Sejarah Pensejarahan [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

1.0 PENGENALAN Sejarah disifatkan sebagai suatu disiplin ilmu yang mempunyai prinsip atau kaedah-kaedahnya yang tersendiri berbeza dengan disiplin ilmu yang lain. Keadaan ini telah menimbulkan pertikaian dalam kalangan para sarjana di dunia ini. Namun begitu, sejarah tetap dianggap sebagai suatu ilmu pengetahuan yang cuba melihat masa lampau melalui sudut pandangan masa kini.1



Sejarah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Keistimewaannya telah meransang manusia untuk mengajukan beberapa pertanyaan seperti keadaan dan kedudukan sejarah serta manfaat yang bakal mereka perolehi apabila mempelajari sejarah.2



Secara umunnya, sejarah adalah penyelidikan yang berkaitan dengan segala peristiwa masa lalu. Sejarawan akan menyelidik rekod-rekod yang lalu bagi mengkaji sejarah atau peristiwa yang telah berlalu. Sehubungan dengan itulah segala rekod serta peristiwa yang terdahulu biasanya akan dianggap sebagai sejarah.3



1 Bilcher Bala, Penyelidikan Dan penulisan Sejarah, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 2. 2 Muhd. Yusoff Ibrahim, Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah Sejarah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 1 3 Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 1



2.0 PENGERTIAN SEJARAH Di samping teori asal usul tersebut, sejarah juga mempunyai pengertian atau takrifnya. Oleh sebab sejarah itu adalah luas dan kompleks, maka kerap pula para sejarawan memberi takrif masing-masing mengenainya. Mereka memberikan pengertian atau takrif tersebut kerana ingin memahaminya dengan lebih mendalam. Pengertian dan takrif yang mereka berikan nampak berbeza dan perkara ini dapat dikesan berlaku sejak zaman Yunani purba lagi hinggalah zaman mutakhir ini. Hal ini bermaksud sejarawan dari Timur dan Barat tidak putus-putus dari memberi takrif dan pengertian masing-masing tentang sejarah. Para sejarawan memberikan takrif mahupun pengertian yang lebih khusus mengenai sejarah itu yang lazimnya sesuai dengan bidang sejarah yang dikaji. Terdapat juga takrif atau pengertian khusus yang dikaitkan dengan fungsi ataupun kepentingan sejarah itu sendiri. Jelaslah bahawa tujuannya adalah untuk menunjukkan betapa sejarah tersebut wajar untuk diketahui, dikaji, dan diingati oleh menusia atas kepentingan kehidupan dan kesejahteraan. Menurut H.E. Barnes, antara sejarawan yang terawal memberikan takrif serta pengertian yang khusus mengenai sejarah ialah Dionysius dari Hali Camassus iaitu sejarawan Yunani abad pertama tahun Masihi. Beliau telah mengatakan bahawa sejarah merupakan satu bentuk falsafah yang memberikan pengajaran berdasar contohnya. Masudi yakni sejarawan Islam kurun kesepuluh pula mengatakan bahawa sejarah adalah catatan yang terhimpun tentang keseluruhan ilmu pengetahuan manusia dan merupakan sains yang paling mulia ( Takrif Khalidi ). Ibnu Khaldun yang merupakan sejarawan Islam teragung pada kurun ke14, turut mengatakan pendapat beliau bahawa sejarah adalah catatan atau maklumat tentang masyarakat manusia dan tamadun dunia. Chang Hsueh – Cheng, sejarawan China kurun ke18, menurut P. Demieville, antara lain menyebut sejarah bukan hanya sebagai usaha mengumpulkan dokumen oleh ahli-ahli birokrasi dan tidak juga menjadi satu hiburan justeru bagi para sarjana hal ini harus ditujukan demi memperbaiki dunia. Beberapa sejarawan Barat seperti Beneletto Corce yang antaranya mengatakan bahawa sejarah adalah kisah tentang kebebasan dan keseluruhan sejarah adalah sejarah semasa menurut Muhd Yusof Ibrahim & Mahayudin Haji Yahaya 1988. J.B. Bury menyatakan bahawa sejarah merupakan sains 2



