Kajian Tindakan KPD3026 [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

PENGAJARAN, TEKNOLOGI DAN PENAKSIRAN 2 (KPD3026) TUGASAN INDIVIDU KAJIAN TINDAKAN



DISEDIAKAN OLEH: NURUL NAJWA BINTI AHMAD ROSE (D20181082536) PENSYARAH ENCIK RAZALI BIN AYOB TARIKH SERAHAN: 30/05/2021 IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS SEMESTER 2 SESI 2020/2021



1.0 REFLEKSI PENGAJARAN LALU Semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran bahasa Melayu yang bertajuk ‘Semerah Rozel: Asam yang Manis’, guru pelatih dapati bahawa guru pelatih mempunyai masalah pada bahagian perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atas faktor kekangan masa memandangkan kelas yang dijalankan hanya selama 30 minit. Kegagalan dalam perancangan PdP dengan sebaik mungkin menyebabkan timbulnya isu di mana terdapat beberapa aktiviti kelas disingkatkan masanya menyebabkan murid melaksanakan aktiviti tersebut secara tergesa-gesa. Walaupun murid dapat menyelesaikan aktiviti tersebut mengikut masa yang diberikan, namun ia akan memberi kesan kepada murid terutamanya dari aspek penerimaan pengajaran yang disampaikan oleh guru pelatih. Selain itu, video bahan bantu mengajar (BBM) yang bertajuk ‘Jenis-Jenis Bunga yang Boleh Dimakan’ yang digunakan oleh guru pelatih pada fasa set induksi kurang sesuai untuk digunakan dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Hal ini kerana, video yang digunakan oleh guru pelatih pada fasa set induksi merupakan video yang menggunakan bahasa Indonesia. Walaupun bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia di bawah satu rumpun yang sama, namun perbezaan dari segi kosa kata, sebutan dan makna adalah berbeza. Penggunaan video BBM tersebut menyebabkan murid tidak dapat memahami topik pembelajaran yang akan dipelajari secara sepenuhnya. BBM yang digunakan dalam fasa set induksi adalah untuk membantu murid agar lebih bersedia untuk menerima pembelajaran pada hari tersebut. Jika guru pelatih gagal untuk menyediakan BBM yang baik, maka ia akan menjadi bahan yang tidak bermakna yang tidak dapat membantu murid untuk lebih bersedia menerima topik pembelajaran pada sesi PdP tersebut. Berdasarkan sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut, guru pelatih mendapati bahawa guru pelatih kurang mahir dalam aspek pengurusan masa terutamanya pada fasa kerja kumpulan (Fasa 3) dan menilai keputusan (Fasa 4). Selain itu juga, guru pelatih kurang mahir dalam mengendalikan BBM di mana video bahan bantu mengajar yang disediakan tersebut kurang sesuai untuk digunakan. Oleh itu, guru pelatih memilih untuk membaiki Kemahiran Menggunakan Media atau Bahan Bantu Mengajar tersebut kerana penggunaan BBM pada fasa set induksi amat diperlukan bagi membantu murid memahami topik yang akan dipelajari di samping menarik perhatian mereka supaya kekal fokus sepanjang sesi PdP dilaksanakan. Bagi mengatasi kelemahan tersebut, guru pelatih perlu mencari kaedah dan alternatif bagi mengatasi masalah tersebut agar kefahaman murid bertambah dan sekali gus memperbaiki kelemahan guru pelatih itu sendiri.



