14 0 1 MB
Topik Kemahiran
6
Membaca dan Kefahaman
HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1.
Menerangkan kepentingan, konsep dan jenis kemahiran membaca;
2.
Menyenaraikan peringkat dan proses kemahiran membaca;
3.
Mengenal pasti bentuk penilaian kemahiran membaca yang sesuai dengan sasaran pelajar; dan
4.
Mengaplikasikan aras taksonomi soalan kefahaman dalam penilaian kemahiran membaca.
PENGENALAN Tahukah anda kemahiran membaca tertumpu pada penguasaan pelbagai ilmu dan kemahiran? Kebanyakan ilmu dan pengetahuan disalurkan menerusi pelbagai buku, khususnya bacaan dan kefahaman. Oleh itu, semakin banyak seseorang terlibat dalam pembacaan, semakin banyak ilmu dan fakta baharu yang dapat diterap. Secara umumnya, kemampuan seseorang murid membaca dan memahami sangat berkait dengan kejayaannya dalam sistem pendidikan. Abd Aziz Abdul Talib (1996) menjelaskan bahawa kefahaman ialah aspek penting dalam bacaan. Dalam hal ini, membaca dianggap sebagai „memahami pemikiran penulis‰ atau „menyedut maklumat‰ daripada bahan bertulis.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 103
Untuk makluman anda, kemahiran membaca ialah lanjutan daripada kemahiran mendengar dan bertutur – kemahiran mendengar melibatkan deria pendengaran dan gandingan interpretasi otak, manakala kemahiran bertutur pula melibatkan alat artikulasi manusia. Oleh itu, kemahiran membaca melibatkan deria penglihatan dan alat artikulasi, khususnya gabungan aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Hal inilah yang dikatakan bahawa kemahiran membaca merupakan lanjutan kepada kemahiran mendengar dan bertutur. Tanpa penguasaan dalam kedua-dua kemahiran tersebut, kemahiran membaca tidak mungkin boleh dikuasai. Sehubungan dengan itu, topik ini akan menghuraikan beberapa persoalan tentang bacaan dan kefahaman. Huraian ini meliputi persoalan mengenai dengan konsep, jenis, peringkat dan penilaian kemahiran membaca. Sudahkah anda bersedia? Mari kita teruskan!
6.1
KEMAHIRAN MEMBACA
Kemahiran membaca ialah satu kemahiran berbahasa yang mempunyai kepentingan yang tersendiri, khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kemahiran membaca berkait rapat dengan kemahiran mendengar dan bertutur. Kemahiran membaca juga berlawanan dengan kemahiran menulis. Hubungan kemahiran membaca dengan dua kemahiran yang dinyatakan tersebut amat jelas kerana membaca ialah proses penghuraian lambang kepada bentuk pertuturan dengan bantuan pemikiran. Dalam menjelaskan perkara tersebut, subtopik ini akan membincangkan kepentingan, konsep, faktor dan jenis kemahiran membaca dan kefahaman.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
104 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
6.1.1
Kepentingan Kemahiran Membaca dalam Konteks Perbendaharaan Sastera
Secara amnya, pembacaan membantu murid menambahkan perbendaharaan kata dalam aspek sastera. Hal ini demikian kerana dengan membaca, murid akan menemukan kepelbagaian dalam perbendaharaan kata. Jika para murid membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang sastera, mereka akan mengenali lebih banyak kosa kata baharu. Jika para murid telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar tentang aspek kesusasteraan. Penguasaan perbendaharaan kata dalam sesuatu bidang sangat berguna dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Oleh itu, murid harus bijak membaca supaya dapat menggarap ilmu kesusasteraan yang mempunyai kelangsungan luas.
6.1.2
Konsep Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merangkumi perkara yang berikut: (a)
Konsep Membaca Apakah yang dimaksudkan dengan membaca? Membaca ialah suatu perlakuan mendapatkan maklumat menerusi pelbagai lambang bertulis.
Membaca melibatkan proses mekanis dan mental. Apakah yang dimaksudkan dengan proses mekanis dan mental? Mari kita lihat Rajah 6.1 yang menerangkannya.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 105
Rajah 6.1: Konsep membaca
Jelas, membaca ialah proses mendapatkan makna daripada bahan bertulis dan melahirkannya dalam bentuk pertuturan ataupun senyap. (b)
Proses Membaca Tahukah anda terdapat dua teori yang mentakrifkan proses membaca dari dua sudut yang berbeza? Mari kita lihat dua teori ini dalam Jadual 6.1. Jadual 6.1: Dua Teori Mengenai Proses Membaca Teori Pembelajaran Tradisional Proses membaca ialah satu kegiatan mengenal perkataan dengan cara membunyikannya, kemudian memberikan makna perkataan tersebut.
