Esaimen Kaunseling Kelompok [PDF]

  • Author / Uploaded
  • Ayu
  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

GAYA KEPIMPINAN SESEORANG PEMIMPIN SEMASA PELAKSANAAN KAUNSELING KELOMPOK BERDASARKAN CIRI PEMIMPIN DAN TINGKAH LAKU AHLINYA. Kaunseling kelompok adalah satu pendekatan altenatif yang dapat dilaksanakan bagi membantu individu menangani masalah kehidupan ataupun isu-isu perkembangan dengan lebih baik. Dalam mencapai matlamat kaunseling kelompok, ciri-ciri peribadi pemimpin kelompok amatlah berkait rapat dalam memastikan keberkesanan kaunseling tersebut. Hal ini kerana, keberkesanan kaunseling kelompok tidak bergantung semata-mata terhadap keahlian kelompok dan interaksi ahli semasa sesi berjalan. Malahan, gaya kepimpinan yang ditunjukkan oleh pemimpin memberi kesan secara langsung terhadap keberkesanan kaunseling tersebut (Ida Hartina, 2006). Dalam konteks tersebut, gaya kepimpinan adalah sebagai suatu yang wujud melalui tingkah laku dari seorang pemimpin terhadap sesuatu proses. Menurut Hersey dan Blancherd (dalam Aida, 2014) menyatakan bahawa gaya kepimpinan pada dasarnya merupakan tingkah laku yang wujud dari tiga komponen iaitu pemimpin itu sendiri, orang bawahannya dan situasi dimana proses kepimpinan tersebut berlaku. Manakala menurut Ainon (2005), gaya kepimpinan merujuk cara seseorang berfikir dan bagaimana seseorang bertingkah laku dengan tujuan mempengaruhi individu-individu lain supaya mereka secara sukarela melakukan apa yang dikehendaki oleh pemimpin terutama ketika berhadapan dengan situasi yang sering berubah. Jadi, secara rumusannya, gaya kepimpinan merupakan struktur tingkah laku yang digunakan oleh pemimpin terhadap sesuatu situasi mahupun ahli-ahlinya dimana pimpinan tersebut adalah seseorang yang dapat mempengaruhi orang lain atau kelompok untuk mencapai sesuatu matlamat. Terdapat beberapa gaya kepimpinan yang sering digunakan oleh ketua kelompok iaitu autokratik, demokratik dan laissez-faire (Yusof, 1990). Akan tetapi, gaya kepimpinan yang paling sesuai dan popular yang digunakan oleh kaunselor dalam sesuatu kelompok adalah kepimpinan demokratik. Hal ini sedemikian kerana pemimpin demokratik berfungsi sebagai pemangkin yang mempercepatkan perjalanan proses untuk menuju matlamat dengan cara yang paling sesuai (Ibrahim Mamat, 2001). Sehubungan dengan itu, pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik ini biasanya bersifat tidak direktif dan dan lebih fokus kepada kelompok itu sendiri. Hal ini kerana, pemimpin tersebut percaya kepada setiap ahli kelompok mampu bergerak dan menyumbang dengan aktif kepada proses kelompok itu. Namun begitu, pemimpin atau kaunselor masih bertindak sebagai fasilitator yang membantu perjalanan sesi supaya ia lebih terarah. Menurut Ida Hartina (2006) kaunselor yang mengamalkan kepimpinan ini tidak bertindak sebagai pengarah sebaliknya bekerjasama dan berkongsi pendapat dengan ahli lain sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan dengan kelompok tersebut. Bahkan ahli-ahli diberi peluang untuk menyumbangkan idea bagi membantu keberkesanan sesi. Selain itu, kepimpinan demokratik ini mengamalkan interaksi 1



