ESEI Pensejarahan [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

Tajuk: Membandingkan secara kritis hasil karya penulis kolonial dengan penulis tempatan yang wujud pada zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan. 1.0 Pengenalan Penulis merujuk kepada orang yang menulis, kolonial merujuk kepada pegawaipengawai pemerintah kerajaan penjajah manakala tempatan bermaksud di tempat itu sendiri (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Oleh itu dapat dirumuskan, dalam konteks pensejarahan Tanah Melayu, penulis kolonial merujuk kepada pegawai penjajah sama ada penjajah Portugis, Belanda atau British yang menulis tentang sejarah Tanah Melayu manakala penulis tempatan merujuk orang Melayu sama ada daripada Semenanjung Tanah Melayu atau seluruh Kepulauan Melayu yang menulis berkaitan sejarah Tanah Melayu. Penulis-penulis ini sama ada penulis



kolonial atau penulis tempatan telah



banyak menyumbangkan hasil-hasil karya tulisan mereka kepada pensejarahan Tanah Melayu. Oleh itu, fokus penulisan ini adalah untuk membandingkan secara kritis hasil karya penulis kolonial dengan penulis tempatan yang wujud pada zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan. Rajah 1 menunjukkan aspek yang dibandingkan dalam penulisan ini.



Aspek



Persamaan



Corak penulisan



Motif penulisan



Perbezaan



Kepentingan fakta



Rajah 1: Aspek yang dibandingkan.



1



2.0 Membandingkan secara kritis hasil karya penulis kolonial dengan penulis tempatan yang wujud pada zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan Kepentingan fakta Hasil karya penulis kolonial dengan penulis tempatan mempunyai perbezaan dari kepentingan fakta dalam penghasilan karya. Karya penulis kolonial lebih mementingkan fakta berbanding karya penulis tempatan yang banyak mengandungi unsur mitos (Syed Ismail Syed Mustapa & Meor Aris Meor Hamzah, 2016). Hal ini kerana kaedah pensejarahan moden yang diperkenalkan oleh Von Ranke iaitu objektiviti dalam sejarah merupakan asas pegangan penulis kolonial. Kaedah ini memerlukan karya sejarah ditulis sebagaimana yang sebenar-sebenarnya terjadi dengan mengemukakan fakta bersandarkan kepada penggunaan sumber yang asli (Abu Talib Ahmad & Cheah, 2014). Maka para pegawai kolonial perlu membuat penyelidikan bagi mendapatkan fakta dan sumber-sumber yang asli untuk menghasilkan karya mereka. Misalnya, dalam melakukan kajian terhadap amalan dan kepercayaan tertentu masyarakat Melayu, para pengkaji kolonial sanggup menemui orang-orang sumber bagi mendapatkan fakta penulisan yang tepat seperti R.O. Winstedt yang melakukan kajian terhadap amalan perbomohan dan upacara keramat dalam kalangan masyarakat Melayu. Beliau telah melihat sendiri ritual-ritual perbomohan di Tanah Melayu pada masa tersebut sebelum menulis hasil kajiannya iaitu Shaman, Saiva and Sufi: A Study of the Evolution of Malay Magic (1925) (Mohd Farhan Abd Rahman, Rohailin Zainon & Nor Adina Abdul Kadir, 2015). Selain itu, untuk memahami budaya dan bahasa masyarakat tempatan, penulis kolonial juga turut mendapatkan bantuan daripada para pemikir tempatan (Syed Ismail Syed Mustapa & Meor Aris Meor Hamzah, 2016). Contohnya, W. G. Shellabear telah mendapatkan bantuan daripada Sulaiman bin Mohammed Nur untuk mengkaji hikayat Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Seri Rama. Kepentingan fakta dalam karya penulis kolonial juga dapat dilihat daripada penggunaan sumber yang dinyatakan dengan jelas dalam hasil karya mereka. Contohnya penulisan Frank Swettenham dalam bukunya British Malaya (1907) yang menceritakan mengenai kemasukan pengaruh kolonial dan pentadbirannya di Tanah Melayu yang diambil daripada rekod-rekod kerajaan Negeri-Negeri Selat (NNS) dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) sesuai dengan kedudukannya sebagai Gabenor NNMB sebelumnya (Lampiran 1). R.O. Winstedt juga telah menyatakan dengan jelas sumber-sumber yang dirujuk dalam hasil kajiannya Shaman, Saiva and Sufi: A Study of the Evolution of Malay Magic (1925) (Lampiran 2). Berbeza dengan karya penulis kolonial, karya penulis tempatan bercampur baur di 2



