Laporan Reflektif BIG [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

Laporan Reflektif Program Bina Insan Guru (BIG) selama 5 hari 4 malam Saya telah mengambil bahagian dalam program BIG selama 5 hari 4 malam yang bertempat di Kem Sri Banai di IPG Kampus Darulaman dan Kem Teluk Nipah di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Sepanjang program ini, saya telah banyak memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang membina dan berguna. Dapatan program ini membolehkan saya membina penampilan diri sebagai guru yang profesional dan berinsan mulia untuk menghadapi cabaran profesion pada masa hadapan. 1.0



Refleksi Aktiviti



1.1



Hari Pertama



Pada hari pertama, aktiviti yang telah dijalankan ialah Program Bimbingan dan Motivasi bagi Murid Tahun 6 untuk sesi interaksi profesional di sekolah dan ceramah yang bertemakan Pengucapan Awam. 1.1.1



Interaksi Profesional Pihak Sekolah



Semasa menjalankan sesi interaksi profesional di Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang (SKBP), saya telah banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa mengendalikan aktiviti ini. Antaranya, saya dapat belajar cara berkomunikasi dengan pihak sekolah tentang pelaksanaan aktiviti di sekolah dari segi persiapan tempat dan peralatan, perancangan aktiviti, pembahagian tugas dalam kumpulan. Antara kekuatannya, ahli kumpulan fasilitator menunjukkan sikap bekerjasama dan memberikan komitmen semasa menjalankan bahagian masing-masing. Contohnya, dalam slot ceramah, Maizatul dan Sulhi telah memainkan peranan dalam memperkenalkan jenis sekolah menengah dengan contoh-contoh yang jelas. Melalui perkongsian daripada ahli kumpulan tentang persekitaran dan suasana pembelajaran di sekolah berasrama penuh ataupun sekolah menengah agama, murid-murid dapat memperoleh gambaran yang jelas secara berkesan. Selain itu, murid-murid dapat memahami arahan yang diberikan oleh fasilitator semasa aktiviti dijalankan. Hal ini menjamin keberkesanan pengendalian aktiviti yang dirancang serta nilai yang diperoleh melalui aktiviti yang dilakukan untuk pembentukan budi pekerti mulia dan minda kelas pertama. Sebagai contohnya, melalui aktiviti membina menara, murid-murid dapat menghayati kepentingan hasrat dan impian dalam kehidupan mereka. Di samping itu, mereka juga perlu memahami peranan masing-masing dalam merealisasikan hasrat dan impian yang mereka tetapkan. Dengan ini, mereka dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka yang penuh cabaran dan dugaan. Semasa menjalankan aktiviti, kita menghadapi kekurangan dari segi pengendalian aktiviti dalam kumpulan oleh fasilitator. Terdapat sesetengah fasilitator yang tidak dapat memainkan peranan sepenuhnya dalam slot Latihan dalam Kumpulan (LDK). Hal ini menyumbang kepada ketidakberkesanan pengendalian aktiviti. Contohnya, dalam slot aktiviti bina menara, terdapat fasilitator yang menjalankan tugas tanpa menolong murid semasa menampal pita pelekat pada bahagian menghubungkan kertas. Hal ini mendatangkan kesulitan kepada murid serta menunjukkan ketidakmesraan antara fasilitator dengan murid.



1



Di samping itu, aktiviti “Bina Menara” kurang menarik bagi murid-murid. Hal ini demikian kerana murid-murid tidak dapat menjana idea dalam menghasilkan menara yang mereka impikan. Selain itu, murid-murid tidak faham tentang rasional aktiviti ini dan nilai-nilai selepas melakukan aktiviti ini. Oleh itu, murid-murid sama ada berasa bosan dan kurang berminat dalam menghasilkan aktiviti ini ataupun hanya menfokuskan penghasilan menara yang tertinggi semata-mata tanpa mengenal erti di 1.1.2



