Kesantunan Bahasa Dalam Perundangan Malaysia [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

KESANTUNAN BAHASA DALAM PERUNDANGAN MALAYSIA



Konsep kesantunan berbahasa adalah konsep yang menitikberatkan penutur supaya bersopan santun ketika berkomunikasi dengan orang lain sama ada melalui lisan atau tulisan. Menurut kamus dewan pula, maksud santun adalah halus budi bahasa dan budi pekerti serta beradab sopan. Sudah menjadi norma masyarakat Melayu sejak dahulu lagi untuk berbudi bahasa semasa bertutur. Setiap perbualan diselang selikan dengan panggilan hormat serta tidak menyinggung perasaan orang. Ini juga supaya kedua belah pihak dapat memahami maksud yang ingin disampaikan dan berasa selesa antara satu sama lain. Masyarakat Melayu sering berlapik semasa menegur kesalahan seseorang ataupun kenalan mereka. Komunikasi masyarakat Melayu penuh budi bahasa. Ini dapat dilihat dalam hubungan antara anak serta ibu bapa, seorang individu bersama adik beradiknya, penggunaan kata ganti nama diri dalam perbualan, serta interaksi bukan verbal. Kesantunan Bahasa berkait juga dengan emosi seseorang kerana dengannya seseorang boleh menukar emosinya menjadi lebih sayang menyayangi antara satu sama lain. Hal ini menyebabkan permuafakatan dapat dicapai dalam masyarakat. Sikap ini harus dipraktikkan dan dihayati walaupun di dalam mahkamah.



Dalam konteks masyarakat ataupun tamadun, kepentingan bahasa dalam masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dan ia merupakan salah satu asas bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan saling bertolak-ansur selain negara akan disanjung oleh negara-negara luar. Selain menitikberatkan penggunaan kesantunan bahasa dalam perbualan seharian, penggunaan kesantunan bahasa dalam mahkamah juga tidak dipandang enteng. Ini kerana terdapat beberapa istilah perundangan yang khusus dan digunapakai ketika perbicaraan di mahkamah. Contohnya perkataan alibi yang bermaksud bukti yang menunjukkan bahawa seseorang tidak berada di tempat kejadian ketika sesuatu jenayah dilakukan. Aspek kesantunan yang terdapat dalam pertuturan, perlakuan dan penulisan menyebabkan kesantunan mempunyai bentuk dan jenisnya yang tersendiri iaitu kesantunan verbal, kesantunan nonverbal, dan kesantunan penulisan.



Pertama, kesantunan verbal merupakan pengucapan bersuara untuk melahirkan pemikiran, perasaan dan tindak balas terhadap sesuatu isu dan persoalan lantas memperlihatkan identiti seseorang. Ia terbahagi kepada tiga iaitu komunikasi lisan, bahasa sapaan dan kata panggilan. Bahasa merupakan unsur yang penting dalam komunikasi lisan atau verbal. Ia menyatakan bahawa bahasa adalah kod simbol, huruf atau perkataan dengan pelbagai makna yang disusun mengikut peraturan susunan ayat yang digunakan untuk berkomunikasi.



Contohnya, ketika perbicaraan didalam mahkamah, pihak peguambela dan peguamcara akan mengeluarkan dan mempertahankan hujah-hujah mereka secara lisan kepada hakim. Manakala berbeza bagi bahasa sapaan untuk situasi formal dan tidak formal. Di mahkamah, kita mengunakan bahasa sapaan yang formal dan dilarang menggunakan bahasa sapaan yang tidak formal seperti aku, engkau dan sebagainya ketika perbicaraan di mahkamah. Kata panggilan di dalam mahkamah haruslah berbentuk formal seperti hakim di panggil Yang Arif dan sebagainya.