dua hala antara kaunselor dan ahli kelompok (Ainon, 2003). Ahli kelompok bebas bertukar pendapat, berkongsi perasaan dan pengalaman sesama ahli mahupun ketua kelompok. Semua ahli diberikan peluang sama rata dalam meningkatkan keberkesanan sesi kelompok tersebut. Oleh itu, kepimpinan demokratik sesuai digunakan untuk sesi kaunseling kelompok kerana pemimpin dan ahli-ahlinya bersama-sama memainkan peranan untuk menjayakan sesi tersebut. Bertepatan dengan gaya kepimpinan demokratik tersebut, terdapat beberapa ciri kaunselor yang menggunakan kepimpinan tersebut. Antaranya ialah mesra. Menurut Azlina (2002), pemimpin yang matang berkebolehan dalam menjalinkan hubungan yang mesra dan rapat dengan orang lain. Amerjit Singh (2017) juga menyatakan pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik lebih menfokuskan kepada hubungan antara pemimpin dengan ahli dalam mencapai sesuatu matlamat atau objektif. Berdasarkan pernyataan tersebut, ianya berkait rapat dengan ciri mesra yang ada dalam diri pemimpin dimana pemimpin yang mesra akan menitikberatkan terhadap hubungan antara pemimpin dengan ahli. Hal ini sedemikian kerana hubungan yang baik antara mereka merupakan satu platform dalam mencapai keberkesanan sesi kelompok tersebut. Dengan adanya hubungan yang mesra antara mereka, ahli akan berasa lebih selesa dan percaya untuk berkongsi dan melontarkan pendapat, menceritakan permasalahan dan pengalaman dalam sesi tersebut. Oleh itu, ciri mesra yang ada pada pemimpin tersebut menunjukkan bahawa gaya kepimpinan yang digunakan adalah demokratik dimana kemesraan tersebut akan meningkatkan penglibatan ahli kumpulan untuk bersuara dan bersama-sama memberi idea untuk mencapai sesuatu matlamat. Selain itu, fasilitatif merupakan ciri kaunselor yang berkepimpinan demokratik. Menurut Trevor Bentley (Noridah, n.d) menyatakan bahawa fasilitatif merupakan proses memudah cara. Kaunselor atau pemimpin yang menggunakan gaya kepimpinan demokratik merupakan pemudahcara kepada ahli-ahli untuk mencapai keberkesanan kelompok. Hal ini bertepatan dengan pernyataan Badaruddin (2013) yang menyatakan bahawa ketua yang demokratik merupakan sebagai pemudahcara terhadap ahlinya. Jadi, pemimpin sebagai pemudahcara akan membantu ahli-ahli menyuarakan idea dan pendapat serta meransang mereka untuk berfikir dengan menanyakan soalan-soalan yang tertentu. Perbincangan ahli kelompok bersama pemimpin akan mewujudkan suasana yang demokratik dimana kedua-dua pihak masing-masing memainkan peranan dalam mencapai sesuatu matlamat. Oleh itu, ciri fasilitatif merupakan ciri pemimpin yang demokratik. . Seterusnya, ciri-ciri keterbukaan merupakan salah satu kepimpinan demokratik. Menurut Nurain Abbas (n.d), Wursanto menyatakan salah satu ciri kepimpinan demokratik adalah terbuka iaitu pemimpin bersedia mendengar segala luahan atau pendapat dalam



2



sesuatu kelompok. Setiap keterbukaan pemimpin terhadap ahli kelompok merupakan perkara penting. Hal ini kerana, kaunselor haruslah menerima segala kekurangan dan permasalahan yang dihadapi oleh ahli kelompok. Oleh hal yang demikian, apabila adanya ciri sebegini, ahli kelompok akan rasa diterima dengan seadanya oleh pemimpin itu. Malahan, mereka tidak berasa segan untuk bercakap dan meluahkan segala kekurangan dan masalah yang dihadapi oleh mereka. Dengan adanya luahan sebegini, secara tidak langsung akan memudahkan peranan pemimpin terhadap proses kaunseling kelompok untuk meneroka masalah mereka melalui perbincangan yang dilakukan. Dalam pada itu, ahli kelompok yang lain bebas menyuarakan pendapat dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Di samping itu, pemimpin juga haruslah sentiasa berfikiran terbuka apabila menerima kritikan oleh ahli kelompok. Oleh itu, berfikiran terbuka merupakan elemen penting dalam gaya kepimpinan demokratik. Berdasarkan ciri-ciri pemimpin yang berdasarkan gaya kepimpinan demokratik, terdapat beberapa tingkah laku ahli yang menggalakkan gaya keberkesanan gaya tersebut. Antaranya ialah ahli yang bersifat terbuka. Hal ini kerana, apabila sesi kelompok dilakukan, sudah pasti wujudnya kritikan, komen dan pendapat sama ada positif atau negatif kerana suara dari ahli lain merupakan perkara penting dalam mewujudkan suasana yang aktif. Hal ini ditegaskan lagi oleh Wursanto (dalam Nurain Abbas, n.d) bahawa demokratik menekankan keterbukaan antara ahli dalam melakukan sesuatu aktiviti. Jadi, setiap ahli mestilah berfikiran terbuka dimana apabila mendapat kritikan oleh ahli yang lain, ahli tersebut dapat menerimanya dan mengambil kritikan tersebut sebagai satu perkara yang perlu dipertingkatkan. Selain itu, tingkahlaku yang diam sewaktu melakukan sesi kelompok. Perkara ini disokong oleh Brammer (dalam Fathmalyn, 2016) yang menyatakan bahawa mendiamkan diri semasa sesi kaunseling dijalankan merupakan halangan dalam proses tersebut. Tingkah laku berdiam menjadi halangan kepada kelompok demokratik dimana kepimpinan demokratik amat menekankan intrapersonal antara ahli. Justeru, ahli yang diam ini kebiasaannya tidak suka untuk memberi pendapat atau melontarkan idea semasa perbincangan malahan ahli ini lebih selesa untuk berdiam. Hal ini secara tidak langsung juga akan menyukarkan dan mengurangkan keberkesanan sesi tersebut untuk mecapai sesuatu matlamat. Akhir sekali, terdapat juga tingkah laku ahli atau pelajar yang menghalang kepada kepimpinan demokratik. Antaranya ialah ahli yang terlalu aktif dan suka memonopoli. Menurut Azizan Bahari (2009) ahli kumpulan yang suka memonopoli akan membantutkan perbincangan kumpulan. Hal ini demikian kerana, ahli tersebut akan menghalang ahli lain untuk memberi pendapat mereka untuk sesuatu perbincangan kerana ahli tersebut cenderung untuk sentiasa bercakap. Malah, ahli ini lebih cenderung untuk mengetuai sesi tersebut