Teori Pembelajaran Psikolinguistik Kognitif Proses membaca sebagai suatu aktiviti mental yang aktif.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
106 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
Kemudian daripada teori pembelajaran psikolinguistik kognitif, proses membaca boleh digambarkan menggunakan carta alir seperti dalam Rajah 6.2.
Rajah 6.2: Carta alir proses membaca berdasarkan teori pembelajaran psikolinguistik kognitif
Rajah 6.2, pengecaman pembacaan dikesan pada aspek kalimat atau katakata dalam bentuk lambang, iaitu huruf. Pembacaan berasaskan lambang yang berpaksikan huruf pula ditransformasikan kepada bunyi yang bermakna dan kemudian diterjemahkan. Penterjemahan simbol yang diberi entiti makna adalah berkait dengan pengetahuan sedia ada pembaca. Pengetahuan sedia ada juga mesti berkait dengan tahap pemikiran pembaca yang seimbang dengan berpandukan fungsi otak. Pada peringkat entiti makna yang telah diinterpretasikan, wujud gabungan idea yang lengkap yang boleh menjadi kefahaman konkrit dalam pembacaan. Makna yang wujud terbit daripada rekonstruksi atau ubah suai yang dijustifikasikan pada unsur kejelasan dan kepadatan idea. Kefahaman ini boleh dijadikan modal pemikiran sendiri atau dikongsi dengan orang lain.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 107
Sebagai kesimpulan berdasarkan teori pembelajaran psikolinguistik kognitif, proses membaca merupakan proses yang merangkumi: (i)
Mengecam simbol yang dilihat;
(ii)
Mengaitkan simbol dengan bunyi dan makna;
(iii) Menterjemahkan makna simbol; (iv) Menghubungkaitkan simbol dengan pengetahuan sedia ada; (v)
Mengumpul dan mencantumkan idea supaya menjadi lengkap; dan
(vi) Menghuraikan idea yang diperoleh untuk diri sendiri atau orang lain. (c)
Kesediaan Membaca Apakah definisi bagi kesediaan membaca? Kesediaan membaca ialah satu keadaan fizikal dan mental yang membolehkan seseorang membaca.
Dari segi kesediaan secara fizikal, seseorang pembaca perlu bersedia dari segi pertuturan dan penglihatan. Manakala dari aspek mental pula, kesediaan membaca meliputi perkara tentang: (i)
Motivasi untuk membaca;
(ii)
Keupayaan mengenal huruf dan perkataan; dan
(iii) Kecerdasan intelek untuk memahami.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
108 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
6.1.3
Faktor yang Mempengaruhi Proses Membaca
Sebagai suatu proses mental yang aktif, membaca dan kefahaman dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Apakah faktor tersebut? Mari kita lihat Rajah 6.3 untuk mengetahuinya.
Rajah 6.3: Empat faktor yang mempengaruhi proses membaca
Kesemua faktor tersebut akan menentukan tahap pembacaan dan kefahaman seseorang terhadap apa-apa yang dibaca. Mari kita pelajari empat faktor tersebut dengan lebih lanjut dalam Jadual 6.2. Jadual 6.2: Empat Faktor yang Mempengaruhi Proses Membaca dan Huraiannya Faktor
Huraian
Fizikal
Tahukah anda faktor fizikal yang utama dalam proses membaca ialah alat artikulasi? Alat ini penting kerana ia membolehkan seseorang bertutur. Deria penglihatan pula membolehkannya meneliti setiap lambang bertulis dalam bahan bacaan. Seterusnya, deria pendengaran juga berperanan untuk membolehkan seseorang meniru atau membunyikan sesuatu perkataan yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut.