2.0 ISU KEPRIHATINAN Setelah sesi PdP telah dilaksanakan dan rakan penilai telah menilai sesi PdP tersebut, guru pelatih dan rakan penilai mendapati bahawa murid tidak dapat memahami topik pembelajaran secara sepenuhnya adalah kerana disebabkan kekurangan guru pelatih terhadap Kemahiran Menggunakan Media atau Bahan Bantu Mengajar yang digunakan dalam penyediaan video BBM terutamanya dalam fasa set induksi. Bagi memastikan BBM yang digunakan merupakan bahan yang bermakna dan sesuai dengan objektif pelajaran yang ingin dicapai, guru pelatih akan melihat secara terperinci berkaitan dengan penyediaan BBM dengan betul dan berkesan. 2.1 Kemahiran Menggunakan Media/ Bahan Bantu Mengajar Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar merupakan salah satu kemahiran mikro pengajaran yang perlu dikuasai oleh semua guru. Bahan bantu mengajar (BBM) merupakan segala atau suatu kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah sama ada dalam bentuk elektronik mahupun bukan elektronik. Kemahiran Menggunakan Bahan Bantu Mengajar pula bermaksud kecekapan seseorang guru menggunakan bahan bantu mengajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Kemahiran ini tidak berdasarkan mana-mana teknik atau teori yang tertentu, tetapi penggunaan kemahiran tersebut bergantung kepada kecekapan guru dalam mengendalikan BBM yang disediakan untuk digunakan dalam sesi PdP. Kemahiran ini lazimnya digunakan pada fasa set induksi dan fasa 1 (Pengenalan) untuk membantu murid-murid lebih memahami topik pembelajaran yang akan dipelajarinya. Oleh itu, Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar amat penting dilaksanakan secara berkesan supaya penyampaian proses pembelajaran kepada murid dapat dilakukan secara berkesan, dapat membina pengetahuan baru serta memberi kefahaman awal terhadap topik pembelajaran yang dipelajarinya. Antara objektif penggunaan Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar adalah untuk membantu guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, menarik dan tepat. Penguasaan dalam kemahiran ini amat penting memandangkan guru-guru pada masa kini digalakkan untuk menggunakan BBM dalam sesi PdP bagi menarik perhatian murid di samping mempelbagaikan kemahiran mengajar guru kepada murid-murid. Penguasaan yang baik dalam kemahiran ini akan membantu guru untuk mencapai objektif



pelajaran serta membantu murid untuk lebih mengingati dan memahami topik pembelajaran yang dipelajarinya.



2.2 Jenis-Jenis Bahan Bantu Mengajar Bahan Bantu Mengajar terbahagi kepada 3 jenis iaitu: 1. Bahan Elektronik Bahan bantu mengajar elektronik merupakan bahan bantu mengajar yang terdiri daripada bahan bukan maujud dan berasaskan elektronik. Bahan ini terdiri daripada Overhead Projektor (OHP), radio, televisyen dan Video Cassete Recorder (VCR), alat rakaman, filem, komputer, pita slaid (filem slaid) dan sebagainya. Pada masa kini, penggunaan bahan bantu mengajar semakin berkembang dan penggunaan elektronik dalam kemahiran mengajar juga tidak terkecuali daripada menggunakannya. Penggunaan bahan elektronik dapat digunakan secara meluas kerana ia melibatkan deria pendengaran dan deria melihat kerana bahan-bahan tersebut dapat memberi gambaran yang jelas serta mempunyai audio yang mampu menarik minat murid untuk kekal fokus dalam kelas. 2. Bahan Bukan Elektronik Bahan bantu mengajar bukan elektornik merupakan bahan bantu mengajar yang terdiri daripada bahan maujud. Bahan bukan elektronik terdiri daripada buku teks, gambar, penggunaan papan hitam atau papan tulis, papan pamer atau papan buletin, carta, grafik, model tiga dimensi, patung, surat khabar dan sebagainya. Bahan bantu mengajar jenis ini sering kali dikaitkan dengan bahan pengajaran terawal yang digunakan oleh guru-guru sebelum wujudnya bahan pengajaran elektronik. Walaupun begitu, fungsi bahan-bahan tersebut masih lagi relevan kerana dapat memudahkan guru untuk menyampaikan pengajarannya. 3. Bahan Bercorak Pengalaman dan Bahan Sebenar dari Alam Sekitar Bahan bantu mengajar bercorak pengalaman pula merupakan bahan bantu mengajar yang menggunakan pengalaman sendiri, gerak badan, bahasa isyarat, persembahan, dan sebagainya. Bahan bercorak pengalaman ini terdiri daripada lakonan, lawatan, projek, pameran dan sebagainya. Bahan bercorak pengalaman ini dikelaskan sebagai bahan tiga dimensi yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan, iaitu: a) Bahan bukan hidup.



