yang menderhaka pada ibu bapa, lambat-laun kelak pasti akan menerima padah yang buruk.



CERITA 2 Bulan dan matahari Di dalam cakerawala kita, bulan mula menyombong diri. Dia mengaku, dialah yang paling cantik dan disebut-sebut orang. Tanya bintang kepada bulan, "Mengapa kamu merasakan begitu cantik dan disebut orang?" Bulan menjawab, "Tidakkah pernah engkau mendengar orang mengatakan bagai bulan dipagari bintang?" Sememangnya, burung pungguk pun merindukan bulan. Bulan merasakan ramai orang merindukan bulan. Dia melihat petanda lain bahawa bulan selalu dikagumi bila masa ia purnama. Alam menjadi indah dipancari sinar bulan purnama. Bahkan masa dikira mengikut bulan. Bulan menjadi semakin angkuh apabila orang mengintainya untuk berhari raya. Tanpa melihat anak bulan, orang-orang Islam tidak boleh merayakan hari raya Aidil Fitri, selepas penat berpuasa sebulan. Bintang-bintang pun diam membisu mendengar cerita-cerita bulan. Tatkala bulan menjadi-jadi sombongnya itu, kumpulan bintang-bintang amat cemburu tetapi yang lebih penting mereka kasihan kelak bulan lupa daratan. Mereka mengambil keputusan untuk menceritakan kisah keangkuhan bulan ini kepada Sang Matahari, penghulu cakerawala ini. Mereka mendatangi matahari dan menyampaikan cerita terbaru ini. Matahari mendengar dengan teliti, lalu berkata, "Janganlah kamu sekalian menjadi bimbang. Aku akan fikirkan caranya untuk menyedarkan bulan." Matahari kasihan melihat bulan. Dia mengasihi bulan sepenuh hati. Dengan sebab itulah dia meminjamkan cahayanya kepada bulan agar dengan cahaya itu bulan dapat disanjungi. Tetapi bulan mula melupai hakikat ini. Matahari menenangkan bintang-bintang sekalian. Katanya, "Janganlah kamu semua bersedih, nanti aku akan sedarkan bulan akan dirinya yang sebenar." Mendengar kata-kata itu, semua bintang-bintang menjadi tenang. Mereka mengerdipngerdip di angkasa seperti biasa. Mereka tahu matahari bijak menyelesaikan masalah. Mereka pun tahu bahawa bulan hanya meminjam cahaya matahari untuk menyinari alam di waktu malam. Pada waktu yang sesuai, matahari pun memanggil bulan. Kata matahari, "Engkau memang disanjung orang." Mendengar kata-kata itu bulan merasa amat senang hati. Dia menjadi semakin bangga diri. Matahari terus berkata, "Hai bulan, inginkah engkau berbuat sesuatu padaku?" Bulan mendengar soalan itu bertanya matahari apa maksudnya. Matahari menyuruh bulan agar memancarkan cahayanya sebulan tanpa berubah wajah. Bulan yang sudah lupa daratan itu menjawab, "Baiklah kalau itu kehendak tuan, saya akan lakukan." Mulalah bulan memancarkan purnamanya ke segenap alam maya. Dia sudah lupa



akan pusingan alam dan peredaran cakerawala. Pada malam kedua, dia masih tidak menyedari akan perubahan dirinya. Sehinggalah beberapa malam berikutnya, seorang kanak-kanak bertanya, "Mak, mengapakah bulan tidak bulat lagi?" Bulan terkejut mendengar soalan itu. Dia menyedari dirinya semakin hari semakin berubah sehingga dia mengecil menjadi seperti sabit. Dia mendengar penjelasan ibu kanakkanak itu, "Bulan hanya memancarkan purnamanya di pertengahan bulan, dan cahayanya itu adalah pantulan cahaya matahari." Bulan menjadi amat sedih dan malu. barulah dia teringat kata-kata matahari. Dia baru sedar mengapa matahari menyuruhnya memancarkan sepanjang masa tanpa berubah. Bulan memohon maaf kepada bintang-bintang. Dia meminta maaf dan berterima kasih kepada matahari yang telah menginsafkannya. Mereka semua menjawab, "Janganlah bersedih bulan, kita tetap akan memagari kamu seperti yang sepatutnya." Bulan pun terus insaf.



NILAI MURNI



Sesungguhnya dalam hidup ini, kita tidak boleh berasa sombong, bongkak, atau takbur. Setiap perkara yang diciptakan oleh Tuhan mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Itulah sebabnya kita tidak boleh memandang hina terhadap sesiapa pun.