Mental
Proses membaca bukan semata-mata menyebut dan membunyikan perkataan tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu membaca berfungsi ke arah memahami atau mengetahui maklumat yang dibaca. Dalam hal ini, faktor mental memainkan peranan penting dalam proses membaca. Faktor mental meliputi aspek kecerdasan dan kebolehan berbahasa. Memang tidak boleh dinafikan bahawa seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi akan lebih mudah memahami apa-apa yang dibaca. Hal ini demikian kerana tahap kecerdasan mampu menyimpan banyak pengetahuan sedia ada yang boleh dikaitkan dengan perkataan atau lambang yang dibaca. Kecerdasan juga mempengaruhi kebolehan berbahasa seseorang. Cara ini membolehkannya mempunyai banyak perbendaharaan kata dan bentuk ayat dalam bahasa berkenaan. Perbendaharaan kata dan bentuk ayat ini akan membantunya dalam memahami apa-apa yang dibacanya. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 109
Emosi
Faktor emosi melibatkan motivasi, minat dan keyakinan diri untuk membaca. Sebenarnya, aktiviti bacaan bermula dengan minat terhadap bahan yang dibaca. Dalam hal ini, tajuk dan isi kandungan bahan bacaan berkait secara langsung dengan minat seseorang untuk membaca. Selain itu, motivasi dalam bentuk hadiah, ganjaran lulus peperiksaan atau berjaya dalam bidang yang diceburi selalunya menjadi faktor utama yang menggerakkan aktiviti membaca. Dalam aspek kemampuan untuk membaca, Kamarudin Husin (1995) menjelaskan bahawa keyakinan diri akan membantu seseorang untuk membaca. Mereka yang mempunyai rasa rendah diri biasanya lambat menguasai kemahiran ini.
Sosial
6.1.4
Proses membaca dan memahami memang sukar berlaku dalam keadaan yang tertutup dan serba kekurangan. Faktor pergaulan, interaksi dalam komuniti dan suasana yang serba menggalakkan akan membantu seseorang menanamkan minat untuk membaca. Sekurang-kurangnya, aktiviti membaca akan menjadi aktiviti sosial dalam sesebuah komuniti, khususnya yang melibatkan arahan, makluman dan berita dalam kehidupan seharian.
Jenis Bacaan
Tahukah anda bacaan dijeniskan mengikut fungsi, peranan dan cara pembacaan itu dilakukan? Daripada tiga faktor tersebut, bacaan boleh dikategorikan kepada enam jenis (lihat Rajah 6.4).
Rajah 6.4: Enam jenis bacaan
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
110 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
Enam jenis bacaan ini dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Jadual 6.3. Jadual 6.3: Enam Jenis Bacaan dan Huraiannya Jenis
Huraian
Bacaan mentalis
Apakah yang dimaksudkan dengan bacaan mentalis? Bacaan mentalis ialah aktiviti bacaan senyap. Bacaan jenis ini melibatkan pengaktifan mata dan memori serta ingatan visual secara berfokus. Dari segi kepantasan, bacaan jenis ini lebih pantas berbanding bacaan mekanis. Bacaan mentalis memerlukan tahap kecerdasan yang tinggi. Tujuannya pula lebih berbentuk ilmiah.
Bacaan mekanis
Tahukah anda bacaan mekanis dinamakan juga dengan nama bacaan nyaring atau bacaan oral? Walau apa pun namanya, bacaan mekanis membabitkan aspek penyuaraan. Bacaan mekanis memerlukan ketajaman penglihatan dan ketepatan sebutan serta intonasi. Sehubungan dengan itu, bacaan mekanis memerlukan kepakaran dalam memahami setiap perkataan dan ayat, seterusnya mengesan hubungan idea bagi membolehkan seseorang menyebut dan menyuarakan bacaan dengan tepat.
Bacaan intensif
Apakah yang dimaksudkan dengan bacaan intensif? Bacaan intensif ialah pembacaan yang disertai dengan aspek ketelitian. Bacaan intensif biasanya menggunakan petikan pendek. Petikan diteliti dari segi isi kandungan dan bahasa. Pada asasnya, bacaan intensif bertujuan memperkembangkan kebolehan, meneliti dan mentafsir bahan bacaan dengan cara yang pantas dalam kalangan murid. Bacaan intensif ialah aktiviti bacaan yang dilakukan dengan kawalan serta bimbingan guru.
Bacaan ekstensif
Tahukah anda bahawa bacaan ekstensif sama maksudnya dengan bacaan luas? Bacaan jenis ini dilakukan secara individu tanpa bantuan atau bimbingan guru. Bacaan ini dijalankan dengan andaian bahawa semua murid tidak mempunyai kesukaran membaca dan terhibur dengan bahan bacaan. Oleh itu, bahan bacaan ekstensif mesti daripada pelbagai bahan, selain sesuai dengan minat, umur dan jantina murid.