b) Bahan buatan. c) Tumbuhan. d) Benda hidup. 2.3 Prinsip-Prinsip Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar Terdapat empat prinsip utama dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar iaitu: 1. Berdasarkan Objektif Pelajaran Penggunaan BBM dalam sesi PdP perlulah berdasarkan kepada objektif pelajaran yang disediakan. Kandungan dalam bahan tersebut perlulah mengandungi fakta yang tepat serta sesuai digunakan mengikut kebolehan dan tahap penguasaan murid. Penyediaan BBM tidak boleh terlalu menyimpang daripada objektif pelajaran kerana ia akan menganggu kelancaran sesi PdP dan murid-murid tidak dapat mengaitkan BBM tersebut dengan topik pembelajaran yang dipelajarinya. Oleh itu, guru-guru perlu memastikan bahan yang digunakan adalah berdasarkan objektif pelajaran. 2. Perlulah Dinilai Terlebih Dahulu Penggunaan BBM dalam sesi PdP perlulah dinilai terlebih dahulu sebelum sesi PdP tersebut dijalankan. Guru perlu menilai dari kesesuaian bahan, objektif pelajaran, warna dan peruntukan waktu apabila menggunakannya. Guru perlu membaca terlebih dahulu bahan tersebut dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan bahan tersebut berdasarkan kandungan pelajaran. Jika terdapat kelemahan pada bahan tersebut, guru perlu mengubahsuai bahan tersebut mengikut topik pelajaran yang diajar sehingga bahan tersebut menjadi satu bahan yang kukuh dari segi isi dan fakta, kreativiti, sesuai dengan aktiviti yang dijalankan, dan dapat membantu guru dan murid dalam sesi PdP. 3. Proses Penggunaan BBM dalam Bilik Darjah Perlu Dirancang Guru perlu merancang pada fasa atau langkah yang mana yang memerlukan guru untuk menggunakan BBM tersebut. Proses penggunaan bahan tersebut dalam kelas hendaklah dirancang mengikut langkah-langkah pelajaran yang akan disampaikan. Guru perlu menerangkan cara dan tujuan penggunaan bahan tersebut dan perlu memberi justifikasi mengapa BBM tersebut sesuai untuk digunakan pada fasa tersebut. Lazimnya, penggunaan BBM sering kali digunakan pada fasa set induksi bagi memberi gambaran awal kepada murid terhadap topik pembelajaran di samping menarik perhatian murid dengan bahan yang



digunakan oleh guru. Perancangan penggunaan BBM yang baik dapat memastikan sesi PdP yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.



4. Menilai Keberkesanan Penggunaan BBM tersebut Menilai keberkesanan penggunaan BBM dilakukan semasa dan selepas BBM digunakan oleh guru dalam sesi PdP yang dilakukan. Keberkesanannya dapat dinilai daripada respons muridmurid berdasarkan pemerhatian, soal jawab, perbincangan, dan sebagainya. Penilaian ini dibuat bertujuan untuk melihat sejauh mana penggunaan BBM itu memberi impak atau kesan kepada murid serta melihat kebaikan dan kelemahan yang diterima oleh murid-murid. Di samping itu, guru juga boleh melakukan penambahbaikan selepas menggunakan BBM tersebut. 2.4 Komponen-Komponen Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar



KOMPONEN KEMAHIRAN MENGGUNAKAN MEDIA / BAHAN BANTU MENGAJAR 1) Prinsip - Memberi pengukuhan dan rangsangan kepada murid, dan menarik.



2) Kesesuaian Sesuai dengan objektif/hasil pembelajaran dan isi kandungan, digunakan pada masa yang sesuai dan menggunakan warna yang menarik. 3) Mencabar Mencetuskan idea, menggerakkan aktiviti, menjadi bahan soal jawab, menjadi bahan perbincangan, timbul rasa ingin tahu. 4) Kejelasan Dapat dilihat dan didengar dengan jelas, maklumat yang dipaparkan jelas, ringkas, padat dan tepat, dan saiz sesuai. 5) Penggunaan Berfungsi Membantu kefahaman, meningkatkan kemahiran, memudahkan pengajaran dan pembelajaran, dan menjelaskan fakta.



Rajah 1: Komponen Penting yang Terdapat dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar 2.5 Penggunaan dan Impak Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar Antara impak penggunaan Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar dalam proses PdP ialah: 1. Dapat mengawal serta mengatasi masalah kekurangan masa dan tenaga guru. 2. Dapat mempertingkatkan minat murid dalam proses PdP. 3. Dapat mempertingkatkan motivasi murid untuk belajar. 4. Dapat mengekalkan ingatan jangka panjang terhadap isi-isi pembelajaran. 5. Murid dapat memahami dengan lebih mendalam terhadap tajuk yang dipelajari. 6. Murid dapat merasakan keseronokan belajar dan mengelakkan rasa jemu terhadap pengajaran guru.



