Kisah Ashabul Ukhdud [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

KISAH ASHABUL UKHDUD



Terima kasih tuan pengerusi majlis. Yang dihormati dan disegani barisan para hakim yang arif lagi bijaksana, barisan guru-guru, sahabat-sahabat dan para hadirin yang dihormati sekalian. Berdirinya saya di hadapan ini adalah semata-mata untuk menyampaikan sebuah kisah yang terkandung daripada AlQuran dan Hadis iaitu Kisah Ashabul Ukhdud. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Syair: Tersebutlah kisah di sebuah negara Agama Yahudi diperintah raja Kehebatan rajanya amat dihina Membunuh rakyatnya amat kejamnya Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Buruj ayat 4-8;



4. Celakalah kaum Yang menggali parit, 5. (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran,



6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, 7. Sambil mereka melihat apa Yang mereka lakukan kepada orang-orang Yang beriman. 8. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!1 Para hadirin sekelian, Dikisahkan daripada Suhaib al-Rumi r.a, Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa ada seorang raja pada zaman sebelum mereka. Raja itu mempunyai seorang tukang sihir. Ketika tukang sihir itu telah tua, dia berkata kepada raja, “Sesungguhnya aku telah tua dan ajalku sudah pun hampir. Oleh itu carikanlah untukku seorang pemuda supaya boleh kuajarkan sihir kepadanya”.



Maka seorang pemuda akhirnya dipilih untuk belajar sihir dengan orang tua tersebut. Ketika dalam perjalanan menuju ke rumah tukang sihir dari istana raja, dia melalui rumah seorang rahib (pendeta). Pemuda tersebut datang kepada rahib tersebut dan mendengarkan ucapannya. Pemuda itu begitu kagum dengan kata-kata rahib tersebut. Setiap kali apabila dia pergi ke rumah tukang sihir, terlebih dahulu dia singgah di rumah rahib, untuk berbincang-bincang. Suatu hari, akibat lambat sampai di rumah tukang sihir, beliau telah dipukul. Kemudian dia mengadu kepada rahib. Sang rahib berkata, “Jika engkau ditanya sebab kelewatanmu dan takut dipukul tukang sihir, katakan sahaja padanya, ‘Aku terlambat kerana urusan keluargaku.’ Dan jika kamu khuatir dengan keselamatanmu daripada dihukum keluargamu, maka katakanlah, ‘Aku terlambat kerana belajar dengan tukang sihir.’” 1



Surah Al-Buruj ayat 4-8



Para hadirin yang saya hormati Suatu ketika, dia telah menyaksikan seekor binatang besar yang menakutkan menghalang jalan, sehingga tidak dapat melalui jalan tersebut. Maka pemuda itu berkata, “sekarang aku akan mengetahui siapakah yang lebih benar dan dicintai Allah, rahib itu atau ahli sihir.” Setelah itu dia mengambil batu seraya berkata, “Ya Allah, jika si rahib itu benar dan engkau redai berbanding tukang sihir maka matikanlah binatang ini, sehingga manusia dapat melepasi halangannya.” Dia lantas melemparkan batu itu kepada binatang tersebut lalu mati dengan izin Allah. Maka dia memberitahu hal itu kepada rahib. Lalu rahib berkata, “Wahai anakku, kini darjatmu telah menjadi lebih tinggi di sisi Allah daripada diriku. Suatu hari nanti engkau akan diuji. Pada saat itu janganlah engkau ceritakan tentang diriku dan keadaanku.”



Mulai saat itu, pemuda itu diberikan kemampuan menyembuhkan orang buta, sopak dan segala jenis penyakit. Allah menyembuhkan mereka melalui kedua-dua tangannya. Pada masa yang sama, terdapat seorang pegawai raja yang buta. Apabila mendengar tentang pemuda yang mampu mengubati pelbagai penyakit, dia datang membawa hadiah yang banyak kepadanya seraya berkata, “Sembuhkan aku dan kau boleh memiliki ini semua.” Pemuda itu menjawab, “Aku tidak boleh menyembuhkan orang. Yang boleh menyembuhkan ialah Allah s.w.t. Jika kau beriman kepada Allah, aku akan berdoa kepada-Nya, Insya Allah Dia akan menyembuhkanmu.” Lalu dia beriman kepada Allah dan Allah telah menyembuhkannya. Kemudian dia datang mengadap raja dan duduk di sisinya seperti sedia kala. Raja bertanya, “Siapa yang menyembuhkan penglihatanmu?” Dia menjawab, “Tuhanku!” Raja bertanya lagi, “Apakah engkau mempunyai Tuhan selain aku?” Dia menjawab,