Ceramah Kewarganegaraan dan Perpaduan



Melalui ceramah ini, kita dapat memperoleh cara-cara pengucapan awam dengan mengambil kira aspek-aspek, iaitu perucap, bahan ucapan, audiens dan cara persembahan. Hal ini membolehkan kami membina keyakinan diri untuk melakukan segala perkara, terutamanya semasa menyampaikan idea kepada khalayak ramai. Sebagai contoh, dengan mengambil kira pendengar dari segi jantina, lingkungan umur, latar belakang sosioekonomi dan sebagainya, kami dapat membuat skrip ucapan yang sesuai dengan pendengar kami supaya ucapan kami dipersembahkan dengan menarik dan mesej dapat disampaikan dengan berkesan. Dengan ini, komunikasi yang berkesan dapat berlaku secara dua hala antara perucap dengan pendengar. Selain itu, kami dapat mengaplikasikan perkara yang dipelajari dalam ceramah. Penceramah memberikan peluang kepada kami untuk mencuba kaedah yang diperkenalkan serta memperbetul kesalahan kami dengan memberikan penekanan terhadap kaedah yang sepatutnya. Contohnya, dari segi salutasi, beliau memperkenalkan pengetahuan asas tentang penggunaan sebutan Yang Berbahagia, Yang Berusaha, Yang Diraikan dan sebagainya. Dengan ini, kami dapat membina insan guru yang profesional dari segi interaksi dengan komuniti. Tegasnya, kami dapat membina insan guru yang berketerampilan dan berkeyakinan. Namun, aktiviti ini agak membosankan kerana aktiviti ini dijalankan dalam bentuk ceramah. Hal ini telah menyebabkan keadaan pasif dalam penerimaan kandungan penyampaian oleh peserta BIG. Kebanyakan peserta tidak dapat memberi fokus dan berasa mengantuk semasa ceramah diberikan. Hal ini menyebabkan ketidakberkesanan slot ceramah ini malahan telah menyebabkan pembaziran masa. Sebagai cadangan penyelesaian, ceramah ini boleh dilaksanakan dalam bentuk bengkel walaupun slot ceramah ini hanya dijalankan dalam masa 2 jam. Dengan penglibatan semua peserta secara berkumpulan, perbincangan dapat dilaksanakan antara ahli kumpulan tentang kandungan penyampaian ceramah ini. Hal ini bukan sahaja membolehkan semua peserta sedikit sebanyak memperoleh ilmu pengucapan awam malahan dapat membolehkan peserta memperoleh pengalaman langsung dengan mengaplikasikan kefahaman mereka melalui pembentangan dapatan perbincangan kumpulan. Melalui aktiviti bimbingan dan motivasi yang diambil alih oleh Puan Zetty, saya dapat menghayati kepentingan orang di sekeliling kita, terutamanya keluarga dan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana kita kadang-kala akan mengabaikan ahli keluarga kita sama ada secara tidak sengaja ataupun tidak, disebabkan kesibukan dalam kehidupan kita. Sekiranya kita dapat membuat panggilan kepada ahli keluarga kita, maka mereka akan berasa lega dan hal ini membawa maksud bahawa kita dapat mengurus kepentingan antara keluarga dengan kesibukan kehidupan diri dengan efesien. Selain itu, rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Tanpa rakan sebaya, kita mungkin tidak dapat mengesan kekurangan dan kelebihan diri demi membuat 2



penambahbaikan terhadap penampilan diri. Tegasnya, kita harus mengamalkan sikap bersyukur terhadap orang di sekeliling kita, terutamanya keluarga dan rakan sebaya demi membentuk sahsiah diri yang terpuji.



1.2



Hari Kedua



1.2.1



Abseiling/ Flying Fox



Aktiviti ini menyedarkan saya tentang kepentingan keselamatan diri serta sikap yang positif terhadap perkara yang berlaku dalam kehidupan selain menikmati keseronokan aktiviti lasak ini. Semasa memanjat ke puncak pohon pokok, saya berasa diri umpama seekor semut berjalan di dahan pokok. Namun, saya tetap mengamalkan sikap yang tabah untuk menjalankan aktiviti ini. Dengan sikap yang tabah, saya dapat melakukan aktiviti ini dan menempuh apa-apa jua cabaran yang dihadapi. Hal ini amat penting sekali dalam kehidupan saya bahawa saya perlu bersikap tabah, tenang dan berani semasa menghadapi cabaran supaya dapat menemui jalan penyelesaian yang betul.