7. Guru dapat memberi pengalaman yang sebenar kepada murid-murid dan menjadikan pengajaran tersebut lebih menarik. 8. Dapat menjimatkan masa dan murid dapat belajar dengan lebih banyak dalam masa yang singkat. 3.0 OBJEKTIF Objektif utama kajian tindakan ini dilakukan adalah untuk memperbaiki kelemahan guru pada bahan bantu mengajar pada fasa set induksi yang disediakan dalam perancangan pengajaran guru supaya pada sesi pengajaran yang akan datang, murid-murid dapat memahami dan mencungkil idea mereka terhadap topik yang guru pelatih cuba sampaikan di samping menarik perhatian murid untuk kekal fokus sepanjang sesi PdP berjalan. 4.0 KUMPULAN SASARAN Kumpulan sasaran yang terlibat dalam kajian ini merupakan para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Seramai 6 orang pelajar yang berbeza kursus terlibat secara langsung dalam memenuhi peruntukan kajian ini. Pertukaran kumpulan sasaran daripada murid sekolah kepada pelajar universiti adalah disebabkan faktor situasi dan keselamatan masyarakat yang menghalang guru pelatih untuk memilih murid sekolah dan guru pelatih melaksanakan sesi PdP secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi ‘Zoom’.



5.0 PELAKSANAAN KAJIAN 5.1 Merancang Sebelum melaksanakan sebarang tindakan dalam menjalankan kajian ini, tinjauan terhadap permasalahan yang timbul perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi melancarkan proses PdP yang berlaku. Guru pelatih bersama rakan penilai telah melakukan perbincangan dan berdasarkan perbincangan tersebut, guru pelatih mendapati punca masalah tersebut timbul adalah kerana faktor guru pelatih gagal menyediakan BBM dengan baik kepada muridmuridnya. Guru pelatih dan rakan penilai sedar bahawa penggunaan BBM terutamanya dalam fasa set induksi amat penting bagi memastikan murid bersedia untuk memulakan pembelajaran. Guru pelatih juga turut menyedari peranan BBM dalam membantu guru untuk mencapai objektif pelajaran di samping memudahkan guru dalam proses pengajaran. Oleh



itu, setelah tinjauan dilaksanakan oleh guru pelatih dan rakan penilai, maka guru pelatih melakukan keputusan untuk membuat perbincangan bagi mengatasi masalah tersebut. Selain itu, guru pelatih dan rakan penilai bersetuju untuk melakukan pemerhatian bagi merancang kajian ini berdasarkan beberapa aspek yang penting. Antara aspek yang menjadi topik perbincangan ialah: 1. Masa Kajian Guru pelatih menetapkan sesi PdP yang akan dilakukan akan berjalan selama 30 minit sahaja. Sesi PdP tersebut dijalankan dengan melakukan penambahbaikan dari aspek Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar terutamanya pada fasa set induksi. Di samping itu, guru pelatih perlu memastikan pengurusan masa dapat dilakukan dengan sebaik mungkin memandangkan guru pelatih menghadapi masalah untuk mengurus masa kelas pada sesi PdP sebelum ini. 2. Murid yang Terlibat Guru pelatih masih menggunakan murid-murid dari sesi PdP sebelum ini untuk proses penambahbaikan ini. Hal ini kerana, guru pelatih ingin memastikan murid tersebut dapat memahami topik pembelajaran tersebut di samping mendapat maklum balas terhadap keduadua sesi PdP yang dijalankan. Jumlah murid yang terlibat adalah sebanyak enam orang dan pengajaran tersebut dilaksanakan secara dalam talian.



3. Kemahiran Fokus Pada bahagian ini, guru pelatih memberi fokus untuk memperbaiki kelemahan terdahulu iaitu kelemahan guru pelatih dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar yang digunakan pada fasa set induksi. Bagi melaksanakan kemahiran ini, guru pelatih perlu mengaplikasikan komponen-komponen yang terdapat dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar yang terdiri daripada prinsip, kesesuaian, mencabar, kejelasan, dan penggunaan berfungsi. Sebelum memulakan pembelajaran, guru pelatih akan memastikan fasa set induksi dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Hal ini amat penting kerana fasa tersebut merupakan fasa permulaan pembelajaran yang mana dapat membantu murid untuk lebih bersedia untuk menerima pembelajaran. Dalam sesi PdP kali kedua, guru



pelatih akan lebih memfokuskan penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan topik pembelajaran yang mampu membantu murid untuk mengenali jenis-jenis bunga yang boleh dimakan disamping mengetahui kebaikan bunga-bunga tersebut yang dijadikan sebagai makanan dan minuman. 4. Kaedah Pengajaran Guru pelatih menggunakan model pengajaran Koperatif STAD yang memfokuskan kepada pengajaran secara berkumpulan. Menurut Slavin (1982), pengajaran Koperatif didefinisikan sebagai kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama.