Bacaan rekreasi
Apakah yang dimaksudkan dengan bacaan rekreasi? Bacaan rekreasi ialah satu bentuk aktiviti bacaan yang tidak memerlukan tumpuan pemikiran yang serius. Bacaan jenis ini bertujuan berehat atau bersenang-senang. Bacaan ini dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan bacaan rekreasi biasanya terdiri daripada perkara atau isu yang ringan dan menghiburkan.
Bacaan kritis
Bacaan jenis ini ialah bentuk aktiviti yang dilakukan dengan penuh teliti, mendalam, evaluatif dan analitis. Bacaan jenis ini berasaskan keupayaan memahami yang tinggi. Pembaca tidak hanya membaca untuk mendapatkan maklumat tetapi boleh membuat justifikasi, mencari maksud tersurat dan tersirat, seterusnya boleh mempersoalkan pendirian serta pegangan penulis. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 111
SEMAK KENDIRI 6.1 1.
Apakah yang dimaksudkan dengan membaca?
2.
Nyatakan perbezaan dalam dua teori proses membaca.
3.
Huraikan empat faktor yang mempengaruhi proses membaca.
4.
Jelaskan enam jenis bacaan.
AKTIVITI 6.1 Bincangkan dalam forum myINSPIRE mengenai jenis bacaan kesusasteraan Melayu yang sesuai untuk sekolah rendah di pendalaman Sarawak.
6.2
PERINGKAT KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
Kemahiran membaca dan kefahaman merupakan gandingan yang tidak boleh dipisahkan dalam konteks fungsi dan tujuan aktiviti membaca itu sendiri. Walau bagaimanapun, menurut Kamarudin Husin (1995), terdapat beberapa kemahiran lain yang perlu dikuasai oleh seseorang untuk melicinkan proses membaca dan memahami. Antara kemahiran yang dimaksudkan ialah: (a)
Kemahiran menyimpulkan makna;
(b)
Memahami makna konseptual;
(c)
Memahami perkaitan antara beberapa ayat;
(d)
Mengenal petunjuk dan simbol dalam wacana; dan
(e)
Mengenal pasti idea utama serta sokongan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
112 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
6.2.1
Peringkat Kemahiran Membaca
Untuk makluman anda, peringkat kemahiran membaca dipecahkan kepada enam tahap. Mari kita lihat enam tahap tersebut dalam Rajah 6.5.
Rajah 6.5: Enam peringkat kemahiran membaca
Enam peringkat kemahiran tersebut dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Jadual 6.4. Jadual 6.4: Enam Peringkat Kemahiran Membaca dan Huraiannya
Peringkat
Huraian
Kesediaan membaca
Pada peringkat ini, sepatutnya pembaca telah bersedia dari segi fizikal, intelek dan emosi untuk membaca.
Prabacaan
Peringkat prabacaan ialah satu tempoh masa bagi guru menyediakan murid ke arah aktiviti membaca. Penyediaan yang dimaksudkan ialah pengalaman mengecam dan mengenal huruf. Pembaca baharu juga akan didedahkan dengan aktiviti yang boleh mempertajamkan pendengaran dan penglihatan. Dalam peringkat ini juga, pembaca baharu didedahkan dengan kelaziman membaca, misalnya pergerakan mata dari kiri ke kanan.
Membaca mekanis
Pada tahap ini, pembaca sudah boleh membunyikan huruf, perkataan atau ayat mudah. Pembaca juga boleh membentangkan atau menyebut perkataan suku kata terbuka dan tertutup yang bermula dengan konsonan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 113
Membaca dan memahami
Setelah pembaca boleh menyebut dan membatangkan suku kata dan ayat, tahap seterusnya ialah pemahaman. Pada tahap bacaan ini, pembaca seharusnya berupaya mengumpulkan maklumat dan makna, seterusnya mentafsir dan menilai sesuatu daripada bahan bacaan.
Bacaan intensif
Bacaan intensif ialah tahap seterusnya, iaitu apabila seseorang pembaca telah mempunyai kemahiran untuk memahami bahan yang dibaca. Tahap yang lebih tinggi adalah apabila pembaca berupaya menggunakan kemahiran tersebut untuk membaca dengan tujuan khusus. Pada tahap ini, pembaca boleh mendapatkan maklumat atau fakta yang dikehendaki daripada pembacaan secara teliti dan berfokus.