1.3



Hari Ketiga



1.3.1



Aktiviti Keyakinan Air dan Berakit



Aktiviti ini mendatangkan manfaat kepada peserta, iaitu kemahiran membina rakit dan membina kesedaran tentang cara menyelamatkan diri ketika berada dalam air. Dalam aktiviti keyakinan air, jurulatih menekankan cara memakai buoyancy aid (BA) supaya keselamatan kami terjamin walaupun kami tidak tahu cara berenang. Seterusnya, beliau mendedahkan kami tentang cara mengapung dan berenang di atas permukaan air secara berbaring dan bersandar. Hal ini membolehkan kami menyelamatkan diri walaupun berada dalam air. Sehubungan dengan latihan secara ansur maju daripada pemakaian BA hingga cara mengapung dan berenang, kami dapat memperoleh keyakinan diri ketika berada dalam air serta membuat persediaan untuk aktiviti berakit. Sekiranya kami menghadapi apa-apa jua masalah, kami dapat kekal tenang untuk berfikir cara penyelesaian masalah. Aktiviti berakit membolehkan kami menunjukkan semangat kerjasama dalam pasukan. Hal ini memainkan peranan penting dalam memastikan rakit yang kami bina mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menampung berat 6 orang ahli kumpulan dalam air. Semasa mengikat tali pada batang paip PVC, kami saling menolong untuk memastikan ikatannya kuat serta tong berada di tempat yang sepatutnya supaya mencapai tahap apungan yang tinggi. Selain itu, saya memanfaatkan pengetahuan diri tentang ikatan untuk menyumbang tenaga dalam penghasilan rakit yang berkualiti. Semasa berada dalam air, kami juga bekerjasama dalam mengayuh rakit secara serentak untuk memastikan rakit berlayar dalam arah yang betul. Tegasnya, melalui aktiviti ini, kami dapat memaparkan semangat kerjasama dalam pasukan serta kesudian untuk menyumbang tenaga dan idea.



3



1.4



Hari Keempat



1.4.1



Aktiviti Kembara dan Ikhtiar Hidup



Dalam aktiviti ini, kami dapat belajar cara saling membantu antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana perjalanan aktiviti kembara berada di kawasan cerun bukit. Pergerakan kami menghadapi cabaran, terutamanya bagi peserta yang tubuhnya bersaiz besar yang hampir jatuh semasa berjalan di laluan hutan. Untuk menjaga keselamatan diri dan orang lain, kami pun berhenti pada kawasan cerun bukit yang agak susah untuk berjalan dan mencari laluan alternatif untuk memudahkan pergerakan mereka dan mengelakkan mereka daripada memegang duri berbisa pada batang pokok. Setelah berkembara di hutan, kami berjalan di kawasan tepi pantai yang penuh dengan batu. Di kawasan ini, kami juga menunjukkan laluan yang selamat bagi orang di belakang kita untuk mengelakkan mereka daripada tercedera oleh batu-batu yang tajam. Selepas aktiviti kembara, kami dapat mengimbas kemahiran balutan dan bebatan menggunakan kain anduh. Apabila jurulatih bertanya tentang tujuan membaut balutan, kami memberi alasan tentang bahagian yang cedera dan rasional jenis balutan yang digunakan. Hal ini dapat menanamkan rasa tanggungjawab dalam diri kami terhadap keselamatan diri dan orang lain dalam apa-apa jua keadaan. Hal ini dapat membina insan guru penyayang dalam diri kami supaya kami dapat menggunakan pengalaman ini untuk memberikan pertolongan cemas di alam sekolah nanti berdasarkan situasi yang dihadapi. 1.4.2



Aktiviti Khidmat Komuniti



Dalam aktiviti ini, saya dapat menyumbang tenaga dalam menjaga kebersihan persekitaran perkhemahan di tepi pantai. Semasa saya mengutip sampah di tepi pantai, saya sedar akan keindahan alam sekitar di pantai tersebut sekiranya tiada sampah dibuang sewenang-wenangnya oleh masyarakat setempat. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita harus memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan alam sekitar supaya dapat mengekalkan keseimbangan ekosistem.