Aspek kedua adalah kesantunan berbahasa dari segi nonverbal seperti bahasa tubuh ataupun gerakan anggota badan, mimik muka, gerakan mata atau tangan. Bahasa tubuh ini sangat penting kerana mampu menggambarkan emosi, personaliti dan tujuan individu. Misalnya, keadaan tertuduh ketika sesi soal jawab di mahkamah. Kita boleh melihat reaksi tertuduh itu bersalah ataupun tidak dengan bahasa tubuhnya seperti berada dalam keadaan gelisah ataupun menangis jika dia menyesali perbuatannya dan sebagainya selain pengakuan yang dibuat secara lisan. Selain itu, mimik muka merujuk kepada riak muka seseorang yang mempunyai pelbagai maksud tersirat. Contohnya jika tertuduh benar-benar melakukan kesalahan itu, mimik muka ketakutan akan terpancar di wajahnya apabila memikirkan hukuman yang bakal dijatuhkan kelak. Gerakan mata mempunyai makna tertentu dalam komunikasi nonverbal. Semua gerakan mata yang berlaku secara spontan dapat ditafsirkan seperti mata berkelip lebih laju daripada biasa menunjukkan dia berdusta dan tidak memandang mata menunjukkan perasaannya tidak tenteram. Manakala gerakan tangan ialah tangan yang digunakan secara tersendiri untuk menyampaikan sesuatu maksud tetapi illustratur pula gerakan tangan yang digunakan bersama-sama ucapan untuk membantu ataupun mengukuhkan pemahaman. Contohnya, pihak pendakwaraya atau peguambela yang banyak melakukan reaksi ini. Ini bagi memudahkan tertuduh memahami maksud dan pertanyaan mereka. Tambahan lagi, senyuman membawa maksud menenangkan. Situasi yang sering berlaku pabila pihak peguambela atau pendakwaraya menyoal mangsa yang emosinya tidak stabil. Aspek terakhir adalah kesantunan penulisan. Kesantunan dalam penulisan wujud dalam komunikasi bertulis sama ada secara formal ataupun tidak formal. Komunikasi bertulis merupakan cara penyampaian maklumat oleh penyampai kepada penerima secara bertulis dengan menggunakan laras dan ragam bahasa yang betul. Dalam keadaan tertentu, komunikasi bertulis ini akan menjadi bahan rekod untuk dijadikan landasan bagi sesuatu tindakan itu diambil. Misalnya, keputusan kehakiman bagi setiap kes haruslah dalam penulisan yang mudah difahami dan diterjemahkan. Ini kerana ia menjadi rekod untuk kegunaan pada masa yang akan datang.



Pada dasarnya, bahasa Melayu mendapat pengiktirafan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia menerusi undang-undang tertinggi tanah air, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan Perkara 152 menjelaskan kedudukan bahasa Melayu yang telah diangkat martabatnya di Malaysia. Selain Perlembagaan Persekutuan, penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperkasakan lagi kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Pengenalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelasnya memperuntukkan tentang bahasa yang perlu digunakan di mahkamah. Secara spesifiknya, hal ini dapat dilihat dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai bahasa mahkamah di Malaysia. Peruntukan ini meletakkan satu obligasi yang berat terhadap badan kehakiman dalam menjalankan prosiding dalam bahasa Melayu.



Dalam merealisasikan hasrat Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, terdapat beberapa perkara yang harus diberikan perhatian dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah di Malaysia. Antaranya, aspek peristilahan undang-undang yang tepat dalam bahasa Melayu. Undang-undang merupakan suatu bidang yang kaya dengan istilahnya yang tersendiri sepertimana bidang perubatan yang mempunyai istilah saintifiknya yang tersendiri. Kebanyakkan istilah undang-undang adalah dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Latin ataupun bahasa Perancis. Umum mengetahui bahawa kebanyakan istilah undang-undang wujud dalam bahasa Inggeris. Bagi istilah undang-undang dalam bahasa Inggeris, apabila istilah-istilah tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, badan kehakiman harus memastikan bahawa istilah yang digunakan adalah tepat dan menepati maksud istilah Inggeris yang asal. Kadangkala, terdapat juga istilah yang tidak pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Dalam konteks ini, harus dipastikan bahawa kaedah padanan yang betul telah digunakan dalam menterjemahkan istilah Inggeris yang berkenaan.



