Isu-Isu Etika Guru [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

1.0 PENGENALAN Menurut Syed Ismail & Ahmad Subki (2010), profesion perguruan merupakan profesion yang tidak ditelan zaman dan kini kehebatannya tidak dapat dipersoalkan lagi. Pada masa kini, profesion perguruan semakin menjadi rebutan ramai kerana pada setiap tahun permintaan terhadap bidang ini semakin meningkat walhal tempat yang ditawarkan adalah terhad. Profesion keguruan merupakan satu profesion yang begitu penting dalam melahirkan serta membangunkan sesebuah tamadun. Oleh sebab itulah, profesion keguruan merupakan satu profesion yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, guru bermaksud pendidik, pengajar atau orang yang memberi ilmu. Sebagai seorang pendidik, guru sewajarnya menjadi teladan kepada masyakarat yang berada di sekeliling. Apa yang dimaksudkan dengan profesional? Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk kepada ciri-ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri-ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku seseorang. Merujuk kepada ciri-ciri yang dinyatakan, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika keguruan yang telah sedia termaktub. Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru tersiar di internet dan dada-dada akhbar. Hal ini sudah tentu akan menyebabkan martabat profesion keguruan sebagai suatu profesion yang mulia menjadi goyah. Profesion perguruan sememangnya mempunyai kod etikanya tersendiri demi memartabatkan kerjaya seorang guru. Kod etika perguruan dijadikan rujukan oleh semua guru di negara ini. Kepentingan kod etika tidak dapat dinafikan lagi kerana dengan adanya kod etika, para guru dapat menjaga tingkah laku sebagaimana yang patut diamalkan oleh seorang guru. Pengetahuan tentang etika profesion perguruan adalah amat penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru kerana terdapat guru-guru yang masih melanggar tatasusila perguruan yang harus dielakkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), etika bermaksud satu sistem dasar, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Etika juga boleh dimaksudkan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Oleh itu, Etika Perguruan bermaksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, murid, rakan sejawat dan ibu bapa murid.



1



2.0 KETIDAKPATUHAN ETIKA KEGURUAN 2.1 Kesantunan Guru Menurut Noriati (2004), kesantunan yang bermula daripada hati yang ikhlas dan jujur akan menzahirkan perlakuan sama ada perlakuan berbahasa ataupun perlakuan bukan bahasa yang menyenangkan semua pihak. Istilah kesantunan ini juga merujuk kepada tatacara, adat atau kebiasaan berkaitan dengan perlakuan dalam perhubungan antara individu dengan individu lain yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan guru pula merujuk kepada perlakuan atau pembawaan guru ketika berinteraksi dengan murid, guru, guru besar dan dengan masyarakat. Antara isu yang melibatkan kesantunan guru ialah seperti pengunaan perkataan yang kesat. Contoh, ada guru yang suka memanggil murid dengan panggilan yang tidak elok seperti bodoh, bebal, gemuk, dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga guru yang bergaduh dengan guru lain di hadapan murid-murid. Perkara ini menunjukkan perlakuan dan teladan yang tidak baik di mata murid. Seterusnya, terdapat juga guru yang sering memarahi dan menghukum murid tanpa sebab yang kukuh iaitu tanpa usul periksa. Dalam perkara ini, guru sepatutnya mengkaji atau menyiasat serta meneliti dahulu masalah yang dihadapi oleh murid kemudian kenalpasti apakah perkara sebenar yang telah terjadi barulah membuat keputusan. Berdasarkan kes-kes yang telah terjadi, perkara yang melanggar kesantunan guru ini berlaku ialah kerana guru tidak dapat mengawal emosi dengan baik. Guru sepatutnya bijak dan pandai mengawal emosi terutamanya apabila berhadapan dengan murid. Kesan yang tidak baik akan berlaku kerana murid sudah pasti akan menceritakan apa yang mereka perhatikan kepada ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, secara tidak langsung perspektif negatif terhadap guru akan wujud pada pandangan ibu bapa tersebut. Dengan itu, perkara ini akan menyebabkan imej guru dan seterusnya profesion keguruan akan tercalar dan menjadi goyah biarpun hanya kerana seorang guru. Bak kata pepatah, kerana nila setitik habis susu sebelanga. Dalam menangani isu di atas, tindakan perlulah diambil supaya masalah ini tidak terus berleluasa berlaku. Antara tindakan yang boleh dibuat ialah memberikan amaran atau teguran kepada guru yang menggunakan perkataan yang kesat atau melampau terhadap murid. Selain itu, pihak pentadbir seperti guru besar juga perlu memastikan tidak ada guru yang mempunyai bebanan tugas melampau agar guru tidak mengalami masalah tekanan emosi. Secara tuntasnya, seorang guru seharusnya menunjukkan kesantunan yang tinggi kerana tingkah laku guru yang elok akan diteladani oleh murid agar murid juga dapat menunjukkan tingkah laku yang terpuji. 2