4



1.5



Hari Kelima



1.5.1



Pentaksiran Amali dan Majlis Penutupan



Dalam sesi ini, saya dapat mengenal kepentingan membuat aktiviti dengan menghayati makna dan rasional di sebalik aktiviti ini. Hal ini amat penting sekali bagi saya kerana aktiviti yang telah saya lakukan membina kesedaran dalam diri saya tentang potensi dan bakat diri saya yang belum habis diteroka. Segala ilmu dan pengalaman perlu saya aplikasikan dalam kehidupan saya sebagai guru supaya mendidik anak-anak murid saya dengan lebih berdedikasi. Sebagai contoh, antara nilai murni yang dapat saya teroka, nilai bekerjasama, atau dikenal sebagai pembelajaran secara koperatif (cooperative learning) harus diterapkan dalam diri murid dalam membantu mereka berusaha dengan gigih dan berkesan dalam pembelajaran mereka. Selain itu, saya menghayati kepentingan komuniti pembelajaran profesional (PLC) melalui sesi refleksi kendiri semasa pentaksiran amali dijalankan. Perkongsian pada sesi ini bukan sahaja untuk menyedarkan diri tentang sikap yang sepatutnya diamalkan sepanjang hayat kita, tetapi juga mendatangkan manfaat kepada orang di sekeliling kita untuk pembelajaran sepanjang hidup bersama-sama. Melalui perkongsian pengalaman dan dapatan program, saya dapat mengimbas kekuatan dan kelemahan diri serta menerapkan cadangan daripada ahli kumpulan yang lain untuk menambahbaikkan diri ke tahap yang lebih cemerlang. Sebagai contoh, selepas saya bercerita tentang refleksi kendiri tentang kepentingan mengenal punca kekurangan diri semasa sesi interaksi profesional di sekolah, rakan sekumpulan Maizatul pun berkongsi tentang kepentingan memahami dan memainkan peranan diri mengikut jawantankuasa masing-masing. Hal ini menunjukkan kepentingan PLC terhadap diri dan orang lain.



5



2.0



Refleksi Umum



Selepas membuat penulisan tentang aktiviti yang dijalankan, saya ingin membuat penerangan secara umum tentang program BIG dengan menggunakan kaedah analisis SWOT. 2.1



Kekuatan



Sepanjang program ini, antara kekuatannya ialah saya dapat melibatkan diri secara aktif dalam persediaan perkhemahan. Hal ini memberikan pengalaman secara langsung kepada saya, terutamanya dalam melaksanakan perkara yang tidak pernah dilakukan. Sebagai contoh, saya bukan sahaja menolong rakan-rakan saya mendirikan khemah dan memotong sayur untuk membantu rakan sekumpulan saya menyediakan makan malam tetapi juga menjalankan tugas sebagai sentri untuk berjaga malam dan membantu rakan-rakan membasuh BA selepas aktiviti berakit. Selain itu, saya berpeluang untuk membuat pergerakan pada sesi nyanyian lagu patriotik untuk memimpin rakan-rakan meluahkan semangat patriotik terhadap negara tercinta kita. Tegasnya, penglibatan saya secara aktif dalam program ini sememangnya mendatangkan manfaat kepada orang lain dan juga diri sendiri. Melalui program ini, program ini mendisiplinkan kita dan menyediakan personaliti kita sebagai guru. Hal ini dapat dipaparkan melalui penglibatan kita dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Dalam program ini, kita telah melakukan pelbagai jenis aktiviti, dan situasi yang sama akan berlaku apabila kita melangkah ke alam sekolah nanti. Sebagai guru yang berdedikasi, kita harus melibatkan diri dalam aktiviti anjuran baik pihak sekolah mahupun aktiviti kokurikulum untuk meningkatkan profesionaliti kita supaya menjadi teladan yang baik untuk membimbing anak-anak murid kita. 2.2