Seterusnya, isu-isu kesantunan dalam masyarakat Malaysia pula semakin berleluasa dan menunjukkan belang. Konsep kesantunan bahasa adalah kesinambungan dari konsep budi bahasa yang memberi amalan positif kepada seseorang insan. Selain itu, sifat positif ini kian luntur di kalangan masyarakat Malaysia dan kesantunan dalam berbicara juga kian rapuh dan ampuh menjadikan masyarakat lebih biadab. Kekurangan pengamalan nilai kesantunan akan menyebabkan masyarakat masa kini sering melakukan tingkah laku yang kurang sopan dan secara tidak langsung akan terjerumus dalam gejala sosial. Hal ini demikian kerana, mereka



kurang memahami konsep nilai kesantunan serta kepentingan pengamalan nilai kesantunan dalam kehidupan.



Antara isu yang dihadapi dalam mengamalkan kesantunan bahasa adalah isu pendidikan, isu media, isu sosial dan isu sikap ibu bapa dan masyarakat. Dalam dunia pendidikan, guru kurang menekankan kepentingan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian mereka. Beberapa tahun lepas, Malaysia telah digemparkan dengan kes guru agama yang memukul anak muridnya yang berusia hanya 7 tahun sehingga menyebabkan kematian atas sebab kesalahan mencuri duit. Tugas seorang guru yang sepatutnya mendidik generasi dengan cara yang betul, tetapi kes ini telah menyebabkan guru juga dipandang serong oleh masyarakat. Seterusnya ialah isu media massa, teknologi maklumat memainkan peranan yang penting. Masyarakat sering melupakan budaya sendiri dan tidak mengamalkan kesantunan bahasa. Para remaja yang mudah terpengaruh dengan tayangan orang barat sering bertindak melulu dan kurang menghormati orang tua. Kesantunan dalam berbicara ini kian pudar sehingga terjadinya kejadian salah laku pelajar seperti bergaduh, tidak menghormati kedua-dua ibu bapa dan guru mereka, menyerang, membakar sekolah kerap dipaparkan di mana-mana media massa. Isu-isu sosial juga semakin serius dan membimbangkan semua lapisan masyarakat sering berlaku di kalangan kita. Isu-isu sosial yang sebahagian daripadanya melibatkan golongan Orang Kurang Upaya, wanita, remaja dan kanak-kanak yang tidak lari dari terjerumus dalam kancah gejala sosial ini. Kehadiran gejala sosial ini selari dengan perkembangan kemajuan negara dan memberi implikasi besar kepada kesejahteraan hidup individu masyarakat dan negara. Peranan ibubapa dan masyarakat penting dalam mendidik anak-anak mereka tentang kesantunan bahasa. Pendidikan yang diberikan secara awal dari rumah dapat melahirkan anak yang bersopan santun. Mereka juga perlu menunjukkan contoh tutur kata yang sopan kerana "Anak ibarat kain putih, ibu bapa lah yang akan mencorakkannya".



Kesantunan berbahasa ketika berkomunikasi perlulah diterapkan agar dapat melahirkan masyarakat yang mengamalkan sikap toleransi, bersopan santun, bermoral dan baik hati. Masyarakat yang mengamalkan kesantunan bahasa ini dapat menonjolkan peribadi bangsa yang lemah lembut dan tinggi peradaban. Penggunaan bahasa Melayu yang santun dikaitkan dengan tanggapan dan konsep ‘reti bahasa’. Kata pepatah Melayu, ``Yang tua dihormati, yang muda disayangi”.



Kesimpulannya, kesantunan bahasa dalam perundangan amatlah penting untuk menjaga hubungan antara masyarakat. Perundangan mungkin berbunyi seperti hukuman namun ianya hanya untuk memberi kebaikan dan pengajaran supaya keadilan dapat ditegakkan dan kehidupan kita lebih bahagia dan harmoni.