yang tidak kurang dan tidak lebih. R.G. Collingwood (1889-1943), semua sejarah adalah suatu pemikiran4. E.H. Carr antara sejarawan ternama pertengahan abad ke-20 mengatakan bahawa sejarah adalah satu proses interaksi berterusan di antara ahli sejarah dengan masa lampau. G.M. Trevelyan yang mentakrifkan sejarah sosial sebagai “sejarah yang mengetepikan hal politik : (G. Himmalfard, 1987 : 15). Sejarawan tempatan seperti Shaharom Hussien mengatakan; “daripada pelajaran tawarikh [sejarah juga kita dapat menyingkap semula lembaran sejarah dari aspek kebangkitan kemajuan. Kejatuhan dan kemunduran sesuatu bangsa” manakala Zainal Abidin Abdul Wahid menyatakan, “...Sejarah membolehkan kita memeriksa, mengambil pengertian dan menimbangkan satu-satu perkara itu dengan lebih saksama dan sempurna serta sejarah juga boleh dijadikan sebagai petunjuk dan panduan kita”(1958:506-7).



2.1 PENGERTIAN UMUM SEJARAH Kepelbagaian pengertian dan takrif adakalanya boleh menimbulkan kekeliruan. Tetapi hal ini sebenarnya melambangkan keluasan bidang sejarah itu sendiri dan juga kegunaan atau kepentingannya yang hakiki kepada manusia. Justeru, bagi mengelakkan kekeliruan wajarlah satu titik pertemuan atau pengertian umum dicari yang merupakan takrif mahupun pengertian asas bagi sejarah. Garraghan mengatakan bahawa istilah sejarah membawa tiga takrif atau pengertian yang berkait rapat namun ia sangat berbeza antara satu sama lain : (a) peristiwa manusia masa lalu, masa lalu yang sebenar-benarnya; (b) catatan tentang peristiwa tersebut; (c) proses atau teknik membuat catatan tersebut 5. Seorang lagi sejarawan iaitu A. Marwick juga menyebut sejarah dari sudut pengertian yang umum. Pertama sejarah merupakan keseluruhan masa lalu manusia seperti sebenarnya berlaku; kedua ia merupakan percubaan manusia dalam menghurai dan mentafsir masa lalu; ketiga pula sebagai kajian yang sistematik terhadap masa lalu, iaitu sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan.



4 Collingwood, R.G. (1985) Idea Sejarah. Muhd Yusof Ibrahim (Terjemahan), Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 5 Gilbert J. Garraghan & Jean Delanglez, eds., A Guide To Hsitorical Method, New York: Fordham University Press, 1957, hlm. 103. 3



Demikianlah juga halnya dengan A.L. Rowsey yang memberi pengertian sejarah dari segi keseluruhan masa lalu bagi benda dan peristiwa alam, manusia, haiwan mahupun makhluk secara amnya juga dari sudut sejarah yang sebenarnya iaitu sebagai satu perkara atau peristiwa yang dikaji. Sidi Ghazalba iaitu seorang sejarawan Indonesia pula memberi empat takrif atau pengertian sejarah yang umum itu; pertama sejarah sebagai sesuatu yang telah berlaku, satu peristiwa , satu kejadian ; kedua sebagai riwayat dan peristiwa yang telah berlaku ; ketiga sebagai pengetahuan tentang masa lalu ; keempat, sebagai ilmu yang berusaha menentukan dan mewariskan ilmu pengetahuan (1966)6. Sejarawan tempatan R. Suntharalingam pula merujuk kepada pelbagai pendapat sejarawan Barat yang merumuskan sejarah itu sebagai ilmu pengetahuan yang mencakupi semula hal (1985) 7. Oleh hal demikian, pengertian secara umum yang pertama adalah sejarah itu merupakan masa lalu (Muhd Yusof Ibrahim, 1998:11). Pengertian ini nyata benarlah keluasannya kerana ia mencakupi keseluruhan masa lalu tanpa batasannya. Sejarah sebagai masa lalu memberi makna ia mengandungi semua kejadian serta peristiwa mahupun pengalaman yang telah berlaku dan berlalu sama ada kejadian tersebut merupakan kumpulan kejadian ataupun kejadian yang berasingan bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan. Pada dasarnya, berupa semua pengalaman, tingkah laku, kejadian serta peristiwa dalam kehidupan seseorang individu, pemimpin, sebuah institusi, pertubuhan, negara mahupun masyarakat. Semua kejadian itu bermaksud kejadian penting yang patut dan perlu diingat, ataupun yang bersejarah dan juga sebaliknya iaitu tidak penting dan remeh. Hal ini bererti apa sahaja yang telah berlaku itu adalah sebahagian daripada masa lalu dan dari itu sebahagian daripada sejarah.