Kelemahan



Namun, program ini mempunyai kelemahannya dari segi pengurusan masa. Dari segi pengurusan masa, saya berpendapat bahawa kita kurang menepati masa yang ditetapkan untuk setiap sesi. Dalam hal ini, kita seharusnya bersiap sedia 5 hingga 10 minit sebelum aktiviti yang seterusnya dilakukan. Hal ini menjejaskan keberkesanan pelaksanaan aktiviti yang dirancang terhadap pembentukan insan guru dalam diri kita. Contohnya, semasa kita berkumpul sebelum pergi ke sekolah untuk membuat interaksi profesional di sekolah, kebanyakan peserta lewat berkumpul di Dewan Sri Banai. Hal ini bukan sahaja menjejaskan pengendalian aktiviti malahan menjejaskan kualiti program BIG. Dari segi amalan pemakanan, kekurangan kita dipaparkan melalui pembaziran makanan yang disediakan. Hal ini bukan sahaja menunjukkan amalan negatif dalam diri kita tetapi juga menyumbang kepada rasa serba salah terhadap AJK Makanan yang bersusah payah menyediakan makanan. Sekiranya amalan ini tidak diperbetul sehingga waktu kita melangkah ke alam sekolah, hal ini akan turut meninggalkan kesan dalam mempengaruhi pemikiran anak-anak murid di sekolah. Tegasnya, amalan pembaziran makanan merupakan sikap yang mengetepikan rasa kesyukuran terhadap apa-apa yang dapat kita nikmati.



6



2.3



Peluang



Dengan pendedahan dalam program ini, saya dapat membina keyakinan diri semasa saya berkhidmat di sekolah nanti. Semasa pihak sekolah mengadakan mesyuarat dengan guru-guru, saya dapat menyumbang idea saya atau menyumbang tenaga saya dalam menjayakan program yang ingin dilaksanakan. Sebagai contoh, sekiranya pihak sekolah mengadakan program perkhemahan, saya dapat berkongsi pengalaman saya dengan guru-guru di sekolah sebagai idea untuk membantu meningkatkan kualiti pengurusan perkhemahan. Tegasnya, pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh dalam program BIG dapat saya aplikasikan dalam aktiviti semasa saya melangkah ke alam sekolah nanti. Di samping keyakinan diri, saya juga dapat mendisiplinkan diri semasa melaksanakan tugas di sekolah nanti. Hal ini dapat membantu saya mengamalkan sikap profesional dalam diri, terutamanya berhadapan dengan tugas di sekolah. Sama ada menjalankan pengajaran di dalam bilik darjah, ataupun melaksanakan aktiviti kokurikulum, saya dapat memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas di sekolah. Dengan ini, saya bukan sahaja dapat membantu melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama, tetapi juga menyahut seruan kerajaan dalam mencapai aspirasi sistem pendidikan negara demi merealisasikan transformasi negara arus terkini. 2.4



Ancaman



Kekurangan komitmen dalam pengurusan masa akan menjejaskan profesionaliti diri kita sebagai guru. Perbuatan tidak menepati masa menjejaskan proses pelaksanaan dan pengendalian aktiviti. Contohnya, sekiranya kita selalu masuk ke kelas lewat, proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) turut tidak dapat berjalan lancar. Hal ini menyebabkan anak murid kita tidak dapat menjalankan pembelajaran yang berkesan di sekolah. Pelaksanaan program anjuran pihak sekolah turut menghadapi kesulitan dengan amalan pengurusan masa yang kurang efektif. Sekiranya majlis yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan lancar, imej sekolah dan pihak pentadbir akan terjejas atas ketidakefisienan pengurusan sekolah. Tegasnya, kita harus mengikis amalan buruk ini demi menjamin keberkesanan aktiviti serta kredibiliti dan akauntabiliti dalam melaksanakan kewajipan profesion kita. Selain kekurangan komitmen dalam pengurusan masa, amalan pembaziran juga menyumbang kepada ancaman kepada diri dan orang lain pada masa hadapan. Hal ini menyumbang kepada pembentukan modal insan yang kurang menyeluruh, terutamanya dari segi penerapan nilai. Sekiranya kita sendiri tidak mampu memperbetul amalan buruk dalam diri kita, maka anak-anak murid akan turut mencontohi amalan ini dan mengamalkan sikap negatif dalam diri mereka. Maka, proses pembentukan modal insan yang berbudi pekerti dan berakhlak mulia akan terbantut. Pendek kata, kita harus mengambil tindakan untuk mengikis amalan negatif ini sebelum perkara yang tidak diingini berlaku pada diri dan orang lain, terutamanya pada generasi muda kita.