antara perkara mitos dan legenda yang tidak diterima dalam sejarah serta fakta sejarah yang terselindung di sebalik hal-hal yang bersifat mitos dan legenda tersebut (Mazlina Harun, 2001). Menurut Roolvink (1957), pensejarahan tradisional Melayu terpecah kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama yang penuh dengan mitis-legendaris iaitu hal-hal berkait dengan mitos dan legenda dan bahagian kedua yang lebih bersifat sejarah. Misalnya karya Hikayat Melayu (1998), memperlihatkan gaya penulisan sastera di bahagian awal penceritaannya dengan kemasukan unsur sastera seperti mitos dan legenda. Unsur seperti ini amat jelas dilihat pada halaman satu (1) sehingga halaman empat ratus dua (402). Halaman seterusnya memperlihatkan masih ada unsur-unsur ini bergabung jalin dengan kehidupan realiti sebenar masyarakat pada masa itu tetapi dilihat sudah berkurangan kerana lebih memaparkan keadaan sebenar zaman pemerintahan keturunan Raja Kecil Siak. Karya penulis tempatan juga dibuat tanpa kajian dan lebih berpandukan kepada pemikiran dan intelek para penulisnya. Walaupun sesetengah penulisan tempatan dilihat mengambil sumber-sumber daripada penulisan lain untuk dimuatkan dalam penulisan mereka, penyataan sumber tidak dinyatakan dalam penulisan mereka. Sebagai contoh, penulisan Bustanus Salatin yang menggalurkan kembali sejarah raja-raja Melayu semestinya merujuk sumber seperti Sejarah Melayu atau sumber Pahang dalam penulisannya, akan tetapi penulisnya, Syeikh Nuruddin al-Raniri tidak menjelaskan sumber penulisannya (Rozita Che Rodi, Hashim Musa & Salmah Jan Noor Muhammad, 2015). Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa terdapat perbezaan dari aspek kepentingan fakta di antara karya penulis kolonial dengan penulis tempatan. Corak penulisan Selain perbezaan yang telah dinyatakan, terdapat juga persamaan di antara karya penulis kolonial dengan penulis tempatan. Persamaan yang dimaksudkan ialah corak penulisan yang bersifat sentrik. Para penulis kolonial cenderung untuk melakukan penulisan bersifat euro-centric. Hal ini berlaku kerana para pegawai British telah didoktrinkan dengan satu bentuk pemikiran, pandangan dan penelitian yang direka bentuk oleh pelbagai institusi pendidikan dan latihan kepada pegawai awam kolonial yang telah membina tanggapan rasmi, formal dan peribadi tentang betapa rendahnya martabat masyarakat dan budaya peribumi berbanding ketinggian dan martabat masyarakat dan budaya Barat (Syed Ismail Syed Mustapa & Meor Aris Meor Hamzah, 2016). Sebagai contoh, J. Rigby yang mengkaji Undang-Undang 99 Perak dan R. J. Wilkinson yang mengkaji Undang-Undang Adat Perpatih dan Temenggung menolak undang-undang Melayu tersebut sebagai sebuah undang-undang yang lengkap seperti 3