Bacaan ekstensif
Bacaan ekstensif ialah tahap bacaan yang paling tinggi, iaitu sebagai petunjuk bahawa seseorang telah mempunyai kemahiran membaca. Bacaan ekstensif ialah tahap bacaan luas yang dilakukan secara bersendirian. Pada tahap ini, para pembaca boleh membaca dan memahami secara pantas.
6.2.2
Peringkat Pemahaman
Apakah yang dimaksudkan dengan peringkat pemahaman? Peringkat pemahaman bermakna memetik dan mendapatkan maklumat sebanyak mungkin daripada bahan bacaan.
Seorang pembaca yang mahir dapat membezakan antara maklumat yang penting dengan maklumat yang boleh diabaikan. Walau bagaimanapun, semua ini memerlukan bimbingan supaya murid hanya menumpukan penelitian terhadap apa-apa yang sepatutnya sahaja. Dalam hal ini, terdapat empat peringkat pemahaman seperti yang disenaraikan dalam Rajah 6.6.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
114 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
Rajah 6.6: Empat peringkat pemahaman
Empat peringkat ini diterangkan dengan lebih lanjut dalam Jadual 6.5. Jadual 6.5: Empat Peringkat Pemahaman dan Huraiannya Peringkat
Huraian
Lateral
Pemahaman lateral ialah peringkat pemahaman yang paling rendah dan mudah. Pada peringkat pemahaman ini, pembaca berupaya mengenal pasti dan mengingat maklumat yang terkandung dalam bahan bacaan, seperti yang dinyatakan oleh pengarang. Hal ini bermakna pembaca hanya boleh mengesan maklumat yang tersurat dalam teks sahaja tetapi tidak berkebolehan mencungkil maksud tersirat.
Interpretasi
Peringkat pemahaman ini berada setingkat atas pemahaman lateral. Pada peringkat ini, pembaca telah berupaya mencari maklumat daripada bahan bacaan, selain menuliskannya semula dalam bentuk lain tanpa mengubah maksud asal maklumat tersebut. Pembaca yang berada pada peringkat ini juga boleh menjelaskan sesuatu tentang bahan yang dibacanya dan boleh mengesan maksud tersirat daripada bahan tersebut.
Inferens
Apakah maksud peringkat ini? Kefahaman peringkat inferens bermaksud memahami bahan bacaan dan dapat mengaitkannya dengan perkara lain. Pembaca yang berada dalam tahap ini bukan sahaja boleh membuat interpretasi tetapi berupaya juga membuat telahan atau agakan tentang sikap pengarang, kesudahan atau rumusan, di samping membezakan maklumat yang tepat dengan yang palsu daripada bahan yang dibaca. Peringkat kemahiran ini memerlukan tahap kecerdasan mental yang tinggi kerana pemahaman bukan hanya berasaskan akal, tetapi memerlukan pengetahuan sedia ada dan logik. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 115
Penilaian
Pada peringkat ini, pembaca berupaya menggunakan daya kefahaman untuk menganalisis dan menilai setiap maklumat yang terdapat dalam bahan bacaan. Pembaca akan dapat melihat hubung kait antara satu maklumat dengan maklumat yang lain, di samping berupaya mengasingkan maklumat utama dengan maklumat sampingan yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut. Pembaca pada tahap ini juga berupaya mengesan organisasi penulisan pengarang serta dapat membezakan antara hipotesis dengan bukti.
6.2.3
Pemilihan dan Penghasilan Bahan Kemahiran Membaca
Pemilihan dan penghasilan bahan kemahiran membaca perlu sesuai dengan pembaca sasaran. Bahan, khususnya bahan bertulis dan bahan audio boleh terdiri daripada buku, risalah, edaran, ucapan, ceramah dan khutbah. Walau bagaimanapun, faktor utama yang perlu ditekankan di sini ialah ketepatan dan kesesuaian bahasanya. Malahan, sesuatu bahan itu mestilah bersesuaian dengan objektif pengajaran dan tahap kecerdasan pembaca sasaran. Sebagai bahan pengajaran bahasa, bentuk bahasa dalam bahan tersebut perlu dipastikan ketepatan tatabahasa dan larasnya. Bentuk ayat yang pendek misalnya, sesuai untuk pembaca di peringkat sekolah rendah. Sebagai bahan bacaan bercetak, isi kandungan perlulah yang menarik minat pembaca sasaran. Penampilan dalam bentuk jenis huruf dan tata letak isi kandungan bahan juga perlu dipastikan menarik dan sesuai dengan pembaca yang akan menggunakan bahan tersebut.