Model Pengajaran



Koperatif berbentuk Student Teams-Achievement Divisions (STAD) merupakan salah satu cara bagi melaksanakan kaedah pengajaran Koperatif. STAD merupakan kaedah pengajaran yang menekankan aspek aktiviti dan interaksi antara murid yang memerlukan setiap murid dalam sesuatu kumpulan untuk bekerjasama bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan seterusnya mendapat skor yang baik dalam kuiz atau ujian yang dijalankan. Kaedah ini dapat mewujudkan persaingan yang sihat antara murid di samping dapat membantu mengekalkan daya tumpuan murid dalam kelas. Bagi melaksanakan Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar, guru pelatih perlu memasukkan elemen STAD ke dalam kemahiran tersebut selepas tayangan video BBM dilakukan. Melalui kaedah ini, murid-murid dapat memberi tumpuan terhadap video tersebut supaya dapat menjawab soalan dalam sesi soal jawab. 5. Alat Bantu Pada bahagian ini, alat bantu yang digunakan merupakan sebahagian daripada Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Jadi, pelatih menggunakan alat bantu mengajar seperti komputer bagi memaparkan video BBM yang disediakan sendiri oleh guru pelatih. Video tersebut dipaparkan pada fasa set induksi bagi menunjukkan kegunaan lain bagi setiap bunga yang dipaparkan dalam video tersebut. Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh murid sebelum video BBM ditayangkan, kebanyakan murid tidak mengetahui bahawa bunga juga boleh dijadikan sebagai makanan dan minuman. Berdasarkan video BBM tersebut, guru dapat melaksanakan sesi PdP dengan lebih berkesan dan memudahkan guru untuk menerang lebih lanjut berkenaan dengan topik pembelajaran pada hari tersebut. 6. Alat yang Digunakan untuk Memungut Data



Alat yang digunakan untuk memungut data adalah melalui Borang Pencerapan Pengajaran Makro, maklum balas daripada rakan penilai dan murid-murid. Melalui cara tersebut, guru pelatih dapat mengetahui kelemahan yang dilakukan semasa proses PdP berlaku dan kelemahan tersebut dapat diperbaikikan pada sesi PdP yang akan datang. Borang seperti di Lampiran 1. 7. Perancangan Pengajaran Guru pelatih membuat keputusan untuk membuat penambahbaikan dalam sesi PdP kali kedua. Perancangan yang dilakukan adalah berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang telah dilakukan penambahbaikan daripada sesi PdP kali pertama. Guru pelatih masih mengekalkan model pengajaran Koperatif STAD. Guru pelatih diberi masa selama 30 minit dan guru membahagikan perancangan pengajaran kepada lima fasa yang bermula dengan fasa set induksi, fasa memberitahu (Fasa 1), fasa transisi (Fasa 2), fasa kerja kumpulan (Fasa 3), fasa menilai keputusan (Fasa 4), dan fasa penutup. Namun begitu, guru akan lebih memfokuskan kepada fasa set induksi kerana pada fasa tersebut, guru pelatih mempunyai kelemahan dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Guru pelatih akan membuat sesi soal jawab secara ringkas yang berkaitan dengan bunga dan seterusnya membuat sesi soal jawab selepas tayangan video BBM dilakukan. Dengan cara ini, guru pelatih dapat mengetahui tahap kefahaman mereka terhadap topik pembelajaran. Di samping itu, guru pelatih juga akan memastikan pengurusan masa sesi PdP berjalan mengikut perancangan yang telah dibuat supaya setiap fasa dan aktiviti dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. 5.2 Melaksana Pelaksanaan yang dilakukan oleh guru pelatih adalah dengan memperbaiki kelemahan guru pelatih dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Guru pelatih membuat keputusan untuk menyediakan video BBM tersebut dengan memasukkan elemenelemen penting yang perlu ada dalam BBM. Guru pelatih memasukkan isi-isi, dan fakta-fakta penting yang mampu memberi maklumat tambahan berkenaan dengan kegunaan bunga yang mampu memberi kebaikan kepada semua manusia. Sebelum guru pelatih menayangkan video BBM tersebut, guru pelatih bertanyakan soalan kepada murid-murid.