2.2 SEJARAH MERUPAKAN CATATAN Pengertian umum yang kedua pula adalah lebih terbatas atau khusus. Sejarah merupakan catatan ataupun rekod mengenai suatu peristiwa yang telah berlaku pada satu-satu masa yang lalu di mana catatan tentang sebuah peristiwa itu sememangnya sesuatu yang khusus dan unik. Hal ini disebabkan, ia dibatasi tempat, keadaan, kebudayaan, anutan agama dan kadang kala waktu. Sebenarnya seorang sejarawan tidak berupaya mencatatkan keseluruhan peristiwa 6 Sidi Gazalba,Penghantar Sejarah Sebagai Ilmu, Bhratara Karya Aksara, 1966, hlm. 11. 7 Dipetik daripada R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Merican & Sons (M) Sda. Bhd., 1985, hlm. 4. 4



di semua tempat dengan perincian yang tepat. Sebagai catatan tentang masa lalu, Ibnu Khaldun (1332-1406) misalnya menyatakan bahawa sejarah itu merupakan,...” catatan tentang masyarakat manusia atau peradaban dunia tentang perubahan-perubahan yang telah berlaku pada sifat-sifat masyarakat itu, seperti keramahan dan perasaan setiakawasan segolongan ; tentang revolusi dan pemberontakan sesuatu golongan manusia terhadap manusia lainnya dengan mengakibatkan terbentuknya kerajaan dan negara (Charles Issawi,1965:404)8. Bagi Ibnu Khaldun, sesuatu catatan itu sebenarnya adalah hasil suatu penyelidikan seorang sejarawan. Justeru untuk membuat catatan yang berupaya sejarah, maka seorang itu haruslah terlebih dahulu membuat penyelidikan tentang peristiwa yang diminatinya dan hasil daripada penyelidikan itulah yang melahirkan catatan yang merupakan pengetahuannya tentang sejarah atau masa lalu yang diselidikinya. Pengetahuan itu tidaklah meliputi keseluruhan masa lalu itu. Hal ini kerana, apa yang berlaku di masa lalu tidak dapat diketahui semuanya dan apa yang diketahui hanyalah berkenaan perkara khusus yang dikaji, dicatat dan kemudian dituliskan semula dalam bentuk buku, jurnal dan sebagainya. Catatan masa lalu itu juga adalah terbatas. Hal ini dibatasi oleh keupayaan pencatat dan pengkaji itu dalam mencatat dan mengkaji peristiwa yang diminatinya. Di samping itu, ia turut dibatasi keperluan masing-masing dan dalam erti kata, mereka tidak perlu mencatat atau mengkaji semua peristiwa yang telah berlaku. Malah perkara yang dicatat atau dikaji hanya perkara yang mungkin menarik minatnya yang dianggap penting, ataupun yang berguna sama ada bagi diri dan kedudukannya, bagi keluarga, masyarakat mahupun institusi atau kumpulan yang memberikan sebuah ganjaran kepadanya (Muhd Yusof Ibrahim, 1997:13). Dari sudut lain, sikap mahupun proses pemilihan keputusan juga merupakan batasan bagi mencapai sepenuhnya pengetahuan mengenai masa lalu. Hal ini dapat dikatakan bahawa pengetahuan masa lalu tidaklah bererti keseluruhan masa lalu dapat dihidupkan dan diketahui kembali bahkan ianya amat mustahil untuk dilakukan sedemikian.



2.3 SEBAGAI PENGETAHUAN MASA LALU 8 Ibnu Khaldun. Lihat Charles Issawi, ed. Filsafat Ibnu Khaldun: Ikhtisar-ikhtisar Pilihan dari Muqaddimah Ibnu Khaldun, Terjemahan Ali Munawar, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1960, hlm. 404.