2.2 Berniaga di Sekolah “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani” Kementerian Pendidikan Malaysia, (1988) Merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan di atas, tugas guru yang utama di sekolah adalah untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran serta membentuk peribadi murid ke arah berakhlak mulia. Namun pada masa kini, dunia sering mendengar dan melihat isu guru yang berbisnes atau menjadi peniaga sambilan yang berjaya. Sebenarnya, fenomena berniaga dalam kalangan guru di sekolah telah menjadi satu kebiasaan pada masa kini namun isu ini perlu ditangani dengan serta merta kerana telah mencalarkan etika profesion keguruan. Pada masa kini, telah terdapat kes dimana kawasan sekolah seperti bilik guru menjadi kawasan perniagaan guru. Ada antara guru yang ghairah berniaga sampai lupa dan mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka sebagai seorang guru. Tindakan berniaga itu telah menjejaskan imej profesion keguruan yang begitu mulia. Guru sepatutnya tidak dibenarkan sama sekali untuk berniaga di sekolah sama ada dengan menjual barang dagangan kepada murid atau pun kepada kakitangan sekolah yang lain. Perlakuan ini merupakan satu pelanggaran kepada etika kerja. Sekiranya secara tidak sengaja guru telah terlibat dengan perniagaan di sekolah, pihak pengurusan atau rakan sejawat perlu membuat teguran untuk mengelakkan perlakuan tersebut daripada berterusan. Sekiranya kita lihat dari aspek etika keguruan, guru dilarang sama sekali berniaga di sekolah. Guru cenderung berniaga di sekolah mungkin disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi, gaji yang tidak mencukupi dan sebagainya. Kita tidak boleh nafikan bahawa, pada zaman ini keperluan duit memang penting sekali. Semua orang memerlukan duit untuk menyara hidup termasuk guru-guru. Namun akibat daripada sikap guru-guru seperti ini telah menjadikan murid sebagai mangsa dimana keperluan untuk mendidik merka telah diabaikan oleh guru hanya kerana kesibukan berniaga. Sikap guru seperti ini telah menyebabkan prestasi murid dalam matapelajaran semakin merosot. Oleh itu, seorang guru seharusnya mematuhi etika profesion keguruan agar dapat menajalankan tugas dengan betul dalam mendidik anak-anak murid dan bukannya berniaga di sekolah. Isu berniaga di sekolah tidak sama sekali membawa kita ke arah kebaikan



