Teks Hormat Menghormati [PDF]

  • 0 0 0
  • Suka dengan makalah ini dan mengunduhnya? Anda bisa menerbitkan file PDF Anda sendiri secara online secara gratis dalam beberapa menit saja! Sign Up
File loading please wait...
Citation preview

Teks ucapan Perhimpunan Pagi 11 Oktober 2015. (En. Mohamad Nusi bin Md Saman – Guru Kanan Kemanusiaan) Terima kasih pengacara majlis. Yang berusaha En. Hashim bin Ismail, Pengetua SMK Guar Chempedak En. Mohamad Yaziz bin Mohd Isa, Penolong Kanan Pentadbiran Pn. Noranini Bt Noordin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En. Mohamad bin Abdul Rahman, Penolong Kanan Kokurikulum En. Roshade bin Abdullah, Penolong Kanan Tingkatan 6 Barisan guru kanan, Rakan-rakan guru Seterusnya pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian. Pertama sekali mari kita lafazkan kesyukuran kepada Tuhan kerana masih diberi keizinan untuk menghirup nafas hari ini dan diberi kesihatan yang baik. Semua orang suka dihargai. Penghormatan tidak boleh diminta tetapi diperolehi. Maksudnya, jika kita menghormati orang, kita juga akan dihormati. Kita tidak boleh memaksa orang lain menghormati kita. Saya ingin berkongsi satu cerita dengan hadirin semua. Mungkin ada yang pernah mendengar cerita ini. Ada seseorang yang dikenali ramai kerana ilmunya yang tinggi. Dia sangat rapat dengan anak-anak muridnya. Pada satu pagi, dia mengajak seorang daripada anak muridnya pergi berjalan-jalan di sekitar tempat mereka. Ketika berjalan dan menghayati keindahan di sepanjang jalan, mereka melewati satu kawasan ladang. Kelihatan seorang pekerja tua sedang bertungkus-lumus menyiapkan kerjanya. Kasutnya diletakkan di pinggir jalan yang dilalui oleh guru tersebut bersama anak muridnya. Anak murid tersebut berkata kepada gurunya, “Mari kita sorokkan kasutnya. Kemudian kita sembunyi untuk lihat apa reaksi pekerja itu bila mendapati kasutnya hilang. Tentu seronok melihat orang ini gelabah apabila kasutnya tiada”. Guru tersebut membalas kata-kata anak muridnya. “Daripada kita ambil kasutnya, baik kita letakkan beberapa keping duit dalam kasutnya dan kita sembunyi untuk lihat reaksinya. Itu kan lebih baik.” Anak muridnya bersetuju. Mereka



meletakkan beberapa keping duit dan segera bersembunyi di sebalik belukar.



Apabila pekerja itu, habis melakukan kerjanya, beliau ke pinggir jalan untuk mengambil kasutnya dan pulang. Apabila dimasukkan kakinya dalam kasut, beliau terkejut kerana ada sesuatu di dalam kasutnya. Beliau membongkok dan mendapati ianya adalah duit. Beliau melihat kiri dan kanan kawasan itu untuk mencari dari mana duit itu tetapi tidak mendapati apa-apa. Dengan lelehan air mata, beliau menadah tangan mengucapkan syukur kepada tuhan. “Tuhanku. Kau tahu hambamu ini dalam kesusahan. Keluarga di rumah tiada apaapa untuk dimakan. Aku bersyukur atas kurniaanMu.” Anak murid yang melihat kejadian itu menangis dan mengucapkan terima kasih kepada gurunya kerana memberikan pengajaran yang sangat berguna. Kata gurunya, “Lihatlah apa hasilnya yang terjadi bila kau menghormatinya dan memberikan kebaikan kepadanya. Sekiranya kau mempermainkannya, adakah kau akan berpuas hati melihat kesusahan yang dialaminya?” Inilah satu cerita ringkas yang ingin saya kongsi dengan semua warga sekolah hari ini. Budaya hormat menghormati adalah satu perkara penting yang wajar kita ambil berat. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Dengan saling hormatmenghormati kita akan membina kepercayaan dan ini akan memudahkan kerja kita kelak. Contohnya di sekolah ini, jika pelajar menghormati guru, pastinya guru akan lebih senang untuk mengajar dan menyampaikan ilmu. Guru itu juga pastinya tidak akan berkira untuk membantu pelajar bukan hanya dalam pelajaran tetapi juga dalam perkara lain seperti masalah kewangan atau pergaulan. Guru yang dihormati akan kembali menghormati pelajar mereka dan lebih mudah bertolak ansur. Saya harapkan semoga cerita saya ini dapat diambil pengajaran oleh semua yang mendengar. Sekian, terima kasih.