Guru Pelatih: Cikgu akan mulakan kelas dengan memaparkan satu video berkaitan dengan bunga. Sebelum itu, boleh tak sesiapa beritahu apa kegunaan bunga? Sesiapa boleh jawab? Murid 1: Jawapan murid. Guru Pelatih: Perhiasan? Betul. Lagi? Murid 2: Jawapan murid. Guru Pelatih: Tanaman? Ya, betul. Ada lagi? Murid 3: Jawapan murid. Guru Pelatih. Ya, betul Sabrina. Bagus jawapan awak semua. Tapi, ada satu kegunaan bunga yang awak tak sebutkan tadi. Mesti awak tertanya-tanyakan apa kegunaan bunga selain yang awak sebutkan, kan? Betul tak? Baik, sekarang, cikgu akan paparkan video tersebut. Minta semua beri perhatian ya.



Guru pelatih juga ada bertanyakan soalan kepada murid untuk mengetahui tahap kefahaman mereka terhadap video BBM selepas video tersebut ditayangkan.



Guru Pelatih: Berdasarkan video tersebut, bunga apa yang boleh dibuat sebagai makanan? Murid-Murid: Memberikan jawapan berdasarkan video tersebut. Guru Pelatih: Boleh sesiapa nyatakan jenis masakan atau minuman yang boleh kita buat dengan menggunakan bunga-bunga tersebut? Murid-Murid: Memberi jawapan berdasarkan soalan yang diajukan berpandukan video BBM tersebut. Guru Pelatih: Berdasarkan video tersebut dan soal jawab tadi, pembelajaran kita pada hari ini adalah berkaitan dengan tema ‘pertanian, penternakan dan perikanan’, tetapi cikgu akan fokuskan kepada tema ‘pertanian’ sahaja yang bertajuk “Semerah Rozel: Asam yang Manis”. Sekarang, awak boleh lihat pada ruangan komen berkenaan dengan objektif pembelajaran kita pada hari ini.



5.3 Mencerap Proses mencerap dibahagikan kepada lima proses iaitu proses menerima, proses memahami, proses mengingat, proses menilai dan proses memberi tindak balas. Pada bahagian ini, guru



pelatih akan menerangkan setiap proses yang dilakukan bagi menerangkan proses mencerap yang dilakukan oleh guru pelatih. Berdasarkan Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar yang diterapkan, guru pelatih mendapati guru pelatih semakin baik dalam mengendalikan kemahiran tersebut. Video BBM yang disediakan lebih banyak membantu murid untuk memahami topik pembelajaran. Penggunaan video BBM tersebut merupakan salah satu langkah pengenalan bagi memperkenalkan topik pembelajaran sebelum mempelajari topik pembelajaran dengan lebih mendalam. Amat penting bagi setiap guru untuk memastikan murid-murid bersedia untuk menerima pembelajaran kerana minda yang bersedia dapat membantu murid untuk menerima pembelajaran dengan lebih baik. Guru pelatih juga tidak terkecuali daripada menggunakan kemahiran menyoal bagi mengukuhkan lagi Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar di samping mengukur tahap kefahaman murid terhadap video tersebut. Melalui kemahiran menyoal, guru pelatih dapat menilai proses menerima, proses memahami, proses mengingat, proses menilai dan proses memberi tindak balas. Berdasarkan refleksi guru pelatih terhadap sesi PdP pada bahagian fasa set induksi, guru pelatih dapat menyimpulkan bahawa murid-murid dapat menerima pengetahuan yang baru sahaja mereka belajar. Mereka dapat memahami apa yang video tersebut cuba sampaikan. Proses menilai dilakukan dengan bertanyakan dua soalan kepada murid untuk melihat sejauhmanakah mereka dapat memahami video tersebut dan bagaimana mereka bertindak balas selepas melihat video BBM tersebut. Kesan daripada tayangan video BBM, murid-murid lebih nampak bersedia dan seronok untuk memulakan pelajaran. 5.4 Menganalisis Data dan Mereflek Berdasarkan data yang diperoleh daripada hasil penilaian rakan penilai dan murid-murid, dan pemerhatian guru pelatih, guru pelatih dan rakan penilai melakukan perbincangan buat kali kedua selepas sesi PdP kali kedua dilaksanakan. Perbincangan tersebut melibatkan penilaian guru pelatih dalam melaksanakan sesi PdP kali kedua sama ada dalam bentuk kekuatan dan kelemahan kemahiran mengajar guru pelatih. Perbincangan ini dijalankan bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud pada sesi PdP akan datang. Berdasarkan perancangan sesi PdP yang dijalankan, guru pelatih banyak melakukan penambahbaikan dari aspek Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Guru pelatih juga berupaya menguruskan masa dengan lebih baik memandangkan setiap fasa dan langkah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Bermula pada fasa set induksi, guru pelatih menggunakan BBM yang dihasilkan sendiri bagi membantu murid dalam memahami topik