legal code dalam perundangan Barat. Mereka berpendapat, undang-undang adat di Tanah Melayu sebaliknya hanya bersifat digest iaitu bersifat intisari terhadap sebuah perundangan yang boleh diterima pakai seperti di Barat (Jelani Harun, 2013). Hal ini jelas menunjukkan bagaimana para penulis kolonial cuba melihat undang-undang adat di Tanah Melayu dari sudut perundangan kolonial sedangkan perkara ini adalah berbeza sama sekali. Penulisan yang bersifat euro-centric telah mewujudkan sikap bias mereka dalam melakukan pengadilan moral ke atas tokoh-tokoh tertentu. Sebagai contoh, ketika menulis mengenai penentangan pahlawan tempatan terhadap pentadbiran British di Tanah Melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan Haji Abdul Rahman Limbong, British menganggap mereka sebagai penderhaka sedangkan penulis tempatan menganggap mereka sebagai seorang pejuang yang berani. Penulisan euro-centric dalam kalangan pegawai British juga dapat dilihat melalui ulasan R.O. Winstedt terhadap Hikayat Hang Tuah. Beliau menolak kewujudan Hang Tuah sebagai seorang Laksamana di Istana Melaka kerana beranggapan wujudnya pengaruh sastera panji (epik Jawa) dalam Hikayat Hang Tuah menjadikan watak Hang Tuah tidak lebih daripada sekadar mitos seperti epik-epik Hindu-Jawa yang lainnya (Lampiran 3). Dalam karya penulis tempatan pula, terdapat sentrik seperti bugis-centric dalam karya Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Ali Haji. Hal ini kerana dalam kebanyakan hal, suku Bugis dilihat sebagai suatu bangsa yang kuat dan berjaya, selain mempengaruhi banyak perkara dan keputusan di alam Melayu (Arba’iyah Mohd Noor, 2014) (Lampiran 4). Misalnya, beliau mendakwa bahawa Hang Tuah yang merupakan panglima dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka itu adalah seorang yang berketurunan Bugis. Dakwaan beliau adalah untuk mengukuhkan gambaran mengenai kepahlawanan Bugis yang ditonjolkan dalam karya tersebut. Malah, dalam satu bahagian lain, beliau turut mengangkat darjat suku Bugis dengan menyatakan bahawa orang-orang Bugis adalah keturunan Nabi Sulaiman dan Puteri Balkis (Lampiran 5). Motif penulisan Karya penulis kolonial dan penulis tempatan juga mempunyai persamaan dari segi aspek motif penulisan iaitu untuk mengangkat martabat seseorang atau sesuatu bangsa. Penulis kolonial misalnya menulis karya dengan tujuan untuk mengangkat martabat penjajahan kolonial di Tanah Melayu. Bagi membuktikan kejayaan pentadbiran mereka yang dianggap mampu membawa kemodenan dan ketamadunan di Tanah Melayu, penulisan sejarah adalah penting dalam memperincikan segala pencapaian yang telah dilaksanakan oleh pentadbiran mereka di Tanah Melayu ketika itu (Yusoff Iskandar, 1992). Sebagai contoh, Frank Swettenham dalam buku British Malaya telah 4



menggambarkan bagaimana beliau cuba menunjukkan kemampuan pentadbiran kolonial di bawah beliau sebagai Gabenor di NNMB pada waktu tersebut. Judul karya tersebut sendiri sudah memberi gambaran tentang isi kandungan, idea utama atau temanya yang sudah pasti tidak lari daripada menghuraikan peranan dan kejayaan pihak kolonial British di Tanah Melayu. Karya penulis tempatan pada zaman feudalisme Melayu pula mempunyai motif untuk mengangkat martabat dan keagungan raja (Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992). Contohnya karya Bustanus Salatin karangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilihat cenderung untuk mengagungkan-agungkan Sultan Acheh manakala Tuhfat al-Nafis terlalu mengagungkan suku Bugis dalam istana Riau pada ketika itu (Lampiran 6). Kecenderungan ini berlaku disebabkan oleh keterikatan para penulis dan pujangga istana terhadap titah dan perintah diraja ke atas mereka yang dititahkan untuk menulis kitab-kitab sejarah. Misalnya, Tun Seri Lanang telah menyelenggara dan melengkapkan kitab Sejarah Melayu atas perintah Yang di Pertuan Raja di Hilir, Sultan Abdullah Mu’ayat ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah setelah dibawa oleh Orang Kaya Suguh dari Goa (Johari Talib, Maharam Mamat & Maznah Ibrahim, 2017). 3.0 Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, terdapat perbezaan dari aspek kepentingan fakta dan persamaan dari aspek motif dan corak penulisan di antara hasil karya penulis kolonial dan penulis tempatan. Hal ini menunjukkan hasil karya penulis kolonial dan penulis tempatan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh itu, para pengkaji sejarah perlulah mengkaji semua hasil karya pensejarahan yang dihasilkan sama ada oleh penulis kolonial atau penulis tempatan agar kita dapat mengetahui peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau.



5