7



2.5



Cadangan penambahbaikan



Sebagai cadangan penambahbaikan, pada pendapat saya, saya seharusnya memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai ketua untuk memaklumkan tugas setiap ahli kumpulan dengan lebih jelas dan terperinci. Selain itu, saya perlu menekankan sikap mereka semasa menjalankan tugas mereka agar perancangan yang dilakukan dapat mencapai objektif yang ditetapkan. Hal ini perlu dilakukan demi membina insan sebagai guru dalam diri fasilitator. Dengan adanya insan guru yang berpekerti mulia, maka anak-anak murid dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan membentuk sahsiah terpuji melalui pembelajaran dan pemudahcaraan dikendalikan oleh guru secara berkesan. Selain itu, kita harus merancang aktiviti yang lebih sesuai dengan muridmurid. Hal ini bukan sahaja dapat menarik minat murid dalam melakukan atkiviti ini malahan memudahkan penerapan nilai dalam diri murid. Dengan ini, keberkesanan pengendalian aktiviti ini pasti terjamin. Objektif yang ditetapkan bagi program bimbingan dan motivasi ini turut dapat dicapai dan direalisasikan dalam kehidupan murid-murid. Di samping itu, kita perlu mengamalkan sikap menepati masa dalam kehidupan kita, terutamanya dalam melakukan tugas semasa kita berada di sekolah. Menurut aspirasi kedua dalam konsep 1Malaysia, budaya ketetapan di mana seseorang individu atau komuniti haruslah mendidik sikap menepati masa dalam melaksanakan tugas dan mengutamakan kecekapan serta ketepatan. (Aizat, 2016). Sebagai guru, kita bukan sahaja perlu mengutamakan profesion kita, malahan mendahulukan kebajikan anak-anak murid kita. Dalam konteks program perkhemahan BIG, saya berpendapat bahawa bukan sahaja penghulu dan penghulu wati harus memainkan peranan dalam mengumpulkan semua peserta BIG sebelum aktiviti bermula, malahan peserta harus menyedarkan diri tentang kepentingan menepati masa dan berada di tempat aktiviti dijalankan 5 hingga 10 minit awal. Kita harus meningkatkan profesionalisme kita secara berterusan dengan pengahayatan amalan mendisiplinkan diri demi menjamin keberkesanan perkhidmatan kita serta anak murid kita dapat memperoleh pendidikan yang berkualiti. Tidak ketinggalan juga, kita patut menjalankan sistem hukuman dan ganjaran berdasarkan prestasi setiap kumpulan. Dengan cara peneguhan ini, kita akan dapat mengetahui kesalahan yang kita lakukan melalui sudut dan pandangan orang lain. Sekiranya amalan pembaziran makanan dilakukan, maka jurulatih boleh mengambil tindakan terhadap ahli kumpulan tersebut, contohnya, memberikan tugas mencuci dulang dan cawan atau menyediakan makanan untuk semua peserta pada hari yang seterusnya. Dengan ini diharapkan, mereka dapat menyedari betapa pentingnya untuk menghabiskan makanan dan menunjukkan kesyukuran terhadap apa-apa yang dinikmati. Menurut Haliza Hamzah (2014), guru merupakan contoh teladan kepada muridnya, sekiranya guru bersikap tidak bertanggungjawab, kemungkinan besar murid akan menunjukkan sikap yang sama terhadap guru tersebut. Oleh itu, kita harus membuat perubahan bermula daripada diri sendiri supaya dapat menjadi cermin perbandingan kepada anak-anak murid supaya mewujudkan amalan yang sihat di sekolah.



8



3.0



Rujukan



Aizat bin Khairi. (2016). Konsep 1Malaysia dan Cabaran Pelaksanaannya ke Arah Pemantapan Perpaduan sebuah Negara-Bangsa. Sosiohumanika: Jurnal Pendidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan, 4(1), 129-140. Haliza, H., & Samuel, J. N. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Janice Heu Wai Yee. (2015, November 16). Laporan Reflektif Big Fasa 6. Capaian 15 Oktober daripada https://www.scribd.com/doc/289895313/LaporanReflektif-Big-Fasa-6.



9