“Tuhanku dan Tuhan Tuanku ialah Allah.” Raja itu lalu menyeksanya, sehingga akhirnya dia memberitahu berkenaan pemuda tersebut. Pemuda itu pun turut diarahkan untuk berjumpa dengan raja. Raja berkata, “Wahai anakku, sihirmu telah mampu menyembuhkan orang buta, sopak dan pelbagai penyakit lainnya.” Sang pemuda menjawab, “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah s.w.t” Para hadirin sekelian, Pemuda tersebut lalu diseksa tanpa henti, sehingga dia terpaksa memberitahu tentang rahib. Kemudian sang rahib datang, dan raja berkata, “Kembalilah kepada ajaran agamamu semula!” Namun dia menolak. Lalu raja meminta pembantunya untuk mengambil gergaji. Kemudian gergaji itu diletakkan di tengah-tengah kepalanya, lalu digergajinya kepala rahib tersebut hingga terbelah menjadi dua. Kemudia pegawai kerajaan yang dahulunya buta dipanggil agar menghadap raja lalu dikatakan, “Kembalilah kepada agamamu semula!” Dia menolak. Lalu dia dihukum dengan hukuman yang sama iaitu digergaji kepalanya hingga terbelah dua. Seterusnya tibalah giliran pemuda itu. Raja berkata kepadanya, “Kembalilah kepada agamamu semula!” Dia juga menolak. Lalu raja itu memerintahkan beberapa orang suruhan dengan berkata, “Bawalah dia ke gunung ini dan itu, sesampainya kamu semua di puncak gunung, kalau dia mahu kembali kepada agamanya semula, maka lepaskanlah. Tetapi jika tidak, maka lemparkan dia ke dalam jurang.” Mereka pun berangkat dengan membawa pemuda tersebut. Ketika sampai di ketinggian gunung, sang pemuda berdoa, “Ya Allah, jagalah diriku daripada tipu daya mereka, sesuai dengan kehendak-Mu.” Tiba-tiba gunung itu bergegar, sehingga mereka tergelincir dan jatuh mati kesemuanya. Selamatlah pemuda itu hingga kemudian dia pergi menemui raja. Raja bertanya, “Apa



yang terjadi dengan mereka?” Pemuda itu menjawab, “Allah menjagaku daripada mereka.” Sang raja kemudian menghantarnya ke laut dengan beberapa orang pengawal dalam sebuah perahu. Raja berkata, “Jika kamu semua berada di tengah lautan, biarkan dia jika mahu kembali kepada agama semula. Jika tidak, lemparkanlah dia ke dalam lautan.” Sesampainya mereka di laut, sang pemuda berdoa, “Ya Allah, jagalah aku daripada mereka, sesuai dengan kehendak-Mu.” Perahu itu lantas terbalik dan mereka semua tenggelam, sementara sang pemuda dapat kembali lagi menghadap raja. Raja pun hairan dan bertanya, “Apa yang terjadi dengan pengawal-pengawalku?” Pemuda menjawab, “Allah menjagaku daripada mereka.” Akhirnya sang pemuda berkata, “Wahai Tuanku, Tuanku tidak akan dapat membunuhku sehingga Tuanku melakukan apa yang kuperintahkan.” Raja dengan tegas berkata, “Apa perintahmu?” Sang pemuda menjawab, “Kumpulkanlah orangorang di kawasan yang luas, lalu saliblah aku pada sebatang pohon. Setelah itu ambillah anak panah dari sarung panahku, dan letakkan di dada lalu ucapkan Bismillahi Robbil Ghulam ( Dengan nama Allah Tuhan sang pemuda), dan panahlah aku. Jika Tuanku berkenan melaksanakan perintahku bererti Tuanku dapat membunuhku.” Maka raja pun mengumpulkan orang-orang di sebuah padang yang luas, dan menyalibnya pada sebatang pohon, dan mengambil panah dari sarung panahnya, kemudian meletakkannya di dadanya lalu mengucapkan, “Bismillahi Rabbil Ghulam,” kemudian memanahnya tepat mengenai tulang rusuknya. Pemuda itu meletakkan tangannya di bahagian yang terkena panah lalu meninggal. Menyaksikan tragedi ini maka orang-orang yang melihat berkata, “Amanna Birabbil Ghulam” (kami beriman kepada Tuhan pemuda tersebut, kami beriman kepada Tuhan pemuda



tersebut, kami beriman kepada Tuhan pemuda tersebut). Lalu seseorang datang menghadap raja dan berkata, “Tahukah Tuanku, sesuatu yang pada masa ini Tuanku takutkan? Kini sesuatu yang sangat Tuanku takutkan itu telah tiba, semua orang telah beriman!” Raja lalu memerintahkan untuk membuat parit-parit (ukhdud) di beberapa persimpangan jalan, kemudian dinyalakan api di dalamnya, sang raja bertitah, “Siapa yang menolak kembali kepada agamanya semula bakarlah atau lemparkanlah ke dalam parit.” Orang-orang suruhan raja pun melaksanakan perintah raja. Hingga tiba giliran seorang wanita bersama bayi yang sedang disusuinya. Ketika ibu tersebut teragak-agak untuk terjun ke dalam bara api, tiba-tiba saja bayi itu berkata, “Ayuh! Wahai ibuku, sesungguhnya engkau berada di jalan yang benar.”2



2



Hadis riwayat Muslim, 3005; Ahmad, 6/16; al-Tirmizi, 3340.