3



malahan hanya membawa kepada keburukan bagi semua tidak kira murid, guru mahupun pihak sekolah. 2.3 Penampilan Guru Penampilan merupakan ‘first impression’ orang ramai ke atas seseorang guru kerana melalui penampilan masyarakat sudah mengetahui kita seorang guru. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan kod etika pemakaian guru melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/1985 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1/2006 (Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin dan Muhammad Kushairi Jusoh, 2015). Berpakaian yang menggambarkan kejayaan membolehkan guru dihormati dan menjadi contoh yang positif kepada muridmurid. Berpakaian yang tidak menggambarkan kejayaan akan membawa murid ke arah keburukan. Antara isu yang berlaku bagi penampilan guru ialah terdapat guru lelaki tidak memakai tali leher dan hanya berkemeja lengan pendek ke sekolah dan ini bertentangan dengan kod etika pemakaian guru. Selain itu, terdapat guru lelaki yang memakai kemeja bercorak dan warna yang tidak sesuai seolah-olah mereka bukan ke sekolah tetapi hendak sesuatu majlis. Lebih malang lagi, ada juga guru lelaki menghadiri majlis rasmi di sekolah dengan hanya berpakaian sukan dan kasut sukan. Hal yang lebih ketara lagi, terdapat guruguru yang terpengaruh dengan penampilan budaya barat seperti mengenakan fesyen dan stail rambut budaya barat. Perkara ini jika dibiarkan lama-kelamaan akan membuatkan murid mengikut jejak langkah perbuatan guru tersebut. Selain itu, masalah penampilan ini juga turut melibatkan guru perempuan dimana mereka bukan sahaja berpakaian mencolok mata tetapi tidak menunjukkan imej sebagai seorang guru. Hal ini kerana terdapat sesetengah guru perempuan yang memakai kasut tumit tinggi yang berlebihan sedangkan syarat yang diletakkan dalam etika pemakaian ialah tumit kasut tidak melebihi satu inci. Selain daripada itu, pemakaian skirt yang melebihi paras lutut sehingga ke paras paha. Sepatutnya, mereka menunjukkan pemakaian yang bersesuaian dengan kesopanan seorang guru. Perkara ini jika dibiarkan berlaku akan mengudang isu yang lebih besar seperti guru dicabul oleh murid dan sebagainya. Dalam membendung isu ini, taklimat etika pemakaian yang betul harus diberikan kepada para guru agar lebih peka terhadap cara penampilan dan pemakaian mereka. Selain itu, pihak kementerian harus memantau isu ini dengan mengenakan tindakan tatatertib kepada guru yang terlibat. Dengan cara ini, ia mampu menyedarkan guru yang terlibat bahawa penampilan merupakan antara identiti utama yang mencerminkan peribadi seseorang guru. Secara kesimpulanya, isu penampilan guru ini boleh ditangani dengan 4



wujudnya kesedaran dalam kalangan guru bermula sekarang atau dilatih ketika masih menjadi guru pelatih lagi agar terbiasa mengamalkan pemakaian yang sopan dan sesuai dengan etika keguruan agar isu seperti ini tidak akan timbul lagi. 2.4 Pengurusan Masa Menurut kata Noriati A. Rashid (2010), pengurusan masa guru terbahagi kepada dua iaitu pengurusan masa untuk diri sendiri dan menanamkan aspek kepentingan mengurus masa dalam sanubari pelajarnya. Isu-isu mengenai pengurusan masa merupakan penyebab utama tekanan yang dihadapi oleh guru, kesan daripada bentuk tugas guru yang pelbagai, rumit dan banyak. Tanpa disedari hal ini menyebabkan etika seorang guru juga tergugat. Para guru perlu sedar bahawa setiap masa yang dibazirkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran boleh menyebabkan murid tidak menerima ilmu yang seharusnya diperoleh semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Isu yang berlaku ini menyebabkan etika seorang guru juga tergugat kerana guru tidak bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu kepada murid. Menurut Husairi Jikan (2004), guru sering dibebankan dengan tugasan lain seperti menjadi guru disiplin, guru persatuan, guru kelas, guru sukan dan permainan serta tugastugas perkeranian yang lain. Selain itu, jumlah waktu mengajar dalam seminggu agak banyak dan terdapat kursus-kursus dan mesyuarat yang perlu dihadiri. Ini menyebabkan guru-guru terpaksa menangguhkan kerja-kerja peribadinya demi melaksanakan tugas-tugas khas yang telah dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah. Tambahan pula, terdapat guruguru yang tidak merancang masa pengajaran dan pembelajaran dengan teratur. Ini mengakibatkan proses PdP yang dijalankan gagal dan objektifnya tidak tercapai. Dalam mengatasi masalah pengurusan masa ini, guru disarankan agar sentiasa membuat perancangan masa yang berkesan agar dapat mencapai matlamat yang dirancang. Guru-guru juga mestilah tegas dan berupaya membahagikan masa mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Guru-guru juga perlu sanggup mengubah tabiat suka membazir masa kepada menghargai masa. Pembahagian masa perlu dibuat secara bulanan, mingguan, harian dan boleh dibahagikan hingga ke peringkat jam. Pengurusan masa dalam proses PdP yang terancang akan membantu guru menepati objektif pengajarannya. Secara kesimpulannya, pengurusan masa secara efektif merupakan perkara penting yang akan menentukan kejayaan seseorang guru. Pengurusan masa yang efektif akan menjanjikan dan menjadikan hidup seorang guru itu tidak terbeban dengan masalah kekurangan masa yang tidak cukup dan sebagainya. Sebagai seorang guru, guru 5