5



Jika dilihat, sebenarnya menurut apa yang dicatat, dikaji, dan ditulis oleh sejarawan hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan masa lalu tersebut. Hal ini kerana, sejarawan sebenarnya tidak perlu, malah tidak berupaya untuk menghimpunkan, mengkaji, dan menuliskan semuanya. Bahkan hal tersebut merupakan perbuatan yang sia-sia. Justeru hasilnya nanti bukan satu kajian sejarah lagi, tetapi adalah satu himpunan, satu daftar peristiwa yang berlaku dalam suatu urutan waktu tertentu. Apa yang dapat dirungkaikan, sejarawan hanya mengkaji dan menulis peristiwa masa lalu yang dipilihnya serta dianggap penting. Tambahan pula, ia perlu memberikan tafsiran dan sebuah gambaran menyeluruh terhadap setiap jalan peristiwa tersebut. Misalnya, Federico Chabod dalam eseinya yang berjudul : “Was There A Renaissance State,“ telah mengatakan, “sesungguhnya imarahimarah di Itali pada kurun ke-15 dan di Perancis, Sepanyol dan England pada kurun ke-16, sememangnya sudah menjadi kerajaan-kerajaan yang mutlak sebenarnya (Heinz Lubansz). Tentang China pada penghujung kurun ke-19, Lucien W.Pye telah mengatakan bahawa menjelang tempoh tersebut “...tiada lagi negara di Asia yang menganggap China sebagai Kerajaan Tengah yang wajar dikagumi dan berupaya memberikan perlindungan yang mewah” (1972:116). Disebalik itu, sahsiah seorang tokoh di sepanjang hayatnya digambarkan dalam satu dua ayat misalnya; “ Sultan Mahmud Syah yakni sultan Melaka yang terakhir adalah seorang roifaineant. Baginda telah merompak dan memperkosa namun bertindak bijak dengan menyerahkan urusan pentadbiran kepada menteri-menterinya (R.J. Wilkinson, 1971:41). Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj, mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama misalnya digambarkan oleh Abdul Aziz Ishak sebagai seorang yang telah dijadikan Tuhan dengan “...sifat yang tidak ingin melakukan kezaliman terhadap barang sesiapa pun dan sentiasa riang”. Namun pada peringkat awal persekolahannya, Tuanku Abdul Rahman bukanlah seorang yang mempunyai otak yang geliga atau cerdik pandai (1955:9). Apabila dilihat sebenarnya unsur tafsiran, gambaran atau rumusan-rumusan sedemikian rupa yang memberi “erti” kepada sesuatu kajian sejarah tersebut. Hal ini mengambarkan kedudukan sesuatu peristiwa ataupun tokoh yang dikaji. Dengan itu, seseorang itu dapat mengetahui serta memahami peristiwa mahupun tokoh yang berkenaan. Justeru, Bagaimanakah ia mendapat gambaran itu? Ia diperoleh oleh seorang sejarawan melalui kajiannya berdasarkan satu kaedah dan teknik penyelidikan terhadap sumber-sumber yang berkaitan. Dengan itu, menurut Sidi Ghazalba lagi, pengertian asas bagi sejarah ialah “pengetahuan yang diperoleh melalui penyelidikan” (1966:2). Kontradiksinya, sejarah adalah 6



ilmu pengetahuan tentang masa lalu yang terdiri daripada pelbagai peristiwa dan tokoh dalam sesebuah masyarakat atau negara pada sesuatu jangka waktu yang telah lalu.



2.4 PENGERTIAN PERKATAAN / ISTILAH SEJARAH Walakin begitu, perkataan atau istilah sejarah itu sendiri mempunyai sejarah dan pengertiannya. Kamus Dewan memberikan maknanya sebagai sastera lama asal usul atau keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku di waktu yang lampau, kisah riwayat tambo:tawarikh (1970:1033). R.O. Winstedt yang telah menghasilkan kamusnya lebih awal daripada Dewan Bahasa dan Pustaka pula mengatakan perkataan sejarah berasal daripada perkataan Arab yang bererti salasilah, tawarikh dan babad. Dari segi penggunaan istilah altarikh atau tarikh di dalam bahasa Arab pada mulanya ia hanya membawa maksud “pentarikhan, era atau zaman”, akan tetapi melalui perkembangan pensejarahan yang berlaku pada abad kedua dan ketiga Hijriah, istilah itu juga diertikan sebagai kajian sejarah dan ilmu sejarah atau ilmu tawarikh (Mahayudin Hj. Yahaya: 1984:31-32). Ibrahim Alfian pula berpendapat bahawa besar kemungkinan perkataan Arab itu adalah Syajaratun yang bererti pohon. Walau bagaimanapun, hubungan makna di antara syajaratun dengan sejarah belum ada yang memperkatakannya dengan mendalam dan pasti. Dalam peradaban Melayu, perkataan al-tarikh atau tarikh yang juga merupakan perkataan Arab, itulah yang telah diubahsuai menjadi tawarikh di dalam bahasa Melayu. Ia merupakan satu istilah yang popular digunakan bagi merujuk sejarah oleh penulis tempatan sejak awal abad ini sehinggalah awal tahun 1960an apabila perkataan sejarah itu tidak pernah digunakan langsung sebelum tempoh tersebut. Raja Ali Haji, misalnya telah menggunakan istilah atau perkataan tersebut di dalam bukunya Tuhfat al-Nafis. Berkemungkinan beliau merupakan sejarawan yang mula-mula sekali menggunakan istilah tersebut di rantau ini. Namun begitu, penggunaan yang dilakukan oleh Raja Ali Haji tidaklah berterusan serta digunakan sejarawan Melayu yang lain bagi menamakan judul karya pensejarahan mereka. Oleh itu, istilah yang lebih popular yang digunakan adalah hikayat atau riwayat, selain tawarikh tadi. Sejauh yang dapat dikesan penggunaan ketiga-tiga istilah ini masih berjalan sehingga tahun 1950an sebelum ia digantikan dengan istilah sejarah bagi merujuk karya-karya yang berbentuk demikian. Tetapi istilah riwayat terus digunakan khususnya merujuk kepada karya-karya