3



dimana ahli lain tidak diberi peluang untuk bercakap. Dengan adanya tingkahlaku ini dalam sesuatu kelompok, ahli lain turut berasa segan dan rendah diri apabila hendak melontarkan idea-idea seterusnya menghalang kemajuan gaya kepimpinan demokratik dalam sesi kelompok tersebut. Jadi, kesimpulannya, ciri-ciri pemimpin dan tingkah laku ahli sangat penting dalam menentukan gaya kepimpinan yang akan digunakan oleh pemimpin tersebut. Hal ini kerana melalui tingkah laku yang ditunjukkan oleh ahli seperti terbuka akan cenderung untuk menggunakan gaya kepimpinan demokratik. Perkara ini tidak dinafikan bahawa kepimpinan demokratik amat sesuai untuk melaksanakan sesi kelompok. Hal ini kerana, gaya kepimpinan demokratik adalah berpusatkan kerjasama serta pemilihan yang lebih adil seperti mengadakan perbincangan dengan guru-guru lain dan staf sokongan malah pelajar sendiri sebelum membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Jadi jelaslah bahawa gaya kepimpinan demokratik amat baik digunakan kepada sesi kelompok.



4



RUJUKAN



Ainon Mohd. (2003). Teori dan Teknik Kepimpinan Panduan Aplikasi di tempat kerja. Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. Ainon Mohd. (2005). Teori dan Teknik Kepimpinan: Panduan Aplikasi di Tempat Kerja. Pahang: PTS Professional. Amerjit singh. (2017). Perilaku pemimpin dan gaya kepimpinan. Utusan online. Diakses pada 12 Februari 2019 dari http://www.utusan.com.my/rencana/utama/perilaku-pemimpindan-gaya-kepimpinan-1.456739#ixzz5fiMIOs4t. Azizan Bahari. (2009). Menjadi Pemimpin. Petaling Jaya: Qarya Sdn Bhd. Azlina Bakar. (2002). Psikologi Personaliti Individu. Shah alam: Karisma Publication Sdn. Bhd. Badaruddin Yeop. (2013). Kepimpinan Dan Gaya Kepimpinan. Diakses pada 11 Februari 2019 dari http://www.academia.edu/6907921/KEPIMPINAN_DAN_GAYA_KEPIMPINAN. Fathmalyn Abdullah. (2016). Halangan Dalam Kaunseling. Diakses pada 10 Februari 2019 dari https://www.slideshare.net/FathmalynAbdullah/bab-10-halangan-dalamkaunseling. Ibrahim Mamat. (2001). Pengetua sekolah menangani isu dan cabaran kepimpinan. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Ida Hartina. (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Selangor: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Noridah jaafar. (n,d). Peranan Fasilitator Untuk Kelompok Bimbingan. Diakses pada 13 Februari 2019 dari http://uad.uthm.edu.my/a2/kemahiran_fasilitator_kaunseling_kelompok.pdf. Nurain Abbas. (n.d). Penerapan Kepimpinan Demokratis Dalam Organisasi Pendidikan (sekolah). diakses pada 12 Februari 2019 dari http://www.academia.edu/6377500/Penerapan_Kepemimpinan_Demokratis_DAL AM_ORGANISASI_PENDIDIKAN_SEKOLAH_.



5



Siti Aida Ab Muttalib. (2014). Gaya Kepimpinan Terhadap Pemilihan Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran. Diakses pada 10 Februari 2019 dari http://eprints.uthm.edu.my/5362/1/SITI_AIDA_BINTI_AB_MUTTALIB.pdf. Yusof A.M. (1990). Kepimpinan . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



6