pembelajaran. Pada bahagian ini, guru pelatih menggantikan video BBM terdahulu dengan video BBM yang baru kerana video terdahulu kurang sesuai digunakan kerana tidak menepati elemen-elemen penting yang perlu ada dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Seterusnya, guru pelatih dapat melaksanakan aktiviti dalam kelas dengan lebih baik di mana murid-murid dapat mengikut pembelajaran. Mereka dapat memahami rakaman audio yang dipasang sebanyak dua kali. Ini dapat membantu mereka untuk mencatat perkaraperkara penting yang perlu digunakan dalam sesi aktiviti kumpulan. Pada sesi PdP sebelum ini, guru pelatih terpaksa menyingkatkan masa dengan memasang rakaman audio tersebut sekali sahaja dan guru pelatih bertindak untuk memberi penerangan ringkas supaya murid dapat memahami rakaman audio tersebut. Namun begitu, guru pelatih tidak melaksanakan penerangan berkaitan rakaman audio kerana mengandaikan murid-murid dapat mencatat semua fakta-fakta dan hujah-hujah penting dalam rakaman audio tersebut. Pada bahagian ini, muncul kelemahan baru di mana guru pelatih tidak melakukan pengukuhan terhadap rakaman audio yang dipasang. Selain itu, pengurusan masa guru pelatih nampak lebih baik pada Fasa 3 (fasa kerja kumpulan) di mana murid diberi masa untuk melaksanakan tugasan kumpulan yang diberi. Masa yang diberikan digunakan sebaik mungkin oleh murid dan guru pelatih tidak menyingkatkan waktu tersebut. Pada Fasa 4 (fasa menilai keputusan), sesi pembentangan dan sesi soal jawab dilaksanakan dengan baik sekali. Murid-murid diberi peluang untuk berinteraksi antara satu sama lain semasa sesi pembentangan dan sesi soal jawab. Namun begitu, pada bahagian ini, muncul satu kelemahan guru pelatih dalam melaksanakan aktiviti STAD. Guru pelatih menggunakan model pengajaran Koperatif STAD tetapi aktivit tersebut tidak dilaksanakan langsung. Kelemahan ini berpunca daripada perancangan guru pelatih yang tidak dinilai kembali sebelum melaksanakan sesi PdP tersebut. Walaupun guru pelatih tidak melaksanakan aktiviti STAD, murid-murid masih dapat melakukan aktiviti kumpulan, sesi pembentangan dan sesi soal jawab dengan baik. Murid-murid memberi respons yang baik di mana mereka berasa seronok melakukan aktiviti kumpulan tersebut kerana mereka dapat mengetahui langkah-langkah membuat Air Rozel dan Jem Rozel. Mereka juga mengatakan aktiviti yang dilaksanakan tidak membosankan. Oleh itu, guru pelatih dapat menyimpulkan bahawa sesi PdP kali kedua dapat dilakukan dengan baik walaupun terdapat kelemahan-kelemahan baru yang timbul. 6.0 RUMUSAN