7



pensejarahan yang berbentuk biografi atau riwayat hidup. Misalnya, Riwayat Hidup Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang dikarang oleh Aziz Ishak (1955). Di dalam bahasa asing pula khususnya di Barat, perkataan sejarah di sama ertikan dengan perkataan history (bahasa Inggeris). Pada asasnya perkataan itu berasal daripada perkataan Yunani purba historia yang membawa maksud penyelidikan. Tetapi penyelidikan tersebut bukanlah tentang peristiwa silam sahaja, malah yang menjadi kepentingannya ialah tentang peristiwa semasa ataupun sezaman, dan sepanjang ingatan seorang penyelidik dan penyaksi peristiwa yang diselidik, penyelidikan haruslah berdasarkan penyaksian, pendengaran , dan pemerhatian. Penyelidikan yang didasarkan kepada proses tersebut dianggap boleh menghasilkan ilmu pengetahuan yang sebenar, sedangkan ilmu pengetahuan yang didapati



tanpa melalui proses tersebut bukanlah ilmu pengetahuan yang sebenar-



benarnya, malah hanya merupakan separa ilmu pengetahuan sahaja kerana ia tidak dibuktikan serta disahkan melalui proses tadi. R.G. Collingwood menerangkan bahawa bagi orang Yunani, ilmu pengetahuan yang sebenar itu adalah sesuatu yang dapat dibuktikan kewujudannya, tetap serta tidak berubah melalui perubahan waktu (R.A. Robinson J, 1957). Oleh sebab itu, pandangan yang sedemikian itu jugalah Herodotus yakni sejarawan terkenal itu dan yang diberikan gelaran sebagai “bapa sejarah” oleh Cicero dari peradaban Rumawi, pernah dianggap semata-mata sebagai penipu yang romantis pada kurun ke-19 dan sebagai penglipur lara oleh Thucydides pada zamannya. Hal ini kerana Herodotus mengisahkan peristiwa sekitar Perang Parsi yang telah berlaku lebih kurang satu kurun sebelum beliau dilahirkan. Namun perubahan terus berlaku dan anggapan manusia terhadap sejarah juga mengalami transformasi. Herodotus sendiri terangkat menjadi seorang yang telah berjasa dalam mewujudkan satu bentuk pengajian sejarah dengan beberapa ciri pensejarahannya masih boleh dipakai sehinggalah ke hari ini. Pengertian tentang perkataan historia yang kita ertikan sebagai sejarah itu turut menerima perubahan. Caldwell umpamanya mengatakan bahawa perkataan history (sejarah) yang berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud penyelidikan itu telah berubah maksudnya menjadi peristiwa yang pernah berlaku pada masa yang lalu dan juga ingatan yang tercatat tentang masa lalu itu.



Perubahan seperti ini berlaku juga dalam arena pensejarahan Melayu di Alam Melayu. Sidi Ghazalba misalnya melihat tahap-tahap perubahan itu berlaku menerusi perkembangan budaya Melayu/Indonesia terutamanya akibat pertembungan dengan Islam dan seterusnya 8



Barat sejak dari abad ke-13 dan ke-15. Pertembungan itu telah menyebabkan berlaku proses akulturasi dan kesan dari proses itulah kita telah membentuk istilah sejarah dan seterusnya memberikan maknanya yang umumnya pada hari ini mempunyai pelbagai persamaan dari segi pengertiannya dengan istilah yang digunakan dalam budaya ilmu di dunia Barat. Dengan kata lain, sejarah adalah history dengan pelbagai pula takrif serta pengertiannya.



