Teks Pidato Silang Budaya Di Malaysia [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

Kalau tidak kerana bintang, tak akan bulan kelihatan tinggi. Kalau tidak kerana pidato, tak akan saya berada di sini. Datang bahtera dari Medan, singgah sebentar di laluan Kerai. Salam satu Malaysia saya hulurkan, kepada warga dewan pembuka tirai. Salam sejahtera dan salam Satu Malaysia. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa, para peserta serta hadirin dan hadirat yang saya hormati. Malaysia, tanah air kita yang tercinta ini, adalah sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang bangsa, budaya, dan agama. Terdapat juga pelbagai kaum di Malaysia seperti kaum Melayu, Cina, India, Siam, dan lain-lain. Sejak kemerdekaan pada tahun 1957 yang lalu, keamanan negara kita langsung tidak terjejas dengan kepelbagaian rakyatnya. Hal ini jelas membuktikan bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia telah memupuk nilai keterbukaan dalam diri masing-masing. Sikap keterbukaan ini telah menyumbang besar dalam pengaplikasian konsep silang budaya dalam kehidupan rakyat. Silang budaya telah didefinisikan sebagai perbandingan atau pertembungan antara dua atau lebih budaya yang berlainan. Silang budaya ini telah banyak membantu masyarakat Malaysia untuk lebih memahami cara hidup dan membina perhubungan erat antara satu sama lain di bawah satu nama iaitu Warganegara Malaysia. Hadirin yang dihormati, Silang budaya di Malaysia ini telah berpunca daripada pelbagai faktor dan telah meresap masuk ke dalam kehidupan masyarakat Malaysia tanpa disedari. Antaranya ialah perkahwinan antara kaum yang berbeza. Secara umumnya, masyarakat dapat menerima hakikat bahawa kahwin campur dapat memperkaya masyarakat serta dapat mengukuhkan hubungan antara kaum. Begitu juga dengan konsep Satu Malaysia. Konsep ini merupakan suatu usaha untuk memupuk perpaduan sesama kaum di Malaysia agar jurang antara kaum dapat diminimakan. Seterusnya, masyarakat majmuk di Malaysia telah mewujudkan pelbagai perayaan dan budaya rumah terbuka sering diamalkan. Contohnya, perayaan Hari Raya Aidilfitri,Tahun Baru Cina, Hari Deepavali dan Hari Krismas. Rumah terbuka ini diraikan dengan meriah dengan kehadiran pelbagai kaum. Melalui aktiviti kunjung-mengunjung ini, hubungan antara kaum akan dapat dieratkan. Hadirin yang dikasihi, Campuran budaya ini bukanlah sesuatu yang janggal kerana hampir kesemua negara di atas muka bumi ini mengalami kejadian ini. Kejadian ini boleh diambil sebagai satu langkah positif untuk meningkatkan perpaduan dan kesatuan dalam diri setiap rakyat Malaysia. Perumpamaan Melayu yang berbunyi ‘Raja diumpamakan sebagai pohon, rakyat diumpamakan sebagai akarnya’ boleh diambil sebagai contoh. Tidakkiralah betapa berwibawanya seseorang pemimpin, kemajuan sesuatu wilayah atau negara itu berada dalam tangan rakyatnya. Hadirin yang dirahmati, Sebagai penutup pidato saya pada hari ini, saya ingin mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bertindak bijak dan memahami satu sama lain agar negara kita dapat maju serta duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain, selaras dengan matlamat utama negara iaitu Wawasan 2020. Oleh itu, kenalilah dan hayatilah budaya sesama kaum kerana silang budaya di Malaysia adalah tonggak perpaduan bangsa. Sekian, terima kasih.