SEMAK KENDIRI 6.2 1.
Jelaskan enam peringkat kemahiran membaca.
2.
Apakah yang dimaksudkan dengan peringkat kefahaman?
3.
Huraikan empat peringkat pemahaman.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
116 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
AKTIVITI 6.2 Dalam forum myINSPIRE, bincangkan aktiviti bacaan dan bahan yang sesuai untuk setiap peringkat pemahaman.
6.3
PENILAIAN KEMAHIRAN MEMBACA
Apakah yang dimaksudkan dengan penilaian? Penilaian ialah suatu kaedah seseorang guru boleh mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pengajarannya.
Dalam konteks pengajaran kemahiran membaca, penilaian akan menjadi landasan terhadap kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran yang digunakan. Dalam hal ini, perbincangan meliputi persoalan tentang tujuan, aspek dan pentadbiran dalam penilaian, bentuk penilaian, instrumen dan aras taksonomi soalan kefahaman. Kesemua aspek ini dihuraikan dengan lebih lanjut dalam subtopik seterusnya.
6.3.1
Tujuan, Aspek dan Pentadbiran Penilaian
Penilaian ialah satu aspek penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ia merupakan satu kaedah untuk mengenal pasti keberkesanan sesuatu kemahiran yang diajarkan. Dalam konteks kemahiran membaca, penilaian bertujuan menguji sejauh mana pembaca memahami bahan yang dibaca. Pada peringkat rendah, penilaian boleh juga dibuat untuk intonasi dan sebutan dalam bacaan. Dalam hal ini, terdapat beberapa bentuk penilaian dan instrumen yang boleh diguna pakai dalam pengujian kemahiran membaca.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 117
6.3.2
Bentuk Penilaian
Terdapat beberapa bentuk penilaian yang boleh digunakan dalam pengujian kemahiran membaca. Antaranya adalah seperti yang dinyatakan dalam Rajah 6.7.
Rajah 6.7: Empat bentuk penilaian
Empat bentuk penilaian ini dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Jadual 6.6. Jadual 6.6: Empat Bentuk Penilaian dan Huraiannya Bentuk
Huraian
Penilaian kendiri
Penilaian kendiri ialah bentuk penilaian yang dilakukan oleh murid atau pembaca itu sendiri, berdasarkan senarai semak yang diberi oleh guru.
Penilaian rakan sebaya
Penilaian rakan sebaya dinamakan juga penilaian berpasangan. Dalam penilaian ini, murid secara berpasangan akan menyemak dan menilai bacaan sesama sendiri.
Pemerhatian
Pemerhatian dibuat untuk melihat sikap, kefahaman dan intonasi dalam bacaan. Dalam kaedah ini, guru atau penilai perlu menyediakan senarai semak yang mengandung kriteria atau perkara yang akan diperhatikan.
Pengujian
Pengujian boleh dibuat untuk menilai tahap kefahaman murid terhadap bahan bacaan. Pengujian boleh dibuat dalam bentuk: (a)
Memadan perkataan dan ayat;
(b)
Ujian bacaan;
(c)
Penyoalan terbuka;
(d) Menyusun semula petikan; (e)
Ujian kloz; dan
(f)
Ujian aneka pilihan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
118 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
6.3.3
Instrumen Ujian
Instrumen ujian kemahiran membaca terdiri daripada petikan atau bahan yang akan dibaca dan difahamkan oleh murid. Pada masa yang sama, dokumen seperti senarai semak dan skala kadar juga digunakan sebagai instrumen ujian, terutamanya yang melibatkan aspek afektif dan perlakuan dalam kemahiran membaca seperti intonasi, nada dan tekanan suara. Apakah tujuan utama instrumen? Tujuan utama instrumen adalah mendapatkan ukuran atau data berkaitan dengan apa yang diuji. Mari kita teliti dua instrumen ujian yang diterangkan dalam Jadual 6.7. Jadual 6.7: Dua Instrumen Ujian Instrumen
Huraian
Senarai semak
Dalam ujian berbentuk pemerhatian misalnya, senarai semak yang mengandungi perkara dan kriteria pemarkahan perlu disediakan. Senarai semak yang mengandung kriteria tertentu juga akan menjadi panduan kepada guru atau penilai untuk menilai dan menentukan tahap kefahaman seseorang pembaca.