seharusnya tahu dan sudah hebat tentang cara bagaimana untuk menguruskan masa dengan baik. Hal ini kerana pengurusan masa yang baik akan menentukan perancangan guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah mengikut tempoh masa yang ditetapkan itu berjaya. 2.5 Kerja Sambilan Berdasarkan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Sulit 3189/29 bertarikh 13hb Januari, 1971 menyatakan bahawa seseorang kakitangan dan pegawai kerajaan boleh membuat sebarang pekerjaan luar sekiranya dibenarkan oleh Ketua Jabatan, dianggap tugas rasmi dan bagi faedah dirinya/saudara-mara/ badan yang bukan mencari keuntungan dengan kebenaran Ketua Jabatan. Namun begitu honorarium yang boleh diambil ditentukan oleh Perbendaharaan (PP Bil.2/1993 dan Bil.5/1995) Sebahagian besar guru di Malaysia adalah pegawai kerajaan (kecuali guru di sekolah swasta) dan tertakluk kepada surat pekeliling seperti contoh diatas. Kes yang sering terjadi adalah guru melakukan kerja sambilan seperti mengadakan kelas tuisyen berbayar, terlibat dengan perniagaan skim piramid (MLM), menjadi ejen insurans serta pelbagai produk seperti pakaian, aksesori perhiasan dan barangan kecantikan. Isu yang kerap berlaku pada masa kini adalah guru mengadakan kerja sambilan kerana hendak menambahkan pendapatan. Kos sara hidup yang semakin meningkat hari demi hari menyebabkan guruguru perlu mencari sumber kewangan yang lain selain daripada gaji bulanan. Malah bagi guru yang mengharapkan gaji bulanan semata-mata pasti akan berasa terbeban lagi bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Sebenarnya skim gaji guru ketika ini masih boleh memenuhi semua keperluan hidup dengan baik dan berkualiti. Tetapi terdapat guru yang masih belum berpuas hati dengan gaji yang diperoleh. Perkara ini sekiranya tidak dibendung akan menyebabkan guru tersebut hilang fokus kepada tugas utamanya iaitu mengajar. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berehat. Selain itu, badan mereka juga akan menjadi lesu kerana keletihan. Perkara ini akan terbawa-bawa ke sekolah sehingga timbul isu guru tidur pula di sekolah. Selain itu juga, isu ini juga akan menyebabkan kualiti seseorang guru akan menurun. Guru akan lebih kerap untuk mengambil cuti sama ada untuk berjumpa klien atau betul-betul jatuh sakit kerana tidak mempunyai cukup yang rehat. Oleh yang demikian, masalah ini perlu diatasi dengan adanya pemantauan oleh pihak pentadbir. Guru besar perlu memastikan tiada guru dibawah pentadbiranya melakukan kerja sambilan. Sekiranya ada, amaran ataupun tindakan tatatertib boleh dikenakan. Selain itu, pihak Jabatan Pelajaran Negeri juga boleh mengadakan ceramah-ceramah ke sekolah 6