3.0 KESIMPULAN Teori serta Pengertian Sejarah



Secara umumnya, kajian sejarah adalah berasaskan kepada persoalan seperti apa, siapa, di mana, mengapa, bila, dan bagaimana?. Antara persoalan yang asas bagi kajian itulah yang berkait rapat dengan teori sejarah. Hal ini boleh dilihat daripada dua sudut iaitu pertama adalah tentang kemunculan sejarah, ataupun bilakah sejarah itu mula terhasil atau tercipta? Kedua adalah kajian atau penyelidikan sejarah dengan pelbagai konsep yang berkaitan dengan kaedah penyelidikan tersebut. Di samping itu, teori sejarah juga berkait dengan penghasilan karya-karya sejarah, atau pensejarahan yang melambangkan tahap kesedaran sejarah yang wujud dalam sebuah masyarakat atau peradaban.



Sejarah juga mempunyai takrif atau pengertiannya yang boleh kita rumuskan sebagai pengertian yang khusus dan yang umum. Pengertian yang khusus merupakan takrif dan pandangan sejarawan tentang sejarah. Misalnya Dionysius (Yunani abad 1 Masihi) mengatakan “ sejarah adalah falsafah yang memberi pengajaran dengan contoh-contohnya St. Augustine ; sejarah adalah kisah kehidupan manusia di “ kota tuhan “ dan “kota syaitan”, Ibnu Khaldun (Islam, kurun ke-14 M) “ Sejarah adalah tentang pergolakan masyarakat”. Raja Ali Haji (Melayu : Kurun ke-19M) “sejarah adalah suatu ilmu yang terpakai”, Leopold Von Rankee (Jerman : Kurun ke-19M) “ sejarah bukan sebahagian daripada falsafah, sastera atau agama”, B. Grace (Itali : awal abad ke-20M) “ semua sejarah adalah sezaman”, J.B. Bury (Inggeris ; awal abad ke-20M), “sejarah adalah sains tak kurang dan tak lebih”, Tunas Melayu (Akhbar Melayu;1913), “sejarah bermaksud masa / waktu”, R.G. Collingwood



9



(Inggeris; 1930an), “semua sejarah adalah sejarah pemikiran”, E.H. Carr (Inggeris; 1960an), “sejarah adalah interaksi antara sejarawan dan fakta-faktanya”.



Manakala pengertian yang umum pula adalah rumusan daripada pelbagai pandangan dan pengertian keseluruhan masa lalu. Semua peristiwa masa lalu bagi individu, masyarakat, negara, dan sebagainya. Tempoh sejak dari awal terdapatnya sumber bertulis hinggalah ke saat ini. Sejarah juga adalah catatan tentang masa lalu. Ketiganya, sejarah adlah pengetahuan tentang masa lalu. Selain itu, perkataan atau istilah sejarah juga mempunyai makna dan perkembangannya. Misalnya di dalam peradaban Melayu ia bermula dengan hikayat, riwayat, cerita berkembang mencari salasilah, babad, tarikh, tawarikh, dan akhirnya sejarah. Dalam peradaban Barat, bermula dengan historia dan akhirnya menjadi history. Manakala dari sudut pengertian atau takrifnya sejarah atau history itu membawa maksud yang sama seperti yang telah dihuraikan di atas.



10



BIBLIOGRAFI Bilcher Bala, Penyelidikan Dan penulisan Sejarah, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 2. Muhd. Yusoff Ibrahim, Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah Sejarah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 1 Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. Collingwood, R.G. (1985) Idea Sejarah. Muhd Yusof Ibrahim (Terjemahan), Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Sidi Gazalba, Penghantar Sejarah Sebagai Ilmu, Bhratara Karya Aksara, 1966, hlm. 11.



Dipetik daripada R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur: Merican & Sons (M) Sda. Bhd., 1985, hlm. 4. Gilbert J. Garraghan & Jean Delanglez, eds., A Guide To Hsitorical Method, New York: Fordham University Press, 1957, hlm. 103.



Ibnu Khaldun ; Lihat Charles Issawi, ed. Filsafat Ibnu Khaldun: Ikhtisar-ikhtisar Pilihan dari Muqaddimah Ibnu Khaldun, Terjemahan Ali Munawar, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1960, hlm. 404.



11



Raja Ali Haji dan Tuhfat Al-Nafis: Satu Tinjauan Dari Sudut Kaedah Sejarah”, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Nik Anuar Nik Mahmud dan Yahaya Abu Bakar, Sumbangsih Kumpulan Esei Sejarah (Untuk Prof. Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid), Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1988. Suntharalingam R., Pensejarahan Barat, Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987.



12