Skala kadar
Apakah yang dimaksudkan dengan skala kadar? Skala kadar ialah dokumen yang mengandung kriteria yang menunjukkan tahap pencapaian dalam kemahiran membaca. Skala kadar kebiasaannya menetapkan markah atau pencapaian tertentu berdasarkan kriteria bacaan dan kefahaman yang ditetapkan.
6.3.4
Soalan Pemahaman Pelbagai Aras Taksonomi
Soalan pemahaman pelbagai aras taksonomi merangkumi pelbagai aspek. Apakah aspek tersebut? Mari kita lihat Rajah 6.8 untuk mengetahui jawapannya.
Rajah 6.8: Lima aspek dalam soalan pemahaman pelbagai aras taksonomi
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 119
Penerangan lanjut mengenai lima aspek ini dihuraikan dalam Jadual 6.8. Jadual 6.8: Lima Aspek dalam Soalan Pemahaman Pelbagai Aras Taksonomi dan Huraiannya Aspek Kognitif
Afektif
Huraian Aspek kognitif dalam soalan pemahaman bacaan boleh dibuat berdasarkan taksonomi Lamberg dan Lamb (1980), yang mengubah suainya daripada taksonomi Bloom. Berdasarkan Lamberg dan Lamb (1980), terdapat tiga peringkat penyoalan pemahaman; iaitu: (a)
Kefahaman lateral Kefahaman mengenai maksud tersurat dalam petikan.
(b)
Kefahaman tafsiran Kebolehan membuat interpretasi berdasarkan petikan.
(c)
Kefahaman kritis/kreatif Kebolehan menghakimi dan menilai maklumat dalam petikan.
Afektif merujuk aspek emosi dan tingkah laku sebagai kesan daripada pembacaan sesuatu bahan. Kesan emosi seperti sedih, gembira dan benci boleh dilihat berdasarkan pemerhatian atau soal selidik selepas aktiviti bacaan. Secara umumnya, aspek afektif ini mempunyai lima peringkat seperti yang berikut: (a)
Penerimaan;
(b)
Gerak balas;
(c)
Menilai;
(d) Organisasi; dan (e)
Perwatakan.
Soalan bertumpu
Apakah yang dimaksudkan dengan soalan bertumpu? Soalan bertumpu ialah bentuk soalan subjektif yang ditentukan batas kandungan gerak balasnya. Soalan jenis ini kebiasaannya dalam bentuk jawapan pendek dan isi kandungannya lebih merupakan pernyataan mengingat kembali maklumat daripada bahan bacaan. Item soalan biasanya bermula dengan „siapa‰,‰bila‰,‰berapa‰,‰di mana‰ dan seumpamanya.
Soalan bercapah
Soalan bercapah ialah satu lagi bentuk soalan subjektif yang boleh digunakan dalam penilaian kemahiran membaca. Soalan ini secara umumnya mengehendaki jawapan yang lebih panjang kerana kebiasaannya soalan bercapah melibatkan jawapan berbentuk perbincangan. Soalan jenis ini memerlukan gerak balas yang kompleks daripada murid. Dalam konteks kemahiran membaca, hanya pembaca yang membaca pada peringkat kritis dan kreatif sesuai diberi soalan jenis ini. Soalan jenis ini pula mengandungi persoalan, „terangkan‰, „bincangkan‰, „tafsirkan‰ dan seumpamanya. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
120 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
Soalan kritis dan kreatif
Soalan kritis dan kreatif memerlukan penaakulan peringkat analisis terhadap bahan bacaan. Pada peringkat ini, pembaca berupaya menghakimi dan menilai sesuatu maklumat daripada bahan yang dibaca, dan seterusnya turut berupaya menghasilkan idea dan pandangan baharu berasaskan bahan bacaan tersebut. Bentuk soalan jenis ini mengandungi kata kunci seperti „bahaskan‰, „nilaikan‰,‰apakah rumusan‰, „apakah pandangan‰ dan „apakah kemungkinan‰.
SEMAK KENDIRI 6.3 1.
Apakah yang dimaksudkan dengan penilaian?
2.
Jelaskan empat bentuk penilaian.
3.
Huraikan dua instrumen ujian.
4.
Huraikan lima aspek dalam soalan pemahaman pelbagai aras taksonomi.
AKTIVITI 6.3 Sediakan satu senarai semak dan skala kadar untuk pengujian kefahaman membaca di sekolah rendah. Kongsikan jawapan anda dalam forum myINSPIRE untuk perbandingan.