untuk membanteras perkara ini. Dengan cara ini, kesedaran dapat diwujudkan dalam kalangan guru di sekolah. Kesimpulannya, seorang guru perlulah fokus terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru tidak wajar untuk melaksanakan kerja sambilan kerana banyak kesan negatif yang akan berlaku. Pengabaian guru kepada murid akan menyebabkan kualiti pendidikan negara akan menurun. 3.0 ANALISIS ARTIKEL KETIDAKPATUHAN ETIKA KEGURUAN “Guru Ponteng, Isu Serius.” Borneo Post Online, 24 Disember 2011. http://www.theborneopost.com/2011/12/24/guru-ponteng-isu-serius/



Menurut kepada sebahagian daripada petikan artikel yang ditulis di laman sesawang tersebut, isu yang dibangkitkan adalah berfokuskan kepada permasalahan yang melibatkan kehadiran guru ke sekolah yang semakin membimbangkan organisasi sistem pendidikan itu sendiri. Pengiraan statistik yang diumumkan secara rasmi oleh pihak Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti menunjukkan bahawa bilangan guru yang tidak hadir ke sekolah atau dengan kata ringkasnya ponteng adalah terlalu ramai bilangannya. Ketidakhadiran guru tanpa alasan ini amat membimbangkan profesion perguruan ini. Isu guru ponteng adalah suatu isu nasional dan mampu memberi implikasi kepada bukan sahaja kepada bidang pendidikan negara malah ianya turut menjejaskan potensi pembangunan mampan negara. Perlakuan guru yang ponteng sekolah tersebut bukan sahaja memburukkan profesion ini di kaca mata pandangan masyarakat malah ianya juga turut mencerminkan bahawa segala etika dan asas profesionalisme yang telah diberikan sebagai garis panduan dalam menjalankan tugas tidak berjaya dipatuhi oleh guru. Hal ini akan menjatuhkan maruah profesion perguruan itu sendiri. Masyarakat setempat akan mula memandang serong terhadap profesion ini. Isu permasalah guru yang dibincangkan melalui petikan artikel tersebut juga dapat menunjukkan bahawa kesemua guru yang tidak hadir ke sekolah atau ponteng sekolah adalah sebagai individu yang tidak memahami profesionnya serta tidak bertanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan itu sendiri. Mereka bukan sahaja tidak mematuhi panduan landasan profesionalisme bidang perguruan malah turut tidak mengamalkan etika kerja yang telah termaktub di dalam etika perguruan selaras dengan apa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Profesionalisme meliputi aspek akaunbiliti yang didalamnya terangkum keseluruhan aspek yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh warga pendidik. Dalam konteks keguruan, akaunbiliti boleh dirumuskan sebagai bertanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan



7



(Arbak Othman, 1998). Manakala akaunbiliti seseorang guru terhadap profesionnya boleh dilihat melalui pencapaian atau prestasi guru semasa melaksanakan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawab. Fenomena isu ponteng sekolah di kalangan guru menunjukkan bahawa keseluruhan bahagian didalam akaubiliti ini telah menerima implikasi negatifnya. Berdasarkan isu ini juga, aspek etika kerja khususnya etika kerja perguruan itu secara terang–terang telah dilanggar oleh sebilangan pendidik yang ponteng dari melaksanakan tugas mereka di sekolah tersebut. Jika ditafsirkan secara umum setiap profesion pekerjaan mempunyai etikanya yang tersendiri. Bagi dalam profesion perguruan pula, setiap seorang individu yang bergelar pendidik dikehendaki bagi mematuhi etika itu sendiri demi menjada status, akhlak dan maruah dalam profesionnya. Bagi tujuan tersebut Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan Ikrar dan Tatasusila Profesion Perguruan untuk dijadikan sebagai landasan dan garis panduan setiap guru menjaga imej bidang profesion ini. Perkara ini amat penting supaya imej perguruan ini dapat dijaga di samping dapat meningkatkan mutu profesion pendidikan. Seorang guru yang ponteng dilihat sebagai seorang guru yang tidak mempunyai sifat dan kualiti baik dari segi dalaman mahupun luaran yang perlu bagi seseorang pendidik untuk dipandang tinggi serta dihormati oleh masyarakat. Etika kerja yang telah dilanggar menunjukkan