Berdasarkan kepada penilaian dan analisis yang dikemukakan, guru pelatih mendapati kelemahan tersebut telah diperbaiki pada sesi PdP kali kedua yang mana guru pelatih sendiri menyediakan video BBM tersebut. Walaupun video tersebut mempunyai sedikit kelemahan dan boleh diperbaikikan lagi, namun peningkatan tersebut amat baik dan menggalakkan kerana murid-murid memberi respons yang sangat baik terhadap sesi PdP tersebut berbanding dengan sesi PdP yang terdahulu. Hal ini kerana, melalui video BBM tersebut, murid-murid dapat mengetahui topik pembelajaran yang akan dipelajari oleh mereka dan dapat mengikuti sesi PdP dengan baik sekali. Pengurusan masa pada sesi PdP kali kedua adalah lebih teratur berbanding sesi terdahulu kerana guru pelatih dapat menguruskan aktiviti dan masa dengan baik. Setiap aktiviti yang dilaksanakan berjaya dilakukan tanpa disingkatkan masa atau melangkau mana-mana aktiviti yang dirasakan terlalu lama. Namun begitu, pada sesi PdP kali kedua ini, terdapat beberapa masalah yang timbul tetapi terdapat satu masalah yang begitu ketara iaitu pelaksanaan aktiviti STAD. Pada sesi PdP tersebut, guru tidak melaksanakan aktiviti tersebut walaupun guru pelatih menggunakan model pengajaran Koperatif STAD. Guru pelatih hanya melaksanakan sesi pembentangan biasa di mana murid hanya membentang dan menjalankan sesi soal jawab. Jika aktiviti STAD dilaksanakan, guru pelatih dapat mewujudkan sikap persaingan yang sihat antara murid dan murid akan lebih berasa seronok apabila aktiviti yang dijalankan dalam bentuk pertandingan. Kelemahan yang dilakukan oleh guru pelatih dapat dijadikan sebagai panduan penambahbaikan kemahiran mengajar guru pelatih pada masa akan datang. Melalui hasil kajian yang dijalankan ini, guru pelatih dapati bahawa Kemahiran Menggunakan Media atau Bahan Bantu Mengajar sangat penting dan perlu dikuasai oleh setiap guru dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana, dengan adanya BBM, guru-guru dapat menambahkan kefahaman murid-murid dalam topik pembelajaran di samping menarik minat murid untuk sentiasa fokus di dalam kelas. Di samping itu, penggunaan BBM pada fasa set induksi amat penting untuk membantu murid memahami topik pembelajaran yang akan dipelajari di samping mencungkil idea-idea murid untuk mempelajari topik pembelajaran tersebut. BBM yang baik merupakan bahan mengajar yang bermakna dan boleh digunakan untuk membantu guru dalam sesi PdP. Oleh itu, guru-guru perlu mempraktikkan kemahiran tersebut supaya sesi PdP dapat berjalan dengan lebih lancar. Atas kesedaran tersebut, guru pelatih yakin bahawa kajian-kajian seperti ini perlu dilaksanakan dan diteruskan oleh setiap guru kerana melalui kajian ini, guru dapat menilai sejauh mana keupayaan mereka dalam mengendalikan sesi PdP. Guru-guru akan dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan mereka semasa mengajar di samping dapat



memperbaiki kelemahan mereka supaya kualiti kemahiran mengajar guru sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Guru merupakan seorang pembimbing, pendidik, role model dan sebagai kepada murid-murid, kecemerlangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial adalah hasil daripada didikan, bimbingan, dan dorongan daripada guru. Jika guru tidak berjaya mengendalikan sesi pengajaran dengan baik, hasil tersebut berkemungkinan tidak boleh dicapai. Oleh itu, bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut, kajian-kajian seperti ini perlu dilakukan dan berharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak di samping meningkatkan mutu pengajaran dan mutu pendidikan dalam negara. Guru pelatih berharap hasrat ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak supaya hasrat Falsafah Pendidikan Negara dapat dicapai. 7.0 KAJIAN SELANJUTNYA Sekiranya guru pelatih diberi peluang untuk membuat sesi pengajaran dan pembelajaran sekali lagi, guru pelatih akan cuba memperbaiki pengajarannya dari segi pengurusan masa dan penyediaan bahan bantu mengajar terutamanya dalam fasa set induksi. Hal ini demikian, bahan bantu mengajar dapat membantu guru untuk memberi gambaran sesi pembelajaran yang akan dilakukan di samping meningkatkan kefahaman murid dalam topik pembelajaran tersebut. Kelemahan terhadap penggunaan BBM akan menyebabkan murid berasa bosan dan tidak memahami topik yang akan dipelajarinya. Kesannya, objektif pelajaran tidak dapat dicapai sepenuhnya. Di samping itu, guru pelatih berharap dapat memperbaiki kelemahannya dari aspek pelaksanaan aktiviti STAD memandangkan guru pelatih tidak dapat melaksanakan aktiviti tersebut pada sesi PdP kali kedua. Pelaksanaan aktiviti tersebut dapat menonjolkan bakat terpendam murid-murid di samping mewujudkan persaingan yang sihat dalam kumpulan murid. Justeru itu, guru pelatih akan menambah baik dan mempelbagaikan kemahiran mengajar untuk meningkatkan motivasi murid-murid.



Lampiran