•
Membaca ialah suatu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambang bertulis atau bercetak.
Pembacaan membantu murid menambahkan perbendaharaan kata dalam aspek sastera.
Konsep membaca melibatkan proses mekanis dan proses mental.
Dua teori yang berkait dengan proses membaca ialah teori pembelajaran tradisional dan teori pembelajaran psikolinguistik kognitif.
Terdapat empat faktor yang mempengaruhi proses membaca: fizikal, mental, emosi dan sosial.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 121
Bacaan boleh dikategorikan kepada enam jenis, iaitu bacaan mentalis, mekanis, intensif, kritis, rekreasi dan ekstensif.
Proses membaca ialah satu kegiatan mengenal perkataan dengan cara membunyikannya, kemudian mengambil maksud daripada perkataan tersebut.
Kemahiran membaca boleh dipecahkan kepada enam peringkat, iaitu peringkat kesediaan membaca, prabacaan, bacaan mekanis, membaca dan memahami, bacaan intensif, dan bacaan ekstensif.
Peringkat pemahaman bermakna memetik dan mendapatkan maklumat sebanyak mungkin daripada bahan bacaan.
Terdapat empat peringkat pemahaman, iaitu lateral, interpretasi, inferens dan penilaian.
Penilaian ialah suatu kaedah cara seseorang guru boleh mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pengajarannya.
Penilaian penting untuk mengenal pasti keberkesanan sesuatu kemahiran yang diajarkan.
Antara bentuk penilaian yang boleh digunakan ialah penilaian kendiri, penilaian rakan sebaya, pemerhatian dan pengujian.
Dua instrumen ujian yang boleh digunakan ialah senarai semak dan skala kadar.
Lima aspek dalam soalan pemahaman pelbagai aras taksonomi ialah kognitif, afektif, soalan bertumpu, soalan bercapah, dan soalan kritis dan kreatif.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
122 TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN
Afektif
Penilaian
Bacaan ekstensif
Penilaian kendiri
Bacaan intensif
Penilaian rakan sebaya
Bacaan kritis
Peringkat kesediaan membaca
Bacaan mekanis
Peringkat pemahaman
Bacaan mentalis
Prabacaan
Bacaan rekreasi
Proses mekanis
Emosi
Proses mental
Fizikal
Senarai semak
Inferens
Skala kadar
Interpretasi
Soalan bercapah
Kognitif
Soalan bertumpu
Lateral
Soalan kritis dan kreatif
Membaca
Sosial
Membaca dan memahami
Teori pembelajaran psikolinguistik kognitif
Mental Pemerhatian
Teori pembelajaran tradisional
Pengujian
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 KEMAHIRAN MEMBACA DAN KEFAHAMAN 123
Abd Aziz Abd Talib. (2000). Pedagogi bahasa Melayu: Prinsip, kaedah dan teknik. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications & Distributors. Adenan Ayob, & Khairuddin Mohamad. (2012). Kaedah pengajaran bahasa Melayu. Shah Alam, Malaysia: Oxford Fajar. Institut Bahasa. (1992). Asas kemahiran berbahasa KBSR. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka. Institut Bahasa. (1994). Strategi pendidikan bahasa Melayu. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamarudin Husin. (1995). Perkaedahan mengajar bahasa. Kuala Lumpur, Malaysia: Kumpulan Budiman. Kamarudin Husin. (1997). Pengajian Melayu 1: Ilmu bahasa dan kecekapan berbahasa. Kuala Lumpur, Malaysia: Kumpulan Budiman. Kamarudin Husin. (1998). Pedagogi bahasa. Kuala Lumpur, Malaysia: Kumpulan Budiman. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Huraian sukatan pelajaran kurikulum bersepadu sekolah rendah: Tahun 4: Bahasa Melayu. Kuala Lumpur, Malaysia: Pusat Perkembangan Kurikulum. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Sukatan pelajaran kurikulum bersepadu sekolah rendah: Bahasa Melayu. Kuala Lumpur, Malaysia: Pusat Perkembangan Kurikulum. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Kurikulum standard sekolah
menengah: Bahasa Melayu – Dokumen standard kurikulum dan pentaksiran – Tingkatan 4 dan 5. Putrajaya, Malaysia: Bahagian Pembangunan Kurikulum. Lamberg W. J., & Lamb, C. E. (1980). Reading instruction in the content areas. Chicago, IL: Rand McNally College.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)