bahawa



guru



tersebut



tidak



mempunyai



sifat



dan



kualiti



seperti



bertanggungjawab dan berkepimpinan. Sifat dan kualiti bertanggungjawab dapat memberi panduan kepada seseorang guru tersebut agar sentiasa mementingkan tugasnya yang telah diamanahkan untuk dilaksanakan dengan sempurna, namun dalam situasi ponteng kerja di sekolah ini, guru yang melakukannya seolah–olah dilihat tidak mengendahkan sifat dan kualiti yang perlu ada pada diri mereka selaku pendidik ini. Secara kesimpulannya, fenomena isu permasalahan guru ponteng sekolah ini merupakan isu yang harus dipandang serius oleh semua pihak. Tidak dinafikan profesion perguruan menuntut guru-guru bukan sahaja terlibat dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah semata-mata, tetapi seorang guru yang beretika seharusnya sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negaranya. Hal ini kerana guru juga merupakan ikon kepada murid tetapi juga kepada seluruh masyarakat. Oleh yang demikian tidak dapat dinafikan tugas dan tanggungjawab guru adalah berat dalam usaha membentuk generasi negara masa depan yang mampun menangani segala perubahan dan tuntutan masa. Maka iltizam, semangat dan sikap yang positif sahaja yang mampu menonjol imej guru yang dapat memainkan peranan yang cukup berkesan. Kepelbagaian tugas, tanggungjawab inilah memberi cabaran pada guru bagi meningkatkan 8



segala kualiti, sifat mahupun akaunbiliti kepada bidang profesionalisme ini agar ianya terus dipandang megah oleh masyarakat dan dapat mendukung hasrat negara bagi menaikkan mutu pendidikan negara setaraf antarabangsa.



RUJUKAN



Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin (2011). Pengantar Penyelidikan Tindakan Dalam Penyelidikan Pendidikan. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd. Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin, Muhamad Kushairi Jusoh (2015). Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional. Bangi: Pelangi Professional Publishing Sdn. Bhd. Abdullah Sani Yahya (2004). Mengurus Disiplin Pelajar. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Abd. Rahim Abd. Rashid. (1999). Profesionalisme Motivasi Pengurusan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Falsafah Pendidikan Kebangsaan. (1998). Kementerian Pelajaran Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia (2001) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2001: Garis Panduan Pakaian Guru Ketika Bertugas di Sekolah KP(BS) 8591/Jld. XVII (7) 7 Jun 2001. Kementerian Pelajaran Malaysia (1973). Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 tahun 1973: Bayaran-Bayaran, Elaun-Elaun dan Pampasan-Pampasan (Fees, Allowances And Bonuses) Yang Boleh Disimpan Oleh Pegawai-Pegawai Kerajaan Bagi Kerja-Kerja Luar Dengan Badan-Badan Berkanun/Perniagaan (JPA. (S) 3189/ Jld. 2). Noriati A. Rashid (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Shah Alam: Oxford Fajar. Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Wong Kiet Wah. (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Sheikh Othman b. Sheikh Salim, Aishah bt. Mahdi (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



9



Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon (2014). Guru dan Cabaran Semasa. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Wan Zahid (1993). Wawasan Pendidikan. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. .



10